Di zaman kanak-kanak dahulu, kita selalu dihidangkan berbagai cerita samada oleh guru atau pun melalui pembacaan yang berbentuk ‘koleksi cerita rakyat’ tidak kiralah apa pun status cerita tersebut yang pastinya setiap cerita amatlah disukai oleh kita ketika kecil dahulu.
Kita juga diberitahu dizaman dahulu kala, segala cerita-cerita koleksi rakyat ini banyak dibawa dan disampaikan ceritanya semula oleh seseorang yang dipanggil sebagai Penglipurlara. Tugasnya amat mudah iaitu menyampaikan cerita-cerita samada cerita benar, dongeng, mitos, lagenda atau pun sekadar rekaan semata-mata. Tidak kiralah apa keadaan pun, setiap cerita tersebut pasti boleh ‘menghiburkan’ para pendengar. Begitulah hebatnya peranan sebagai penglipurlara pada zaman tersebut.
Di zaman moden ini, penglipurlara yang banyak menyampaikan cerita –cerita sebenarnya masih wujud malahan mungkin akan terus bertambah ramai. Cuma yang membezakan kini ialah cerita yang disampaikan itu adalah daripada ‘koleksi cerita kelentong rakyat’ dengan peranan penglipurlaranya kini dibawa oleh bekas pemimpin-pemimpin yang pernah suatu ketika dahulu mendakwa sanggup apa saja demi mempertahankan Dato Seri Anwar brahim (DSAI) serta parti yang diwakilinya iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Kalau minggu sudah, kita didendangkan dengan cerita-cerita ‘sensasi’ di Parlimen oleh YB Dato Seri Zahrain Hashim (Sdr Zahrain) berkaitan dengan pelan 16 September dengan mengaitkan konon-kononnya DSAI ‘menjual’ nama Yang DiPertuan Agung serta pihak Tentera kononnya diatas ‘restu’ yang diperolehi bagi menjayakan pelan tersebut.
Heboh satu negara apabila pembongkaran Sdr Zahrain ini turut mengaitkan juga dengan beberapa nama YB-YB daripada Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO untuk sama-sama melompat dan seterusnya menyertai Pakatan Rakyat (PR) bagi membentuk kerajaan baru di peringkat persekutuan!
Apakah motif tindakan Sdr Zahrain ini tidaklah diketahui, apakah kerana ingin membalas jasa pihak-pihak tertentu setelah kekenyangan memakan hasil ataupun kerana poket yang telah kembung maka tindakan beliau menyerang bekas sahabat rapat beliau sendiri perlu juga dilakukan walaupun pahit?
Cerita-cerita sebegini sudah biasa kepada sesiapa yang keluar parti apatah lagi ‘melompat’ keluar untuk menyerang kembali rakan-rakan lama mereka serta kepada parti yang pernah dinaunginya suatu ketika dahulu demi untuk menunjukkan ‘taat setia’nya mereka kepada tuan barunya!
Itu cerita minggu sudah yang telah di ‘lipurlara’kan cerita-cerita kelentong rakyat dengan jayanya oleh Tuan Penglipurlara pertama Sdr Zahrain…
Hari ini siri-siri kecaman dengan cerita-cerita koleksi kelentong rakyat diteruskan lagi oleh YB Zulkifli Nordin (YB Zul) selaku penglipurlara kedua setelah dipecat oleh PKR akibat keceluparan mulutnya yang sengaja mencari pasal bukan setakat dengan rakan-rakan YB dari parti kawan (PAS & DAP) malahan juga turut menjadikan pimpinan serta parti sendiri PKR sebagai modal kecaman beliau!
YB Zul selalu menonjolkan dirinya sebagai pejuang Islam yang tulen apatah selalu mendendangkan ‘tagline’nya …..ISLAM FIRST, PARTY SECOND! Dengan lagak serta gaya angkuhnya adalah tidak menghairankan kita apabila YB Zul mengambil peluang di perbahasan Parlimen untuk turut mengaitkan ‘pihak tertentu’ yang kononnya iman beliau hampir goyah akibat tawaran pihak-pihak tertentu yang sanggup membayarnya sekiranya sanggup untuk terlibat sama memfitnah atau mengaitkan seseorang didalam kes Altantuya dan juga kes anak Dato Seri Nazri Aziz sebagaimana yang diperkatakan di Parlimen!
Peluang yang ada digunakan sepenuhnya oleh YB Zul untuk membelasah kembali pimpinan PKR yang telah memberinya peluang bertanding dan seterusnya menjadi sebagai Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu. Inikah perangai seorang yang mendakwa sebagai pejuang islam? Dengan memburuk mereka yang lain yang jelas tidak dapat dipastikan lagi kebenarannya apakah itu boleh dikatakan selaras dengan kehendak agama?
Berdasarkan pengalaman terhadap mereka yang pernah melompat parti ke parti yang lain, biasanya cerita-cerita mengarut seperti yang didendangkan oleh dua orang Yang Berhormat daripada PKR ini (sehingga kini baru dua orang) jelas langsung tidak dipercayai oleh rakyat apatah lagi untuk teladani!
Kenapa saya berkata begitu? Sebagaimana jawapan balas YB Abdul Ghaffur Salleh (MP Kalabakan) terhadap dakwaan yang dibuat oleh Sdr Zahrain yang mengaitkan beliau diantara nama yang bakal melompat pada pelan 16 September tempohari,
“ Kenapa selepas 2 tahun baru hendak didedahkan? Kenapa tidak dahulu? Kenapa saya yang tidak tahu apa-apa pun turut dikaitkan? Apa motif beliau? Kenapa sudah kenyang baru melompat?”
Kata-kata MP Kalabakan ini jelas menunjukkan kepada semua bagaimana orang seperti Sdr Zahrain ini tindak boleh dipercayai sebagaimana yang dipertikaikannya walaupun kenyataan ini dibuat didalam parlimen yang bersidang. Apakah kita yang diluar ini sebagai rakyat biasa pun boleh terpengaruh dan seterusnya mempercayai kenyataan Sdr Zahrain ini? Sama-samalah kita menilainya.
Sejarah penglipurlara tidak pernah padam sejak berzaman lagi. Kalau di zaman Kesultanan Melayu Melaka atau zaman Mahsuri, penglipurlara adalah merupakan 'profession' yang cukup hebat kerana setiap cerita-cerita yang disampaikan pasti akan mendapat pulangan yang besar dan mewah walaupun ianya jelas hanyalah cerita-cerita rekaan yang telah ‘dikelentong’ demi memenuhi ‘halwa telinga’ pembesar-pembesar yang berkuasa di zaman tersebut….
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment