Wednesday, March 31, 2010

RUNTUH LAGI...APA LAGI ALASAN KERAJAAN TERENGGANU?

Apabila diberitahu oleh seorang rakan sekampung saya di Terengganu malam kelmarin melalui panggilan telefon yang memberitahu salah satu bangunan tambahan UMT ( Bangunan Institut Oseanografi dan Institiut Akuakultur Tropika ) yang masih dalam proses pembinaan runtuh, saya merasakan sedikit terkejut apatah lagi diberitahu ada kematian yang dilaporkan.

Kenapa saya terkejut? Sebenarnya semenjak kali pertama ‘kes keruntuhan’ seumpama ini berlaku pada bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) Jun tahun lepas boleh dikatakan sudah terlalu banyak kejadian - kejadian keruntuhan dan kecacatan yang menyusul pada pembangunan projek-projek di Terengganu yang boleh mengancam keselamatan dan nyawa orang awam sebagaimana yang dilaporkan.

Kes-kes keruntuhan yang berlaku ini turut dilaporkan didalam akhbar-akhbar tempatan malahan ada juga yang diberi liputan meluas akibat kecuaian yang telah berlaku.

Berikut antara tempat lain yang turut dikesan berlakunya keruntuhan serta kecacatan yang serius sejak setahun lalu sebagaimana yang dilaporkan di akhbar-akhbar tempatan sejak bumbung Stadium SMZA runtuh tahun lepas antaranya ialah;

1. Kubah Masjid Kampung Puteh Kemaman
2. Terminal Pengangkutan Awam Kuala Berang
3. Kebocoran syiling Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu
4. Kebocoran yang dikesan di Pusat Akuatik dan Renang MBKT, Batu Buruk
5. Keretakan di Pusat latihan Antarabangsa (ITC) Kemaman
6. Dewan Sekolah Menengah Wakaf Tapai Kuala Terengganu.

Dengan siri keruntuhan terbaru berlaku di UMT, apakah jaminan kita sebenarnya terhadap pembangunan baru di universiti tersebut? Kejadian ini sudah pasti akan menjadi tanda tanya samada keseluruhan pembangunan kampus universiti ini selamat atau pun tidak dan didalam masa yang sama pula ianya tidak akan mengancam keselamatan dan nyawa penggunanya yang terdiri daripada ribuan mahasiswa serta kakitangan universiti berkenaan.

Perlu diingat kejadian keruntuhan dan kecacatan yang telah berlaku ini bukanlah secara kebetulan semata-mata tetapi ini adalah akibat daripada kecuaian di semua peringkat samada ianya bermula daripada proses awalan tender sehinggalah kepada kelulusan pembangunan yang dijalankan termasuk kelayakan untuk menduduki diperolehi .

Saya tidak pasti apakah pihak kerajaan negeri Terengganu terutamanya masih berterusan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan pada setiap bangunan yang telah siap diserahkan dan digunakan ( sebagaimana yang disarankan oleh MB ketika sidang akhbar Stadium SMZA runtuh tahun lepas ) demi memastikan keselamatan setiap bangunan terjamin selamat apatah lagi mengenangkan hampir kesemua keruntuhan dan kecacatan ini berlaku pada bangunan atau prasarana kepunyaan kerajaan negeri.

Kejadian terbaru ini benar-benar menguji sekali lagi tahap kesabaran dan kepercayaan orang awam terhadap kontraktor yang telah diberi tanggungjawab untuk menyiapkan sesuatu projek yang telah dianugerahkan.

Pembangunan yang dilakukan ini adalah projek prasarana yang sudah pasti akan digunakan oleh ramai orang awam dan seharusnya pihak yang bertanggungjawab seperti kontraktor serta pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri perlu menyelesaikan masalah ini secara berhemah, cepat dan segera sebelum lebih banyak nyawa terkorban di masa depan dan yang paling penting jangan pula Terengganu selepas ini akan di kenali sebagai Darul Runtuh!

1 comment:

Din Kweng said...

nak tambah senarai demo...
- garaj kenderaan balai polis marang
- dewan sek menengah di daerah kuala terengganu