Sunday, October 25, 2009

PAKATAN RAKYAT 'GERHANA' PADA PRU 13?


Dalam akhbar perdana sehari dua ini banyak memaparkan 'pergolakan' terkini yang berlaku didalam parti PAS yang juga rakan komponen utama Pakatan Rakyat (PR) yang menurut akhbar-akhbar ini perpecahan dan pergolakan yang berlaku sudah mencapai tahap maksima!

Semuanya dikatakan gara-gara gesaan yang dibuat oleh Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat yang juga Mursyidul Am PAS didalam blog nya yang menggesa agar 3 pemimpin utama didalam Pas perlu diganti menerusi Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) parti sebagaimana yang dibuat oleh MCA!

Secara peribadi, sebagai salah seorang yang mendokong prinsip-prinsip kesaksamaan didalam Pakatan Rakyat, isu yang digembar-gembur kini sudah kelihatan sebagai parah dan menyiksakan sebagaimana yang diulas oleh beberapa penganalisis politik tanah air dan itu tidak termasuk lagi komen-komen 'power' dan dangkal oleh beberapa pemimpin-pemimpin Umno / BN.

Didalam suasana PR yang kini sedang berada di laluan menuju kejayaan yang lebih gemilang selepas Pilihanraya Umum (PRU) ke 12 2008 lalu, parti-parti yang berada didalam PR sudah boleh berkira-kira dan mencongak untuk mengambil alih kerajaan di peringkat persekutuan secara mendalam dan serius menjelang PRU 13 nanti.

Namun dengan isu yang tiba-tiba timbul dan wujud di pertengahan pemerintahan selepas kemenangan yang cukup memberangsangkan, apakah keyakinan kita didalam PR pada pilihanraya umum yang akan datang sudah semakin kuat? Seharusnya setiap permasalahan yang berlaku didalam parti-parti komponen PR ini hendaklah diselesaikan secara dalaman dan dengan berhemah tanpa melibatkan media serta akhbar perdana negara yang jelas dikuasai oleh pemerintah yang pada bila-bila masa sahaja boleh mengeksplotasikan berita tersebut.

Seharusnya setiap pemimpin tidak kiralah daripada PKR, PAS atau DAP sekalipun, setiap teguran atau pandangan yang dibuat oleh para penganalisis atau pun ahli-ahli walaupun tajam dan boleh 'menyesakkan' jiwa dibuatnya perlu dipandang serius dan di ambil kira dan bukannya dibiarkan atau di 'tong sampah' kan sahaja segala teguran tersebut.

Sejarah PRU yang sentiasa tidak menyebelahi pembangkang sebaik sahaja pembangkang memperolehi kemenangan pada PRU sebelumnya bukan sahaja baru berlaku malahan sudah pernah berlaku sebelum ini.

Sejarah kemenangan yang cukup hebat oleh PAS / APU pada tahun 1990 (Dalam konteks kemenangan di Kelantan ketika itu) dengan kemenangan yang besar gagal diulanginya pada tahun 1995 apabila kemenangan besar itu gagal diulangi walaupun tetap memerintah negeri tersebut. Kerana apa? Ini semuanya kerana tiadanya 'kesepakatan yang utuh' didalam parti sebaik sahaja memenanginya dan membiarkan kemenangan tersebut dengan 'bulan madunya' sahaja. Apa alasan banyak kerusi kecundang kembali kepada Umno / BN pada PRU 1995 itu? Alasannya kerana BN pandai memanipulasikan pemerintahan PAS yang dikatakan masih baru dan tidak berpengalaman!

Selepas itu PAS / BA memperolehi kemenangan yang sedikit besar semula pada PRU 1999 apabila PAS dapat memerintah Terengganu disamping mengekalkan Kelantan, dan sekali lagi kita melihat kemenangan di Terengganu seolah-olah tidak dihargai oleh pimpinan parti tetapi menjadi seperti 'bulan madu kedua'. Akhirnya apa yang berlaku pada PRU 2004? Terengganu jatuh kembali kepada BN, Kelantan hampir-hampir dimenangi BN semula dengan alasannya Umno / BN pandai dan cekap memanipulasikan pemerintahan baru BN yang berketuakan Perdana Menteri baru iaitu Pak Lah seorang 'Mr Clean' serta berlatarbelakangkan cucu ulamak yang seiring membawa slogan Islam Hadhari!

PRU 12 2008, kali ini PAS dan rakan-rakan Pakatan Rakyat seperti PKR dan DAP bukan setakat berjaya menawan lima negeri (ketika itu termasuk Perak juga) malahan berjaya memperolehi serta menafikan majoriti BN di dewan Rakyat apabila berjaya memperolehi 82 kerusi Dewan Rakyat!

Sekali lagi rakyat mengharapkan 'sesuatu' daripada kemenangan besar ini. PAS diberi mandat untuk memimpin Kelantan lagi disamping negeri Kedah dan juga Perak pada ketika itu manakala Selangor dipimpin oleh PKR dan Pulau Pinang pula oleh DAP. Selama dua tahun pertama ini Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Perak 'diserang' oleh Umno / BN serta segala jenis media cetak dan elektronik bagi menunjukkan kepada rakyat Malaysia bagaimana 'teruknya' negeri-negeri ini diperintah 'tanpa mereka BN'!
Akhirnya Perak kecundang juga akibat 'permainan' yang hebat oleh Umno dan BN.

Apa yang saya ingin tegaskan disini, tolonglah wahai pemimpin-pemimpin utama samada daripada PAS, PKR atau DAP, sekiranya ada sebarang permasalahan samada antara parti-parti PR ini ataupun sesama dalaman seperti yang PAS alami kini, tolonglah selesaikan secara berhemah dalaman parti dan bukannya menggunakan media yang sudah diketahui umum bukan menyebelahi pembangkang buat selamanya...

Rakyat kini memerhati apakah PR mampu atau pun tidak untuk menggantikan BN sebagai pemerintah baru pada PRU 13 nanti. Sepatutnya PR semakin kuat dengan penyatuan parti-parti didalam PR dengan mewujudkan berbagai idea baru dan terkini seperti kearah satu simbol PR, ke arah mempercepatkan pendaftaran PR sebagai gabungan yang sah seperti BN (walaupun sudah dimulakan kini), kearah mewujudkan sekretariat PR diseluruh negara dan berbaga lagi.

Satu perkara yang kita amat takuti ialah sekiranya kita gagal mengekal momentum kemenangan sebagaimana yang telah berlaku pada pRU 2008 lalu dengan terlepasnya beberapa negeri ke tangan BN! Jangan ulangi sejarah terlepasnya Terengganu pada PRU 2004 kepada BN.

Bersepakatlah kembali wahai pemimpin semua. Carilah jalan untuk kita selesaikan. Paling penting kita hanya ada masa dua hingga tiga tahun lagi sebelum PRU 13 menjelma. Semoga PAS kembali membetulkan keadaannya dan Pakatan Rakyat segera diperkuatkan sejajar prinsip-prinsip yang telah dipersetujui bersama oleh ketiga-tiga pemimpin utama PR sebelum ini. Jangan ada 'gerhana' di PRU 13 nanti...

1 comment:

cucu awang teh said...

salam bro,tak payah nak rujuk kat akhbar arus perdana laa...diaorang memang nak memecah-belah je..kita perlu berlapang dada dengan segala ujian yg melanda..UBN memang akan mencari peluru utk menembak kita..