Perhimpunan besar-besaran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) telah selamat diadakan semalam dengan berbagai perkara dan agenda telah dibahaskan disepanjang satu hari mesyuarat agung kali pertama PERKASA tersebut di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
Mesyuarat Agung kali pertama PERKASA ini yang dirasmikan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad turut dijadikan tempat Tun Dr Mahathir untuk mengecam Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI) yang juga penasihat PKR dan juga mengaitkan Tuan Guru Dato Nik Aziz Nik Mat (TGNA) yang juga MB Kelantan sebagai orang yang bersengkongkol dengan apa yang dikatakan sebagai perbohongan yang dilakukan oleh DSAI?
Sebenarnya apakah motif PERKASA ditubuhkan? Seharusnya sebagai NGO yang membela orang melayu terutamanya sebagaimana yang didakwa oleh Presiden mereka Dato Ibrahim Ali yang juga MP Pasir Mas perlulah benar-benar mengotakan janjinya dan bukan dibiarkan menjadi alat kepada orang lain untuk merosakkan imej PERKASA.
Kini dilihat seolah-olah PERKASA sudah menjadi seperti ‘tempat persinggahan terakhir’ kepada mana-mana ahli politik yang telah tiada tempat didalam UMNO. Selain Dato Ibrahim Ali, ramai lagi antara mereka yang suatu ketika dahulu mempunyai tempat dan kepentingan didalam UMNO kini telah berada didalam PERKASA untuk 'bernafas' kembali demi kepentingan politik mereka.
Meneliti ucapan yang dibuat oleh Dato Ibrahim Ali ketika menyampaikan ucapan pembukaan di mesyuarat agung pertama tersebut antara lainnya membidas usaha pihak tertentu sebagaimana yang didakwakan oleh beliau apabila mengatakan adanya cubaan untuk memecah belahkan perpaduan bangsa di Malaysia disamping menimbulkan kacau bila didalam negara.
Apa yang kita hairankan ialah kenapa kedua-dua tokoh ini (Tun Dr Mahathir dan Dato Ibrahim Ali) telah menjadikan perhimpunan mesyuarat ini sebagai medan untuk ‘membelasah’ pemimpin-pemimpin serta parti-parti Pakatan Rakyat. Kenapa Pakatan Rakyat sahaja yang menjadi mangsanya? Kenapa Dato Ibrahim Ali khususnya tidak sama 'membalun' UMNO dan Barisan Nasional yang terang-terangan telah ditolak oleh pengundi pada PRU 2008 lalu?
Seharusnya PERKASA perlulah menjelaskan lagi peranan yang bakal dimainkan mereka terutamanya sebagaimana yang dikatakan untuk lebih berperanan sebagai NGO Melayu yang lebih kehadapan dan hebat mempertahankan apa sahaja yang berkaitan dengan hak orang melayu dan bumiputra disamping sudah pasti untuk membantu orang melayu yang susah serta miskin keluar daripada kepompong kemiskinan.
Tetapi itu tidak berlaku. Kita melihat pada apa yang berlaku sejak penubuhan PERKASA ini ianya seolah-olah dijadikan sebagai satu ‘talian hayat’ terbaru untuk UMNO 'bersandar' terutamanya didalam usaha mereka untuk ‘menyerang’ PKR dan PAS disamping didalam usaha menarik kembali sokongan orang melayu kepada UMNO khususnya didalam pilihanraya umum yang akan datang.
Tidak susah untuk kita mengenali persamaan antara ahli UMNO atau pun PERKASA. Dengan suara yang 'senada' terutamanya didalam perjuangan yang bersifat perkauman disamping berterusan membawa idea lapuk sebagaimana yang telah dilakukan oleh UMNO, kita pasti boleh mengecamnya lebih awal lagi persamaan ini.
Kita bukan lagi berada dizaman tahun 50an dan 60an yang mana ketika itu kita baru sahaja merdeka dan sudah pasti hubungan dan perpaduan di antara masih lagi longgar apatah lagi baru belajar untuk hidup dibawah satu bumbung bernama sebuah negara yang merdeka.
Kini kita sudah matang dan rakyat juga semakin pandai serta cerdik untuk menilai sesuatu perkara samada ianya betul atau pun tidak. Bagi saya kehadiran PERKASA akan lebih dihormati oleh semua kaum seandainya perjuangan mereka ini berlandaskan perjuangan semua bangsa, semua perkara didalam berbagai isu dan bukannya menyalak senada dengan UMNO didalam konteks melayu semata-mata.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment