Thursday, October 29, 2009

KEMPEN 1MALAYSIA: ANTARA REALITI DAN FANTASI


Kempen 1MALAYSIA yang sedang hangat di'laungkan' sekarang diseluruh negara oleh pemimpin-pemimpin negara ini tidak akan bermakna sekiranya apa yang dikatakan sebagai 1MALAYSIA untuk perpaduan rakyat dan intergrasi nasional seperti didalam konteks diantara penduduk Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak masih lagi ditakuk lama.

Apa ertinya 1MALAYSIA itu sekiranya masih terdapat perbezaan diantara kita sebagai rakyat Malaysia terutamanya apabila penduduk Semenanjung diberi layanan yang amat berbeza untuk memasuki kedua-dua negeri tersebut dan tidak sebagaimana penduduk Sabah dan Sarawak yang begitu baik dilayannya ketika untuk memasuki semenanjung?

Sejak dahulu lagi isu kemasukan penduduk semenanjung ke Sabah dan Sarawak selalu dan telah diperkatakan dan ini bukannya masalah baru tetapi telah berlarutan semenjak 40 tahun lebih iaitu sebaik sahaja Sabah Sarawak bersama Persekutuan Tanah Melayu membentuk negara Malaysia.

Kita melihat semua orang sekarang berbicara dan bercakap tentang konsep 1MALAYSIA tanpa mengira tempat dan pada setiap masa. Namun begitu sebagaimana yang diperkatakan diatas, apakah maknanya sekiranya penduduk-penduduk dari Semenanjung Malaysia ini layan tidak ubah seperti rakyat asing atau warganegara luar setiap kali untuk memasuki ataupun melawat ke negeri sabah dan Sarawak? Kenapa penduduk semenanjung masih diperlukan passport untuk memasuki kedua-dua negeri tersebut sedangkan ianya sebahagian daripada Malaysia?

Bayangkanlah bagaimana sukar dan sulitnya warganegara yang berasal dari semenanjung kerana terpaksa untuk menyambung sebagai contohnya pas lawatan kesana pada setiap tiga bulan sekali di pejabat-pejabat imigresen disana. Itu tidak termasuk lagi keperluan pengesahan untuk tujuan lain seperti permit kerja serta berbagai perkara yang lain lagi?

Kalau benar dan jujurnya kempen seperti 1MALAYSIA ini, ianya akan lebih bermakna kepada kita sekiranya perkara yang asas ini di rombak atau dihapuskan serta merta bagi membuktikan konsep intergrasi nasional dan perpaduan rakyat negara berjaya selaras dengan kempen 1MALAYSIA sekarang ini. Tiada gunanya kerajaan melaung-laungkan berbagai kempen serta berbagai jawatankuasa ataupun program untuk bertujuan mengintegrasikan perpaduan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak tetapi didalam masa yang sama pula ada satu tembok halangan yang cukup besar terutamanya kepada penduduk semenanjung yang ingin kesana?

Pada saya ini masalah yang cukup serius yang perlu ditangani dengan segera kerana ianya sudah lama dialami oleh semua orang. Saya tidak berhasrat untuk meninjau masalah yang lain yang mungkin turut berkaitan seperti masalah tadi terutamanya dalam konteks 1MALAYSIA ini tetapi cukuplah untuk saya katakan janganlah rakyat Malaysia terus diperbodohkan oleh pemimpin-pemimpin kita yang berterusan melaungkan berbagai slogan untuk rakyat ikuti dan dijadikan panduan 'hidup' tetapi akhirnya rakyat tahu kenapa dan mengapa ianya terus gagal....

No comments: