Wednesday, October 28, 2009

ISU JEFFREY KITINGAN :ANWAR PERLU SEDAR DAN DI SEDARKAN!

Berita perletakan semua jawatan yang disandang oleh Dato Jeffrey Kitingan didalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedikit pun tidak mengejutkan kita terutamanya kepada para pendokong dan penyokong Pakatan Rakyat (PR) khususnya kepada ahli-ahli PKR sendiri.

Kerana apa saya mengatakan sedemikian? Dato Jeffrey Kitingan yang juga merupakan adik kepada Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Dato Seri Pairin Kitingan suatu ketika dahulu sememangnya merupakan ahli parti tersebut dan pernah mempunyai kedudukan di peringkat persekutuan ketika di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai PM Malaysia.

Akibat tidak ada persamaan dari segi prinsip perjuangan beliau seterusnya keluar daripada PBS dan bersama di dalam PBRS serta AKAR seterusnya berjuang di dalam PKR pada tahun 2006 setelah mula melihat 'kekuatan' khususnya pada PKR lebih-lebih lagi setelah Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI) keluar daripada penjara selama enam tahun.

Untuk rekod beliau pernah bertanding sebagai calon bebas pada tahun 2004 di pilihanraya negeri Sabah dan seterusnya bertanding di PRU 2008 tetapi kalah kepada abangnya sendiri di Parlimen Keningau.

Melihat kepada sejarah dan 'trend' terkini kebanyakan pemimpin yang 'ada nama' 'ada kedudukan' 'gah kerana prinsip dirinya konon' yang suka mengugut, meletakkan jawatan dan seterusnya 'keluar PKR' akibat tidak berpuashati dengan apa yang dikehendakinya tidak diperolehi didalam parti samada jawatan atau pun sebagainya, maka kita boleh simpulkan kini bahawa usahlah lagi DSAI terlalu mengharapkan mereka ini sebagai orang yang boleh memimpin PKR walaupun diperingkat cabang ataupun negeri!

Sebagai diantara insan yang terawal menyertai parti ketika pelancaran Parti KeADILan Nasional (Keadilan) pada 04.04.99 di Renaissance Hotel, Jalan Ampang suatu masa dahulu dan merasai susah senang, pahit maung lebih-lebih lagi diperingkat awal untuk kita 'dirikannya' samada di peringkat cawangan, bahagian mahupun negeri ketika itu alangkah amat kecewa sekiranya kini selepas 10 tahun PKR dikenali umum dan kelihatan 'gah' selepas menyertai 3 kali PRU, parti boleh diperkotak-katikkan oleh beberapa jenis pemimpin sebegini yang sesuka hati untuk bertindak sebegitu.

Kalau dahulu apabila ada sahaja cerita 'keluar parti' oleh pemimpin atau ahli di peringkat awal parti baru hendak dikenali (sekitar tahun 2001-2004 ketika itu bernama Keadilan), hanya ada satu sahaja alasan yang cukup popular 'dimainkan' oleh mereka ini iaitu kerana tidak yakin pada perjuangan parti yang tidak diketahui hala tuju perjuangannya. Tetapi kini kebanyakan pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli yang berkeadaan seperti ini samada mengugut parti ataupun meletakkan jawatan atau seterusnya bertindak keluar PKR adalah mereka yang hanya baru 'timbul' terutamanya selepas DSAI keluar daripada penjara enam tahun pada akhir 2004 dan juga selepas era PRU 2008 lalu!

Berbanding ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin yang memang sejak asal berada didalam parti pada hari pertama parti dilancarkan pada tahun 1999, mereka yang menyertai parti selepas era DSAI dibebaskan serta selepas PRU 2008 kelihatan tiada 'ujian' langsung sebagaimana ahli yang terdahulu samada ujian secara terus dengan pihak keselamatan, tekanan pada diri seperti hilang pekerjaan, hilang kontrak kerja, hilang punca pendapatan dan juga 'bersama mempunyai pengalaman' di kejar FRU ketika berdemonstrasi, ketika ceramah umum dan juga berbagai tekanan lagi.

Kita pernah merasai kepahitan kalah teruk pada PRU 2004 namun jiwa ahli dan pemimpin dizaman itu semakin kuat terhadap perjuangan parti kerana apa? Kerana kita percaya pada perjuangan PKR yang telah kita harungi dan matang bersamanya sejak penubuhan pada tahun 1999 lagi.

Kemasukan beberapa tokoh tertentu sebelum ini seperti Dato Nallakarupan sebagai contohnya diperingkat awalnya dilihat seperti 'turunnya sebutir emas dari gunung' untuk kaum India dengan harapan yang cukup tinggi kepada Dato Nalla tetapi akhirnya bertindak keluar parti gara-gara dikatakan dihalang untuk bertanding jawatan tertinggi (Naib Presiden kuota kaum india) didalam PKR pada tahun 2007.

Kini terjadi lagi apabila Dato Jeffrey Kitingan sekali lagi bertindak meletakkan jawatan kesemuanya termasuk Naib Presiden yang dilantik didalam PKR akibat perasan tidak puashati kepada pimpinan pusat kerana dikatakan gagal mengikut kehendak PKR Sabah. Diketahui umum beliau diantara pemimpin yang mengharapkan dilantik sebagai Ketua Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah.

Begitu juga dengan kes Dato Zaid Ibrahim yang tiba-tiba mengambil cuti selama enam bulan untuk tidak hadir ke program PKR dan mesyuarat parti. Kenapa tidak dikaji secara terperinci mengapa ianya boleh berlaku? Dikatakan beliau merajuk kerana tidak 'sebulu' dengan Sdr Azmin Ali. Bukankah didalam politik tidak ada istilah rehat atau merajuk?

Dengan tiga kes yang terbukti sebegini di peringkat nasional maka sudah sampai masanya DSAI memandang kebelakang kembali dan seterusnya menghargai pimpinan yang sedia ada yang dibentuk sejak penubuhan parti dan yang paling penting usah 'terpedaya' lagi dengan lakonan dan meletakkan harapan kepada mereka yang 'ada nama' 'ada kedudukan' 'gah pada kerana prinsip perjuangan kononnya' untuk bersama PKR!

Keikhlasan ahli-ahli dan pimpinan yang lama tetapi 'tiada apa-apa' melainkan semangat perjuangan yang utuh sahaja seharusnya DSAI ketahui dengan keyakinan sepenuhnya dan bukannya lagi mengharapkan kepada yang tidak diketahui keihlasannya tanpa pernah di uji sebelum ini untuk diangkat sebagai pemimpin baru kita walaupun hebat setahap mana pun orang itu!

1 comment:

ahmadnizamhamid said...

maaf saya agak tidak bersetuju dengan pandangan sdr.mungkin mudah kita menuding jari bhw sianu dan sianu keluar parti krn tak puashati dsb tetapi pada masa yg sama kita perlu-khususnya MPP dan KU-untuk melihat kedalam juga.isu pokok yg dibangkitan iaitu Perjanjian 20 Perkara 1963,Peristiharan Tambunan sebenarnya yg menjadi isu utama (sptmana pemahaman saya membaca beberapa artikel/berita)dan sewaktu Kongres tahun lalu tatkala berbual dgn teman2 dari Sabah & Sarawak ini yg mrk bangkitkan disamping mempercayai KEADILAN mampu menghormatinya dan saya maklumkan sentimen ini kpd KU dan TP.malah ZI beberapa minggu yg lalu turut menyentuh hal ini.
pun begitu hendak atau tak hendak parti perlu inklusif,mendakap semua segmen sambil mengharapkan yg terbaik.isu ini harus dilihat sbg kebijaksanaan untuk membersihkan parti dan wake up call buat yg diatas sana.