Thursday, October 22, 2009

NEGERI DIBAWAH PAKATAN RAKYAT PERLU JAGA IMEJ!

Laporan Audit Negara untuk tahun 2008 untuk semua jabatan, kementerian dan negeri-negeri telah mula diedarkan kepada pengetahuan umum sejak minggu ini. Laporan ini adalah laporan umum tentang perjalanan kewangan tahunan yang melibatkan agensi kerajaan diperingkat negeri ataupun persekutuan.

Namun begitu laporan yang mengaitkan salah urus kewangan di negeri Selangor dan Pulau Pinang cukup menarik perhatian saya kerana ianya melibatkan di dua buah negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat (PR). Adalah amat malang kerana salah urus kewangan yang dimaksudkan ini hanyalah melibatkan perancangan perolehan kewangan negeri telah dijadikan sebagai isu utama oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional khususnya oleh Umno dan Gerakan selaku bekas tonggak pemerintah negeri Selangor dan Pulau Pinang.

Di akhbar-akhbar perdana negara hari ini menyiarkan beberapa pandangan yang dibuat oleh kedua-dua pemimpin BN diperingkat negeri ini kononnya akan ‘salah laku’ kewangan yang dikatakan sebagai ketidakcekapan PR untuk menerajui kedua negeri ini dan mengakibatkan salah urus kewangan terjadi!

Walaupun masih terdapat beberapa negeri dibawah pimpinan BN seperti salah guna kenderaan rasmi kerajaan seperti yang berlaku di Pahang dan juga salah urus pembelian pokok-pokok sebagaimana yang berlaku di Jabatan Pelajaran Kelantan dibawah selian Kementerian Pelajaran Malaysia, tetapi berita tentang kedua kes ini langsung tidak digembar gemburkan sebagaimana sepatutnya!

Adalah menjadi harapan kita sebagai rakyat bawahan ingin melihat ketelusan urustadbir kewangan negeri serta mengawal cara perbelanjaan negeri secara berhemah dapat dilakukan dengan cemerlang dan baik sekali dinegeri-negeri dibawah PR ini. Dengan rekod yang baik sudah pasti rakyat akan secara terus dapat menilai keupayaan PR untuk memerintah negeri-negeri seterusnya menguasainya di peringkat persekutuan. Dengan pilihanraya umum PRU ke 13 hanya tinggal kira-kira 2-3 tahun lagi daripada sekarang, PR sepatutnya sudah bersedia kearah tersebut.

Dengan menjadikan slogan dan manifesto ketika PRU 12 2008 lalu sebagai panduan, seharusnya tiada masalah untuk PR melaksanakan pemerintahan yang lebih telus, bertanggungjawab serta cekap didalam mentadbir negeri sebagai teras utama PR ini. Usaha-usaha kearah itu patut di junjung serta di julang dengan lebih tinggi lagi oleh rakyat sekiranya negeri-negeri di bawah PR berjaya membuktikannya berjaya.

Ketelusan mengurus tadbir kewangan amatlah diperlukan oleh semua pemerintah kerana ianya berkaitan amanah kewangan rakyat untuk dijaga dan bukannya disalahgunakan untuk ‘mentekedarah’ duit rakyat sesuka hati mentang-mentang kita mempunyai kuasa! Setiap keputusan yang dihasratkan untuk tujuan pembangunan serta kebajikan rakyat dengan menggunakan pula wang hasil cukai rakyat seharusnya dibuat selari dengan aspirasi yang dikehendaki oleh rakyat dan bukannya membangunkan sesuatu projek itu berasaskan idea serta demi menjaga ‘kantung dan poket’ serta ‘perut dan tembolok’ suku sakat mereka sahaja!

Sekali lagi sebagaimana saya katakan diawal tadi, PR akan lebih dipandang tinggi dan diyakini oleh rakyat sekiranya PR berjaya membuktikan ‘kehebatan’ pimpinan PR untuk menjaga amanah serta tahu menguruskan kewangan negeri berdasarkan keperluan yang sepatutnya. Jangan jadikan PR sebagai tohmahan yang bersifatkan sama sahaja dengan BN seandainya cara memerintah negeri serta ketelusan urus tadbir kewangan negeri turut dipertikaikan sebagaimana yang telah berlaku terhadap BN yang memerintah dibeberapa negeri selain Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

Diharapkan jangan ada pimpinan PR menuruti jejak langkah beberapa kerat pimpinan BN yang menunjukkan ‘kehebatan’ mereka dahulu bukan dengan cara yang sepatutnya tetapi berdasarkan kehebatan serta silap mata bagaimana untuk ‘menyapu’ wang yang diamanahkan oleh rakyat untuk mereka salahgunakan dengan cara yang tidak betul dan tidak mendatangkan faedah kepada rakyat khususnya.

No comments: