Wednesday, March 31, 2010

RUNTUH LAGI...APA LAGI ALASAN KERAJAAN TERENGGANU?

Apabila diberitahu oleh seorang rakan sekampung saya di Terengganu malam kelmarin melalui panggilan telefon yang memberitahu salah satu bangunan tambahan UMT ( Bangunan Institut Oseanografi dan Institiut Akuakultur Tropika ) yang masih dalam proses pembinaan runtuh, saya merasakan sedikit terkejut apatah lagi diberitahu ada kematian yang dilaporkan.

Kenapa saya terkejut? Sebenarnya semenjak kali pertama ‘kes keruntuhan’ seumpama ini berlaku pada bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) Jun tahun lepas boleh dikatakan sudah terlalu banyak kejadian - kejadian keruntuhan dan kecacatan yang menyusul pada pembangunan projek-projek di Terengganu yang boleh mengancam keselamatan dan nyawa orang awam sebagaimana yang dilaporkan.

Kes-kes keruntuhan yang berlaku ini turut dilaporkan didalam akhbar-akhbar tempatan malahan ada juga yang diberi liputan meluas akibat kecuaian yang telah berlaku.

Berikut antara tempat lain yang turut dikesan berlakunya keruntuhan serta kecacatan yang serius sejak setahun lalu sebagaimana yang dilaporkan di akhbar-akhbar tempatan sejak bumbung Stadium SMZA runtuh tahun lepas antaranya ialah;

1. Kubah Masjid Kampung Puteh Kemaman
2. Terminal Pengangkutan Awam Kuala Berang
3. Kebocoran syiling Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu
4. Kebocoran yang dikesan di Pusat Akuatik dan Renang MBKT, Batu Buruk
5. Keretakan di Pusat latihan Antarabangsa (ITC) Kemaman
6. Dewan Sekolah Menengah Wakaf Tapai Kuala Terengganu.

Dengan siri keruntuhan terbaru berlaku di UMT, apakah jaminan kita sebenarnya terhadap pembangunan baru di universiti tersebut? Kejadian ini sudah pasti akan menjadi tanda tanya samada keseluruhan pembangunan kampus universiti ini selamat atau pun tidak dan didalam masa yang sama pula ianya tidak akan mengancam keselamatan dan nyawa penggunanya yang terdiri daripada ribuan mahasiswa serta kakitangan universiti berkenaan.

Perlu diingat kejadian keruntuhan dan kecacatan yang telah berlaku ini bukanlah secara kebetulan semata-mata tetapi ini adalah akibat daripada kecuaian di semua peringkat samada ianya bermula daripada proses awalan tender sehinggalah kepada kelulusan pembangunan yang dijalankan termasuk kelayakan untuk menduduki diperolehi .

Saya tidak pasti apakah pihak kerajaan negeri Terengganu terutamanya masih berterusan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan pada setiap bangunan yang telah siap diserahkan dan digunakan ( sebagaimana yang disarankan oleh MB ketika sidang akhbar Stadium SMZA runtuh tahun lepas ) demi memastikan keselamatan setiap bangunan terjamin selamat apatah lagi mengenangkan hampir kesemua keruntuhan dan kecacatan ini berlaku pada bangunan atau prasarana kepunyaan kerajaan negeri.

Kejadian terbaru ini benar-benar menguji sekali lagi tahap kesabaran dan kepercayaan orang awam terhadap kontraktor yang telah diberi tanggungjawab untuk menyiapkan sesuatu projek yang telah dianugerahkan.

Pembangunan yang dilakukan ini adalah projek prasarana yang sudah pasti akan digunakan oleh ramai orang awam dan seharusnya pihak yang bertanggungjawab seperti kontraktor serta pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri perlu menyelesaikan masalah ini secara berhemah, cepat dan segera sebelum lebih banyak nyawa terkorban di masa depan dan yang paling penting jangan pula Terengganu selepas ini akan di kenali sebagai Darul Runtuh!

Tuesday, March 30, 2010

1 MALAYSIA, APA-APA PUN BOLEH....!

Suka atau pun tidak suka, hakikatnya parti terbesar kaum cina di negara kita iaitu MCA kini telah sah menerima ketua barunya selaku Presiden MCA yang baru iaitu Dato Seri Chua Soi Lek (CSL).

Saya tidak mahu mengulas tentang keperibadian beliau secara mendalam kerana umumnya seluruh negara telah mengetahuinya sejak ‘meletupnya’ kes CD salah laku seks beliau pada awal tahun 2008 dahulu yang menyebabkan beliau terpaksa melepaskan jawatan sebagai Menteri Kesihatan ketika itu dan seterusnya tidak bertanding untuk mempertahankan kerusi parlimen yang beliau pegang di Labis.

Tidak timbul soal untuk mempertikai kemenangan yang beliau perolehi pada 28 Mac 2010 di pertandingan jawatan tertinggi parti MCA tempohari cuma saya ingin bertanya apakah sebenarnya yang dicari oleh perwakilan serta ahli MCA sehinggakan CSL boleh memenangi pertandingan merebut jawatan Presiden parti MCA yang baru?

Bukan setakat 1 Malaysia yang terkejut malahan 1 Dunia pun turut ‘terkejut umpama anak beruk’ apabila CSL di isytiharkan menang (sebanyak 901 undi) kerana yang pemenang tersebut telah diketahui umum mempunyai rekod salah laku seks suatu ketika dahulu atau dengan bahasa indahnya sikit ialah ‘salah laku moral’!

Kita kadang-kala tidak dapat memahami kehendak perwakilan serta ahli parti. Apakah kemenangan CSL ini telah bermakna isu moral beliau telah selesai dan tidak akan berbangkit lagi gara-gara telah ‘dibersihkan’ dengan memberi kemenangan kepada CSL oleh perwakilan MCA tempohari?

Orang akan berkata, usah lagi dikenang serta diungkit kisah lama. Beliau sudah melakukan pengorbanan yang cukup besar apabila sanggup melepaskan jawatan Menteri Kesihatan dahulu serta tidak turut bertanding ketika PRU 2008 dahulu gara-gara kerana ingin menjaga imej MCA dan Baridan Nasional umumnya.

Semua pemerhati politik berpendapat, kemenangan CSL di pertandingan jawatan tertinggi MCA sebagai Presiden parti tidak akan menyelesaikan masalah keretakan dalaman didalam MCA yang telah berlaku sebelum ini malahan Barisan Nasional khususnya UMNO akan pasti turut terpalit sama dalam perkara isu moral ini.

Kalau di negara lain seperti Jepun atau Korea atau China atau Taiwan, sekiranya ada kedengaran pemimpin mereka yang bertaraf menteri melakukan salah laku seumpama CSL ini, maka mereka yang terlibat ini tidak teragak-agak untuk meletakkan jawatan dan seterusnya kesan yang mereka perolehi ialah nama mereka lama-kelamaan akan hilang begitu sahaja walaupun bertapa hebatnya dan banyaknya jasa yang telah mereka lakukan kepada rakyat sebelum ini!

Yang pastinya tidak ada peluang kedua untuk mereka kembali melakukan kejutan terbaru atau ‘comeback’ didalam arena politik di negara mereka. Tetapi perkara ini tidak berlaku di negara kita yang bernama 1 Malaysia ini. Makin teruk moralnya samada soal seks, rasuah, judi dan sebagainya maka makin 'cepatlah namanya naik'
ke atas samada di beri pangkat, jawatan atau sebagainya!

Lihat sahaja bagaimana kuat sekali pun tekanan dan desakan yang dikenakan terhadap beberapa orang tokoh politik didalam BN khususnya UMNO yang turut terpalit dengan berbagai isu samada skandal seks dan salah laku moral, isu mengambil rasuah, isu skandal hutang judi dan sebagainya, nama mereka yang dikatakan terlibat ini tetap segar malahan ada diantara mereka masih di beri kemenangan di pilihanraya kecil, ada yang masih diberi kemenangan didalam perebutan jawatan UMNO malahan ada juga yang dilantik sebagai Pengerusi syarikat-syarikat berkaitan kerajaan GLC serta NGO.

Kemenangan beliau ini tidak perlu dipertikaikan sama sekali terutamanya oleh pihak yang bersaing, ini kerana yang memberi kepercayaan kepada beliau adalah perwakilan, CSL cuma menawarkan khidmatnya yang terbaik sebagaimana yang beliau gagaskan ketika kempen dijalankan.

Akhirnya dengan tempoh memegang jawatan tertinggi MCA yang teramat singkat ini sehingga di pertengahan tahun 2011 nanti, apakah CSL mampu untuk menyatukan kembali serta mendamaikan kesemua pihak yang bertelagah sebelum ini? Sama-samalah kita menantikannnya….

Monday, March 29, 2010

KEMANA PERKASA SELEPAS INI?

Perhimpunan besar-besaran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) telah selamat diadakan semalam dengan berbagai perkara dan agenda telah dibahaskan disepanjang satu hari mesyuarat agung kali pertama PERKASA tersebut di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Mesyuarat Agung kali pertama PERKASA ini yang dirasmikan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad turut dijadikan tempat Tun Dr Mahathir untuk mengecam Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI) yang juga penasihat PKR dan juga mengaitkan Tuan Guru Dato Nik Aziz Nik Mat (TGNA) yang juga MB Kelantan sebagai orang yang bersengkongkol dengan apa yang dikatakan sebagai perbohongan yang dilakukan oleh DSAI?

Sebenarnya apakah motif PERKASA ditubuhkan? Seharusnya sebagai NGO yang membela orang melayu terutamanya sebagaimana yang didakwa oleh Presiden mereka Dato Ibrahim Ali yang juga MP Pasir Mas perlulah benar-benar mengotakan janjinya dan bukan dibiarkan menjadi alat kepada orang lain untuk merosakkan imej PERKASA.

Kini dilihat seolah-olah PERKASA sudah menjadi seperti ‘tempat persinggahan terakhir’ kepada mana-mana ahli politik yang telah tiada tempat didalam UMNO. Selain Dato Ibrahim Ali, ramai lagi antara mereka yang suatu ketika dahulu mempunyai tempat dan kepentingan didalam UMNO kini telah berada didalam PERKASA untuk 'bernafas' kembali demi kepentingan politik mereka.

Meneliti ucapan yang dibuat oleh Dato Ibrahim Ali ketika menyampaikan ucapan pembukaan di mesyuarat agung pertama tersebut antara lainnya membidas usaha pihak tertentu sebagaimana yang didakwakan oleh beliau apabila mengatakan adanya cubaan untuk memecah belahkan perpaduan bangsa di Malaysia disamping menimbulkan kacau bila didalam negara.

Apa yang kita hairankan ialah kenapa kedua-dua tokoh ini (Tun Dr Mahathir dan Dato Ibrahim Ali) telah menjadikan perhimpunan mesyuarat ini sebagai medan untuk ‘membelasah’ pemimpin-pemimpin serta parti-parti Pakatan Rakyat. Kenapa Pakatan Rakyat sahaja yang menjadi mangsanya? Kenapa Dato Ibrahim Ali khususnya tidak sama 'membalun' UMNO dan Barisan Nasional yang terang-terangan telah ditolak oleh pengundi pada PRU 2008 lalu?

Seharusnya PERKASA perlulah menjelaskan lagi peranan yang bakal dimainkan mereka terutamanya sebagaimana yang dikatakan untuk lebih berperanan sebagai NGO Melayu yang lebih kehadapan dan hebat mempertahankan apa sahaja yang berkaitan dengan hak orang melayu dan bumiputra disamping sudah pasti untuk membantu orang melayu yang susah serta miskin keluar daripada kepompong kemiskinan.

Tetapi itu tidak berlaku. Kita melihat pada apa yang berlaku sejak penubuhan PERKASA ini ianya seolah-olah dijadikan sebagai satu ‘talian hayat’ terbaru untuk UMNO 'bersandar' terutamanya didalam usaha mereka untuk ‘menyerang’ PKR dan PAS disamping didalam usaha menarik kembali sokongan orang melayu kepada UMNO khususnya didalam pilihanraya umum yang akan datang.

Tidak susah untuk kita mengenali persamaan antara ahli UMNO atau pun PERKASA. Dengan suara yang 'senada' terutamanya didalam perjuangan yang bersifat perkauman disamping berterusan membawa idea lapuk sebagaimana yang telah dilakukan oleh UMNO, kita pasti boleh mengecamnya lebih awal lagi persamaan ini.

Kita bukan lagi berada dizaman tahun 50an dan 60an yang mana ketika itu kita baru sahaja merdeka dan sudah pasti hubungan dan perpaduan di antara masih lagi longgar apatah lagi baru belajar untuk hidup dibawah satu bumbung bernama sebuah negara yang merdeka.

Kini kita sudah matang dan rakyat juga semakin pandai serta cerdik untuk menilai sesuatu perkara samada ianya betul atau pun tidak. Bagi saya kehadiran PERKASA akan lebih dihormati oleh semua kaum seandainya perjuangan mereka ini berlandaskan perjuangan semua bangsa, semua perkara didalam berbagai isu dan bukannya menyalak senada dengan UMNO didalam konteks melayu semata-mata.

Sunday, March 28, 2010

PRK HULU SELANGOR: MIC KELUAR, UMNO MASUK?

Polemik terbaru antara parti komponen didalam Barisan Nasional (BN) dijangka berlaku lagi apabila UMNO dan MIC masing-masing menuntut untuk meletakkan calonnya masing-masing di Pilihanraya kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor nanti.

Sebaik sahaja berita kematian mantan MP Hulu Selangor Dato Dr Zainal Abidin Ahmad tersebar, MIC melalui kenyataan Presidennya Dato Seri S.Samy Vellu telah awal-awal menetapkan bahwa Dato G.Palenivel adalah bakal calon yang akan dikemukakan kepada MIC kerana dengan alasan Dato G.Palanivel ini merupakan mantan MP disitu sejak 1995-2008 lalu oleh itu tidak menjadi masalah untuk MIC dan Barisan Nasional (BN) mencalonkan beliau lagi sekali.

Namun begitu sanggahan yang dibuat oleh beberapa orang pimpinan UMNO negeri Selangor jelas menunjukkan bahawa ada kemungkinan UMNO juga mahu meletakkan calon berasaskan komposisi pengundi di parlimen Hulu Selangor yang berkedudukan pengundi melayu 53.5%, berbanding pengundi cina 27% dan pengundi india pula sekitar 19.5%.

UMNO beranggapan strategi yang digunakan oleh PKR di Pilihanraya Umum PRU 12 lalu kelihatan berjaya apabila PKR melalui calonnya ketika itu Dato Dr Zainal Abidin Ahmad berjaya memenangi hati serta pengundi melayu yang menguasai parlimen Hulu Selangor sehingga PKR berjaya merampas kerusi ini daripada MIC yang merupakan penyandang tiga kali berturut melalui G.Palanivel yang juga merupakan Timbalan Presiden MIC.

Pemilihan calon yang sesuai dengan keadaan semasa juga amat penting lebih-lebih lagi didalam isu politik semasa negara yang tidak pernah padam sejak PRU 12. UMNO dengan strateginya yang melihatkan komposisi pengundi melayu sebagai majoriti melihatkan ini adalah peluang terbaik untuknya melonjakkan parti UMNO sebagai juara dikalangan orang melayu, justeru itu dengan meletakkan calon daripada UMNO sahajalah mereka merasakan kerusi ini mampu dikembalikan semula kepada BN.

Disamping itu juga UMNO beranggapan rakyat tidak berapa suka dan seronok dengan MIC atau kemungkinan tidak berapa suka kepada calon MIC disebabkan rekod lalu, memungkinkan lagi betapa kuatnya desakan agar UMNO diberi peluang bertanding disitu.

MIC pula beranggapan sebagai satu komponen utama BN merasakan parlimen Hulu Selangor adalah hak dan kepunyaan MIC sejak dahulu lagi dan seharusnya perkiraan ini diambil kira sebagai asas kerjasama didalam BN. Walaupun dengan jumlah pengundi kaum india begitu kecil, ia tidak seharusnya dijadikan asas untuk ‘menyingkirkan’ MIC begitu sahaja tanpa mengambil kira peranan MIC sebelum ini kepada pembinaan negara Malaysia!

Walaupun apa alasannya oleh kedua pimpinan UMNO dan MIC ini, rakyat kini sudah boleh menilai dan mengetahui apa yang sedang berlaku sekarang didalam BN dan kita juga tahu rakyat kini semakin matang dan melihat bahawa parti yang berasaskan perkauman seperti UMNO, MCA dan MIC sesungguhnya tidak ‘relevan’ lagi dinegara kita yang telah merdeka hampir 53 tahun ini.

Sesungguhnya inilah perbezaannya mereka (UMNO, MCA & MIC) berbanding Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang jelas berbeza dari segi pendekatannya yang tidak berasaskan rasis perkauman sebagai modal politik didalam perjuangan membela nasib rakyat bawahan!

Saturday, March 27, 2010

PILIHANRAYA KECIL HULU SELANGOR, UMNO & PARKINSON

Mengenali parti UMNO sebagai apa yang didakwakan oleh pemimpin-pemimpin mereka sejak dahulu UMNO ini sebagai sebuah parti yang berani, kental dan sanggup menghadapi apa juga rintangan samada didalam gelanggang atau pun diluar gelanggang pilihanraya.

Dengan ‘kalimah’ popular mereka sebagai ‘Pembela Orang Melayu’ yang senantiasa bermain dibibir para pemimpin atau pun penyokong mereka, dilihatkan UMNO ini suatu ketika dahulu sememangnya berani dan diakui cukup terkehadapan didalam soal perjuangan lebih-lebih lagi ketika berada didalam gelanggang pilihanraya!

Namun begitu kesan daripada pilihanraya umum (PRU) 2008 lalu, UMNO dilihat telah mula mengalami suatu ‘penyakit gementar’ sebelum bertanding seumpama Parkinson. Semua orang mengakui hakikat tersebut. Penyakit yang sentiasa gementar dan takut untuk berjuang ini mula meruntuni jiwa UMNO terutamanya pemimpin-pemimpin yang dikelaskan sebagai bertaraf dunia era millennium ini.

Merungkai sejarah ‘keberanian’ UMNO dahulu sekiranya ada sahaja desas-desus akan berlakunya sesuatu pilihanraya kecil terutamanya, merekalah yang paling terkehadapan dengan segala ‘mak nenek jentera’ diangkutnya untuk bersiap sedia memperlihatkan bertapa hebatnya UMNO ketika itu terutamanya sayap jantan (Pergerakan Pemuda UMNO) parti tersebut!

Dahulu merekalah yang paling digeruni, manakala pembangkang pula kelihatan takut untuk menghadapi pilihanraya. Takut kalah dengan jumlah undi yang diperolehi lawan semakin meningkat dan seterusnya bimbang kehilangan wang deposit adalah satu perkara lumrah yang sudah pastinya akan menakutkan lagi dipihak pembangkang.

Itu dahulu, kini tidak lagi. Sejak PRU 2008 seboleh-bolehnya Barisan Nasional (BN) dan sudah semestinya parti UMNO mengelak daripada berlakunya lagi pertembungan politik di medan pilihanraya kecil.

Sebagai contoh yang terbaru apabila dilaporkan Adun Titi Tinggi daripada MCA telah pun menghantar notis perletakan jawatannya sebagai Adun dikawasan tersebut kepada Speaker Dun Perlis, tetapi cepat-cepat pula pihak BN disana terutamanya UMNO tanpa segan silu ‘memujuk dan merayu’ agar perletakan tersebut dapat ditarik kembali dengan segera dan akhirnya satu keputusan telah dicapai diantara mereka dan Adun tersebut bersetuju untuk kekal sebagai Adun sehingga habis penggal ini.

Itu satu contoh yang terbaru yang berlaku pada tahun ini. Bagaimana pula dengan kes-kes yang lepas apabila UMNO seolah-olah ‘menjalankan tugas’ dan peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai pembuat keputusan samada patut ada atau tidak pilihanraya ini.

Sama hal nya dalam isu Dun Kota Seputeh yang sepatutnya pilihanraya kecil sudah boleh diadakan tetapi UMNO dengan ‘bantuan’ secara tidak langsung daripada SPR telah berjaya menghalang buat sementara waktu Dun tersebut daripada kosong dan secara automatik berjaya mengelak daripada pilihanraya kecil berlaku dikawasan tersebut.

Cuba lihat, apa yang berlaku pada Adun-Adun dan MP-MP apabila didesak oleh Pakatan Rakyat agar segera melepaskan jawatannya sebagai wakil-wakil rakyat sesudah mereka semua keluar parti (PKR dan DAP) dan menjadi wakil rakyat bebas, siapakah yang paling kuat menghalang mereka daripada meletakkan jawatan dan seterusnya diadakan pilihanraya kecil yang baru kalau tidak pemimpin yang berada didalam UMNO?

Kalau betul mereka kuat, kalau betul mereka berani dan tidak gentar sebagaimana UMNO dahulu, kenapa tidak sahaja dbenarkan Dun Perak dibubarkan bagi membolehkan pilihanraya negeri Dun Perak dapat diadakan semula untuk menyelesaikan kekusutan yang berlaku di Perak sejak Mac 2009 sehingga kini?

Sebabnya mereka takut, UMNO yakin sekiranya diadakan semula pilihanraya negeri Dun Perak tersebut atau sekurang-kurangnya hanya diadakan beberapa pilihanraya kecil, mereka amat yakin bahawa peluang untuk mereka menang adalah amat tipis! Mereka berpendapat daripada menerima kekalahan demi kekalahan yang berterusan akan dialami oleh UMNO & BN adalah lebih baik dihalangnya daripada siri-siri pilihanraya kecil berterusan berlaku sebagaimana kini bagi mengelakkan moral ahli-ahli UMNO semakin jatuh akibat kekalahan tersebut!

Itulah UMNO, mahu tidak mahu terpaksa juga akhir menghadapi satu lagi pertembungan yang menarik di siri pilihanraya kecil terbaru selepas PRU 2008 iaitu di Parlimen Hulu Selangor akibat kematian Mantan MP Dato Dr Zainal Abidin Ahmad. Mahu tidak mahu, UMNO & BN perlu hadapi juga walaupun sudah puas berusaha dan mengelak agar tiada lagi sebarang pilihanraya kecil tetapi, Allah SWT lebih mengetahuinya.

Nasihat saya untuk UMNO khususnya dan BN amnya yang selalu mendakwa berani dan tidak pernah gentar untuk berjuang; Janganlah gementar dahulu sebelum berjuang, jangan gugur dahulu sebelum berperang! Apakah UMNO kini dihinggapi sindrom penyakit seumpama pengidap Parkinson yang sentiasa gementar, takut serta runsing? Kita jumpa sahaja nanti di Hulu Selangor…..

Friday, March 26, 2010

PILIHANRAYA TEMPATAN (PBT), APA MASALAH SPR SEBENARNYA?

Apabila pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai sebuah badan yang mengurus serta mengendalikan sesuatu pilihanraya dinegara ini dengan tegasnya mengatakan tidak boleh diadakan pilihanraya kerajaan tempatan sebagaimana yang diminta oleh kerajaan Negeri Selangor dan Pulau Pinang kerana tiadanya peruntukan undang-undang untuk SPR melaksanakannya, kita merasakan seolah-olah ianya begitu pelik sekali.

Sebagaimana yang ditegaskan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof ketika sidang medianya semalam menjadikan beberapa Artikel berasaskan Perundangan Perlembagaan Persekutuan dan Negeri sebagai asas untuk pihak SPR menolak diadakan pilihanraya kerajaan tempatan seperti mana yang disiarkan di akhbar The Sun hari ini;

Article 113(1) of the Federal Constitution invests in the EC specific responsibility to conduct elections for the Dewan Rakyat and state assemblies.
 Under Article 113(4), a federal or state law may authorise the EC to conduct elections other than those in Clause (1).
 Section 15(1) of the Local Government Act, however , states that “for so long as this act is in operation, all provisions in any lawa relating to local government elections shall cease to have force or effect”.


Sekadar menyebut beberapa perkara yang berkaitan dengan peruntukan undang-undang, seharusnya perkara ini tidak boleh dijadikan alasan terus menolaknya. SPR sebagai sebuah badan yang berkuasa penuh didalam hal menguruskan pilihanraya ini seharusnya mencari jalan bagaimana untuk melaksanakannya walaupun perlu diadakan pindaan beberapa undang-undang kecil serta peruntukan yang sedia ada di Parlimen.

Melihat trend sejak akhir-akhir ini, SPR dilihatkan tidak berani atau kelihatan takut untuk bertindak sendiri sebagaimana kuasa yang ada pada SPR. Sebagai badan yang menguruskan pilihanraya, SPR boleh mengambil insiatifnya sendiri cuba sedaya upaya untuk memenuhi permintaan oleh kedua negeri Pakatan Rakyat ini dan bukan mereka-reka beribu alasan dan sebab untuk melihat pilihanraya kerajaan tempatan tidak menjadi kenyataan!

Saya tidak mahu mengulas kegagalan untuk melaksanakan pilihanraya kerajaan tempatan ini sebagaimana yang dikatakan oleh SPR dari segi peruntukan undang-undang, tetapi saya kadang-kadang tidak faham kenapa setiap kali persoalan yang cuba dibangkit tentang pilihanraya kerajaan tempatan ini, pihak SPR sudah awal-awal menafikan ianya daripada dilaksanakan?

Sejak awal apabila mengetahui negeri Selangor dan Pulau Pinang berhasrat untuk melaksanakan proses pilihanraya tempatan, SPR sudah membayangkannya sebagai suatu proses yang membazir kerana proses pemilihan Ahli-ahli Majlis Kerajaan Tempatan yang berasingan daripada Pilihan Raya Umum (PRU) sudah pasti membabitkan perbelanjaan yang besar untuk diuruskan oleh SPR!

Para pemimpin Barisan Nasional (BN) terutamanya daripada UMNO pula membayangkan apabila pilihanraya kerajaan tempatan diadakan ini maka ‘percakaran politik’ sesama kita akan berterusan dan didalam masa yang sama pula pembangunan diperingkat kerajaan tempatan akan menjadi lembab dan gagal diuruskn dengan baik.

Saya tidak tahu apa lagi alasan yang bakal diberi oleh SPR apabila Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Lim Guan Eng mencadangkan agar pilihanraya kerajaan tempatan dapat dijalankan serentak dengan pilihanraya peringkat negeri dan persekutuan? Dengan cara tersebut sudah pasti perbelanjaan dapat dijimatkan serta dikawal dengan baik.

Sekiranya pilihanraya kerajaan tempatan berjaya dilakukan, sudah pasti pemilihan ahli-ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan menjadi semakin telus dan jujur kerana ianya dipilih secara terus oleh rakyat di sesuatu PBT yang didiaminya berbanding kaedah sekarang, pemilihan ahli majlis PBT dibuat atas perlantikan politik yang sudah pasti tidak dapat memenuhi kehendak orang ramai di sesuatu tempat.

Saya yakin, sekiranya proses pilihanraya ini berjaya dilaksanakan imej PBT akan dipandang lebih tinggi oleh orang ramai kerana sudah pasti setiap ahli majlis PBT yang dilantik akan lebih bertanggungjawab kepada rakyat dan pengundi berbanding kini keadaannya lebih kepada memenuhi kehendak parti berbanding kehendak rakyat setempat.

Thursday, March 25, 2010

"KOLEKSI CERITA KELENTONG RAKYAT" OLEH PENGLIPURLARA MODEN!

Di zaman kanak-kanak dahulu, kita selalu dihidangkan berbagai cerita samada oleh guru atau pun melalui pembacaan yang berbentuk ‘koleksi cerita rakyat’ tidak kiralah apa pun status cerita tersebut yang pastinya setiap cerita amatlah disukai oleh kita ketika kecil dahulu.

Kita juga diberitahu dizaman dahulu kala, segala cerita-cerita koleksi rakyat ini banyak dibawa dan disampaikan ceritanya semula oleh seseorang yang dipanggil sebagai Penglipurlara. Tugasnya amat mudah iaitu menyampaikan cerita-cerita samada cerita benar, dongeng, mitos, lagenda atau pun sekadar rekaan semata-mata. Tidak kiralah apa keadaan pun, setiap cerita tersebut pasti boleh ‘menghiburkan’ para pendengar. Begitulah hebatnya peranan sebagai penglipurlara pada zaman tersebut.

Di zaman moden ini, penglipurlara yang banyak menyampaikan cerita –cerita sebenarnya masih wujud malahan mungkin akan terus bertambah ramai. Cuma yang membezakan kini ialah cerita yang disampaikan itu adalah daripada ‘koleksi cerita kelentong rakyat’ dengan peranan penglipurlaranya kini dibawa oleh bekas pemimpin-pemimpin yang pernah suatu ketika dahulu mendakwa sanggup apa saja demi mempertahankan Dato Seri Anwar brahim (DSAI) serta parti yang diwakilinya iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Kalau minggu sudah, kita didendangkan dengan cerita-cerita ‘sensasi’ di Parlimen oleh YB Dato Seri Zahrain Hashim (Sdr Zahrain) berkaitan dengan pelan 16 September dengan mengaitkan konon-kononnya DSAI ‘menjual’ nama Yang DiPertuan Agung serta pihak Tentera kononnya diatas ‘restu’ yang diperolehi bagi menjayakan pelan tersebut.

Heboh satu negara apabila pembongkaran Sdr Zahrain ini turut mengaitkan juga dengan beberapa nama YB-YB daripada Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO untuk sama-sama melompat dan seterusnya menyertai Pakatan Rakyat (PR) bagi membentuk kerajaan baru di peringkat persekutuan!

Apakah motif tindakan Sdr Zahrain ini tidaklah diketahui, apakah kerana ingin membalas jasa pihak-pihak tertentu setelah kekenyangan memakan hasil ataupun kerana poket yang telah kembung maka tindakan beliau menyerang bekas sahabat rapat beliau sendiri perlu juga dilakukan walaupun pahit?

Cerita-cerita sebegini sudah biasa kepada sesiapa yang keluar parti apatah lagi ‘melompat’ keluar untuk menyerang kembali rakan-rakan lama mereka serta kepada parti yang pernah dinaunginya suatu ketika dahulu demi untuk menunjukkan ‘taat setia’nya mereka kepada tuan barunya!

Itu cerita minggu sudah yang telah di ‘lipurlara’kan cerita-cerita kelentong rakyat dengan jayanya oleh Tuan Penglipurlara pertama Sdr Zahrain…

Hari ini siri-siri kecaman dengan cerita-cerita koleksi kelentong rakyat diteruskan lagi oleh YB Zulkifli Nordin (YB Zul) selaku penglipurlara kedua setelah dipecat oleh PKR akibat keceluparan mulutnya yang sengaja mencari pasal bukan setakat dengan rakan-rakan YB dari parti kawan (PAS & DAP) malahan juga turut menjadikan pimpinan serta parti sendiri PKR sebagai modal kecaman beliau!

YB Zul selalu menonjolkan dirinya sebagai pejuang Islam yang tulen apatah selalu mendendangkan ‘tagline’nya …..ISLAM FIRST, PARTY SECOND! Dengan lagak serta gaya angkuhnya adalah tidak menghairankan kita apabila YB Zul mengambil peluang di perbahasan Parlimen untuk turut mengaitkan ‘pihak tertentu’ yang kononnya iman beliau hampir goyah akibat tawaran pihak-pihak tertentu yang sanggup membayarnya sekiranya sanggup untuk terlibat sama memfitnah atau mengaitkan seseorang didalam kes Altantuya dan juga kes anak Dato Seri Nazri Aziz sebagaimana yang diperkatakan di Parlimen!

Peluang yang ada digunakan sepenuhnya oleh YB Zul untuk membelasah kembali pimpinan PKR yang telah memberinya peluang bertanding dan seterusnya menjadi sebagai Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu. Inikah perangai seorang yang mendakwa sebagai pejuang islam? Dengan memburuk mereka yang lain yang jelas tidak dapat dipastikan lagi kebenarannya apakah itu boleh dikatakan selaras dengan kehendak agama?

Berdasarkan pengalaman terhadap mereka yang pernah melompat parti ke parti yang lain, biasanya cerita-cerita mengarut seperti yang didendangkan oleh dua orang Yang Berhormat daripada PKR ini (sehingga kini baru dua orang) jelas langsung tidak dipercayai oleh rakyat apatah lagi untuk teladani!

Kenapa saya berkata begitu? Sebagaimana jawapan balas YB Abdul Ghaffur Salleh (MP Kalabakan) terhadap dakwaan yang dibuat oleh Sdr Zahrain yang mengaitkan beliau diantara nama yang bakal melompat pada pelan 16 September tempohari,

“ Kenapa selepas 2 tahun baru hendak didedahkan? Kenapa tidak dahulu? Kenapa saya yang tidak tahu apa-apa pun turut dikaitkan? Apa motif beliau? Kenapa sudah kenyang baru melompat?”

Kata-kata MP Kalabakan ini jelas menunjukkan kepada semua bagaimana orang seperti Sdr Zahrain ini tindak boleh dipercayai sebagaimana yang dipertikaikannya walaupun kenyataan ini dibuat didalam parlimen yang bersidang. Apakah kita yang diluar ini sebagai rakyat biasa pun boleh terpengaruh dan seterusnya mempercayai kenyataan Sdr Zahrain ini? Sama-samalah kita menilainya.

Sejarah penglipurlara tidak pernah padam sejak berzaman lagi. Kalau di zaman Kesultanan Melayu Melaka atau zaman Mahsuri, penglipurlara adalah merupakan 'profession' yang cukup hebat kerana setiap cerita-cerita yang disampaikan pasti akan mendapat pulangan yang besar dan mewah walaupun ianya jelas hanyalah cerita-cerita rekaan yang telah ‘dikelentong’ demi memenuhi ‘halwa telinga’ pembesar-pembesar yang berkuasa di zaman tersebut….

Wednesday, March 10, 2010

APABILA 2 TAHUN DIUMPAMA 53 TAHUN MEMERINTAH!

Semalam, 08 Mac 2010 genap dua tahun Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) menjadi kerajaan negeri yang memerintah terutamanya di negeri Selangor, Pulau Pinang, Kedah disamping Kelantan.

Namun begitu ulangtahun ke dua PR memerintah dinegeri-negeri tersebut telah dijadikan asas perbandingan untuk Umno / BN terutamanya membuat tohmahan serta memperkecilkan kemampuan Pakatan Rakyat ke atas pentadbiran dinegeri-negeri tersebut.

Ditambah lagi dengan ‘sokongan’ padu yang kuat oleh akhbar-akhbar arus perdana terutamanya Utusan Malaysia (UM) yang merendah-rendahkan kemampuan PR dengan membuat tinjauan bersama pemimpin-pemimpin Umno / BN bagi mendapatkan komen.

Saya merasa hairan, kerana melihat perbandingan yang diperkatakan oleh UM dan pemimpin-peminpin Umno / BN ini seolah-olah tidak memahami langsung asas perkiraan mereka! Kenapa saya berkata begitu? Melihat kenyataan yang dikeluarkan oleh mereka semua ini, seolah-olah dilihat PR tidak mempunyai pengalaman serta tidak reti untuk mentadbir negeri.

Apalah sangat perubahan drastik yang boleh PR lakukan apatah lagi baru 2 tahun memerintah dan mengambil alih kerajaan-kerajaan negeri (kecuali Kelantan) daripada kebobrokan pemerintahan pimpunan BN?

Umno / BN memerintah sejak Negara kita merdeka pada tahun 1957 iaitu sudah 53 tahun tetapi apakah ianya sudah dikira cukup baik dan cemerlang didalam pemerintahan? Usahlah kita memandang jauh, cukuplah kita membuat perbandingan dari segi kebajikan kepada rakyat dinegara ini.

Kalau sebagai contohnya kerajaan Selangor sebaik sahaja PR mengambil alih negeri tersebut, antara langkah yang terawal dilakukan oleh Dato’ Menteri Besar Selangor dan pimpinannya adalah memperkenalkan program ‘Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES)’ bertujuan sebagaimana yang dijelaskan oleh Dato’ MB Selangor rakyat akan menikmati kembali segala hasil dan perolehan negeri melalui kaedah kebajikan yang difikirkan sesuai.

Antaranya seperti perkhidmatan percuma bil air untuk 20 meter padu percuma pada setiap bulan, mengadakan Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), Skim Mesra Usia Emas dan lain-lain lagi.

Bayangkan bagaimana kreatifnya PR merangka semua ini adalah semata-mata untuk mengutamakan kebajikan rakyat terlebih dahulu berbanding Umno / BN yang hanya kreatif merangka ‘projek’ dan ‘kontrak’ dengan mementingkan dan menjaga ‘kebajikan kroni’ 2,3 kerat di persekitaran mereka sahaja!

Kadang-kadang bila melihat dan membaca kenyataan-kenyataan mereka (pemimpin Umno / BN) seperti komen daripada DS Mohd Khir Toyo (Mantan MB Selangor), DS S.Samy Vellu (Presiden MIC yang juga mantan Menteri Kerjaraya) dan beberapa orang yang lain lagi timbul pulak rasa kelakar mengenangkan ‘kebodohan’ yang jelas dan sepadan dengan kenyataan mereka.

Dengan mengutuk dan menghentam PR yang baru sahaja 2 tahun memerintah dan menuduh PR tidak mampu menunaikan janji sebagaimana didalam manifesto pilihanraya umum lalu tidak boleh dijadikan asas perbandingan 'kejayaan' Umno / BN yang telah memerintah 53 tahun negara ini. Kenyataan serta serangan mereka memperlihatkan seolah-olah PR tidak mampu, tidak tahu, tidak reti serta langsung tiada pengalaman untuk menjadi kerajaan yang adil dan saksama?

Tetapi kepada rakyat yang celik dan faham, kemampuan setelah 2 tahun dengan melakukan beberapa perubahan yang besar sudah dikira sebagai baik serta cemerlang apatah lagi Umno / BN sendiri pun tidak mampu melakukannya!

Benarlah kata orang; sekadar membaca (rujuk pada akhbar milik pemerintah) dan melihat serta mendengar (rujuk pada televisyen & radio) memang BOLEH tetapi untuk mempercayainya bulat-bulat seeloknya FIKIR-FIKIRKANLAH terlebih dahulu….

Monday, March 8, 2010

PKR LAGI MALU...

Wah! Angkuh sungguh kenyataan yang dikeluarkan oleh YB Zulkifli Nordin (YB Zul), MP Kulim Bandar Baharu yang disiarkan di muka depan Berita Minggu semalam 08 Mac 2010 apabila berkata “Malu berada didalam PKR”.

Pertamanya, siapa yang tidak kenal pada YB Zul? Seorang peguam yang hebat dan di antara barisan peguam yang terlibat membela DS Anwar Ibrahim (DSAI) didalam kes liwat kali pertama pada tahun 1998 dahulu. Kemenangan YB Zul pada pilihanraya umum (PRU 12 2008) lalu telah menaikkan lagi ‘saham’ beliau untuk menjadi semakin hebat dan terkenal lebih-lebih lagi didalam kes mempertahankan isu kalimah Allah serta isu saman dan kecaman beliau terhadap YB Khalid Samad (MP Shah Alam) rakan didalam Pakatan Rakyat (PR) sendiri.

Saya tidak ingin mengulas apa yang YB Zul hebat, apa yang YB Zul jadi terkenal dan apa yang YB Zul sanggup mengeluarkan kenyataan-kenyataan atau kecaman-kecaman yang dilihat ‘kurang ajar’ beliau selama ini samada kepada PKR sendiri, PAS ataupun DAP selain yang pastinya UMNO / Barisan Nasional (BN) tetapi sekadar lebih berminat kepada kenyataan “Malu berada didalam PKR “!

Keduanya, apakah sebenarnya yang dimaksudkan malu sangat berada didalam PKR ini sebagaimana yang katakan oleh YB Zul? Sebenarnya soal malu ini tidak timbul kalau tidak disebabkan kelancangan dan keceluparan mulut beliau sendiri. Apakah malu kerana PKR telah memecat beliau sebagai ahli parti? Atau malu kerana tidak menyangka ‘gurauan manja’ beliau pada PKR akhirnya beliau dipecat? Atau pun YB Zul juga tidak menyangka sama sekali yang PKR begitu berani ‘menendang’ beliau daripada parti?

Ketiganya, untuk pengetahuan YB Zul juga, parti sebenarnya beratus-ratus kali entah pun berjuta-juta kali lagi ingin memberitahu pada YB Zul yang PKR amat malu mempunyai seorang YB seperti YB Zul! Cuma sedikit 'kelebihan' YB Zul ialah apabila kenyataan malu YB Zul pada PKR semalam seperti mendapat 'sokongan' dan 'kerjasama' untuk diberi liputan malahan dimuka depan akhbar utama arus perdana (Berita Minggu)lagi, yang sudah pasti dapat dibaca oleh rakyat diseluruh negara dengan cepat!

Disamping itu juga PKR sebenarnya lagi malu yang teramat sangat kepada terhadap YB Zul terutamanya apabila melihat ‘telatah’ sumbang YB mengecam, mencerca, menghina serta memburuk-burukkan sesetengah pemimpin yang lain bukan setakat didalam PKR malahan juga kepada parti-parti sahabat yang lain.

Sebagai seorang yang selalu mengatakan pendiriannya ‘Islam first, party second’ seharusnya menunjukkan satu teladan yang baik kepada semua dan bukannya menjaja cerita orang ini orang itu kurang pemahamannya pada Islam dan sebagainya lagi. YB Zul tidak seharusnya merendah-rendahkan keislaman serta kefahaman oran lain apatah lagi bertindak menyaman seorang yang lain tanpa memikirkan semangat setiakawan didalam Pakatan Rakyat?

Benar, mungkin YB Zul mempunyai pertimbangannya yang tersendiri tetapi apakah dengan mengecam serta mengeluarkan kenyataan yang bukan-bukan itu boleh dijadikan sebagai isu atau pun seumpama ‘bola tanggung’ untuk UMNO khususnya membedal dan ‘menembak’ kepada semula PKR dan Pakatan Rakyat?

Untuk akhirnya, YB Zul kena faham hidup didalam satu jemaah sudah pasti mempunyai ikatan serta peraturannya tersendiri. PKR sebagai wadah parti pejuangan pun tidak terkecuali memiliki peraturan dan disiplinnya.Kita kena menghormatinya dan harus patuh kerana dengan cara ini sahaja setiap ahli parti mampu untuk didisplinkan dan dikawal.

Sebagai pemimpin, kita seharusnya bijak dan pandai membawa diri. Mungkin apa yang telah berlaku (pemecatan YB Zul dari PKR) ini ada hikmahnya tersendiri. Untuk PKR adalah menjadi harapan selepas ini agar dapat memilih calon yang sesuai dan bukannya atas hubungan yang ‘special’ sebagaimana yang terlah berlaku sebelum ini.

Manakala untuk YB Zul pula, YB kini telah bebas-sebebas-bebasnya untuk bersuara! YB Zul kini lebih terbuka untuk menghentam sesiapa pun. Mahu hentam BN ke khususnya UMNO atau PR khususnya PKR tiada siapa lagi yang boleh memarahi YB Zul apatah lagi untuk dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin parti sebagaimana sebelum ini kerana kini YB Zul sudah menjadi wakil rakyat (MP) Bebas….jadi tiada siapa yang boleh menghalang beliau lagi...teruskan hobi YB tersebut!

Friday, March 5, 2010

KENAPA BARU SEKARANG SEMUANYA BURUK?

Usah ditangisi 'pemergian mereka' dan biarkanlah berapa ramai pun daripada kalangan mereka(wakil-wakil rakyat; Adun atau MP dan mantan pemimpin kanan) Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berhasrat untuk keluar daripada 'perjuangan' ini.

"Redhakanlah pemergian mereka, usah kita ratapi mereka berterusan, jangan dikenang kesilapan lalu...."itulah antara bait-bait alunan syair lama yang pernah kedengaran. Pemergian mereka samada 'melompat' keluar parti untuk menjadi wakil rakyat bebas tetapi 'mesra BN' ataupun juga terus menyertai kembali Umno / BN seharusnya dikaji sebab musababnya berlaku dan bukannya berterusan mencari atau membalas balik sebarang kenyataan yang telah mereka berikan akibat tindakan mereka tersebut.

Saya melihat tindakan yang dibuat oleh Timbalan Presiden PKR, YB Senator Dr Syed Husin Ali dengan mengeluarkan kenyataan berbentuk tindakbalas secara rasmi di laman-laman media maya atau juga akhbar-akhbar tidak banyak membantu parti kearah yang lebih baik.

Kenapa saya berpandangan sedemikian? Ini kerana kalau dilihat kepada kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr Syed Husin terhadap mantan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang , Sdr Mohd Fairus Khairuddin, Dato Salehudin (mantan Setiausaha Agung)serta beberapa yang lain seolah lebih kepada bersifat menyerang peribadi seseorang didalam kenyataan tersebut!

Bagi saya tindakan sedemikian lebih bersifat kepada tindakan kurang matang didalam penyelesaian apatah lagi kenyataan Dr Syed Husin ini boleh diistilahkan 'memaparkan kelemahan' kita sendiri (yakni PKR dan pimpinan utama khususnya) didalam memenangi 'karenah' mereka ini semua semasa mereka masih berada didalam PKR!

Kenyataan yang lebih bersifat serangan dengan memaparkan 'segala keburukan dan kelemahan' yang ada seperti kepada Sdr Fairus, DS Zahrain, Dato Salehudin, Sdr Tan Tee Beng serta Sdr Mohsin dan lain-lain tidak seharusnya berlaku.

Sudah pasti orang ramai terutamanya ahli-ahli bawahan akan mempersoalkan kenapa perkara ini tidak didedahkan sejak awal ketika mereka ini masih berada didalam hiraiki parti? Apakah dengan menutup kelemahan mereka ini semua sudah cukup baik untuk menghindarkan perkara yang lebih besar akan berlaku sebagaimana yang telah berlaku sekarang?

Sebab itu sebagai parti yang dikatakan memperjuangkan prinsip keadilan tanpa memilih bulu dan bertindak tidak mengira 'siapa atau siapa' pun seharusnya turut menanamkan prinsip sebagaimana yang diperkatakan itu kepada mereka ini semua dan bukannya memaparkan kesilapan mereka sekarang! Kenapa dahulunya mereka ini semua 'nampak baik 'saja di mata ahli, penyokong serta kepimpinan parti seolah-olah tiada rahsia pun diantara mereka?

Persoalannya sekarang sekarang ialah apakah masih ada lagi kes-kes dikalangan mereka yang lain(dikalangan pemimpin dan wakil-wakil rakyat yang masih bersama PKR sehingga kini) yang mempunyai kes yang serupa seperti bersifat tamak, salah guna kuasa, melobi projek atau melobi jawatan CEO serta gaji yang tinggi?

Kalau masih ada haruslah kepimpinan parti terutamanya Dr Syed Husin sendiri yang patut menegurnya daripada sekarang dan bukannya berterusan lagi mengeluarkan kenyataan rasmi bersifat 'memburukkan peribadi' seseorang seperti sekarang.

Akhir kata sekali lagi saya ulangi, usahlah lagi diratapi pemergian mereka ini kerana yang pastinya mereka 'sudah tentu amat arif serta mengetahui' apa yang mereka telah lakukan, biarlah mereka melompat dan diucapkan juga Selamat Berambus!

Tuesday, March 2, 2010

APABILA AMANAH DIKHIANATI...

'Penghijrahan' beberapa orang wakil rakyat serta pemimpin daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menjadi wakil rakyat bebas atau menyertai kembali UMNO terus menjadi berita panas sejak sebulan lalu sehingga ke hari ini (Rujuk: pada tiga bulan pertama tahun 2010 ini).

Sekiranya kita mengimbas kembali sejarah 'keluar-melompat-menyokong' BN ini telah dimulai pada Februari 2009 oleh dua orang Adun PKR Perak bersama seorang Adun DAP yang tanpa diduga telah membuat 'pengorbanan' yang cukup besar apabila bertindak keluar daripada PKR dan DAP dan seterusnya mengisytiharkan diri mereka menjadi Adun Bebas tetapi 'Mesra BN'? Keputusan yang dipelopori oleh mereka bertiga ini telah menyebabkan negeri Perak yang dipimpin oleh kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Perak tumbang sekelip mata kepada Barisan Nasional (BN).

Episod Adun-Adun keluar PKR ini berterusan lagi apabila Adun Lunas (Kedah) dan Adun Pelabuhan Kelang (Selangor) pula yang bertindak sama mengikut jejak langkah 'cemerlang' dan 'bergaya' rakan-rakan mereka di Perak sebelum ini manjadi Adun Bebas tetapi 'mesra BN'!

Kini, setahun sudah berlalu apabila episod ini berulang lagi di bulan Februari 2010 pula, cuma yang membezakannya kali ini ialah apabila wakil-wakil rakyat yang berstatus Ahli Parlimen (MP) pula yang bertindak keluar parti dengan memberi beribu dan berjuta alasan semuanya menyalahkan pimpinan parti yang tidak memahami aspirasi mereka ini kononnya....

Dimulakan dengan MP Batu Kawan (Pulau Pinang), YB DS Zahrain Hashim yang diketahui semua adalah rakan akrab Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI) tetapi akhirnya turut belot untuk keluar PKR seterusnya bertindak menjadi MP Bebas dan diikuti dengan yang terbaru oleh YB Tan Tee Beng, MP Nibong Tebal yang bertindak sama sebagai MP Bebas.

Amat mengejutkan kita semua dengan tindakan DS Zahrain Hashim ini terutamanya yang bertindak sedemikian tanpa memikirkan keadaan DSAI yang kini berada didalam 'kesusahan' akibat kes dakwaan liwat terbaru oleh Saiful Bukhari tetapi malangnya rakan-rakan yang dikatakan rapat inilah yang mula-mula melarikan diri meninggalkan DSAI....

Untuk rekod DS Zahrain Hashim mula menyertai PKR pada tahun 2005 (sebaik sahaja DSAI keluar daripada penjara pada September 2004) dan begitu juga YB Tan Tee Beng menyertai PKR pada Januari 2007. Dengan berstatus mereka ini 'orang besar-besar' dan berstatus sebagai salah seorang 'rakan akrab DSAI' sejak sekian lama maka mereka ini telah diberi kepercayaan memimpin PKR peringkat negeri seperti yang diperolehi oleh DS Zahrain sendiri (secara mengejut) untuk menjadi Pengerusi PKR Pulau Pinang walaupun beliau baru sahaja menjadi ahli PKR pada ketika itu.

Saya melihatkan fenomena yang berlaku kini sedikit sebanyak telah menjejaskan reputasi PKR terutamanya sebagai parti yang paling banyak memiliki kerusi di parlimen dan dilihatkan secara tidak langsung sebagai satu taktik terbaru (yang didalangi entah siapa?)untuk melucutkan DSAI daripada terus mengetuai Pakatan Rakyat dan seterusnya menjadi Ketua Pembangkang di parlimen!

Kenapa saya berkata sedemikian? Rekod DSAI sebagai Ketua Pembangkang di era DS Najib Tun Razak kini amatlah cemerlang dengan silih berganti 'menyerang' Umno / BN di perlimen. Begitu juga dengan jumlah kerusi yang dimiliki oleh PKR semakin berkurang dan berterusan mengecil entah sampai bila akibat tindakan beberapa 'ekor beruk politik' yang lapar mengejar setandan pisang demi perut dan tembolok masing-masing sudah pasti boleh mengakibatkan DSAI tidak layak lagi menjadi ketua pembangkang berdasarkan daripada segi logiknya komposisi kerusi PKR berbanding dengan DAP dan PAS itu sendiri.

Dirasakan tindakan yang dibuat oleh beberapa kerat 'pengkhianat' parti ini seolah-olah menjadi suatu trend terkini dengan memberikan berbagai alasan yang lebih kurang standard 'sampah' dan dangkal untuk dijadikan tiket mereka keluar daripada PKR! usahlah lagi berlakon dengan memberi berbagai alasan...ceritalah hal sebenar kenapa mereka sanggup keluar parti daripada berterusan menjaja menyalahkan pimpinan PKR!