Tuesday, March 2, 2010

APABILA AMANAH DIKHIANATI...

'Penghijrahan' beberapa orang wakil rakyat serta pemimpin daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menjadi wakil rakyat bebas atau menyertai kembali UMNO terus menjadi berita panas sejak sebulan lalu sehingga ke hari ini (Rujuk: pada tiga bulan pertama tahun 2010 ini).

Sekiranya kita mengimbas kembali sejarah 'keluar-melompat-menyokong' BN ini telah dimulai pada Februari 2009 oleh dua orang Adun PKR Perak bersama seorang Adun DAP yang tanpa diduga telah membuat 'pengorbanan' yang cukup besar apabila bertindak keluar daripada PKR dan DAP dan seterusnya mengisytiharkan diri mereka menjadi Adun Bebas tetapi 'Mesra BN'? Keputusan yang dipelopori oleh mereka bertiga ini telah menyebabkan negeri Perak yang dipimpin oleh kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Perak tumbang sekelip mata kepada Barisan Nasional (BN).

Episod Adun-Adun keluar PKR ini berterusan lagi apabila Adun Lunas (Kedah) dan Adun Pelabuhan Kelang (Selangor) pula yang bertindak sama mengikut jejak langkah 'cemerlang' dan 'bergaya' rakan-rakan mereka di Perak sebelum ini manjadi Adun Bebas tetapi 'mesra BN'!

Kini, setahun sudah berlalu apabila episod ini berulang lagi di bulan Februari 2010 pula, cuma yang membezakannya kali ini ialah apabila wakil-wakil rakyat yang berstatus Ahli Parlimen (MP) pula yang bertindak keluar parti dengan memberi beribu dan berjuta alasan semuanya menyalahkan pimpinan parti yang tidak memahami aspirasi mereka ini kononnya....

Dimulakan dengan MP Batu Kawan (Pulau Pinang), YB DS Zahrain Hashim yang diketahui semua adalah rakan akrab Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI) tetapi akhirnya turut belot untuk keluar PKR seterusnya bertindak menjadi MP Bebas dan diikuti dengan yang terbaru oleh YB Tan Tee Beng, MP Nibong Tebal yang bertindak sama sebagai MP Bebas.

Amat mengejutkan kita semua dengan tindakan DS Zahrain Hashim ini terutamanya yang bertindak sedemikian tanpa memikirkan keadaan DSAI yang kini berada didalam 'kesusahan' akibat kes dakwaan liwat terbaru oleh Saiful Bukhari tetapi malangnya rakan-rakan yang dikatakan rapat inilah yang mula-mula melarikan diri meninggalkan DSAI....

Untuk rekod DS Zahrain Hashim mula menyertai PKR pada tahun 2005 (sebaik sahaja DSAI keluar daripada penjara pada September 2004) dan begitu juga YB Tan Tee Beng menyertai PKR pada Januari 2007. Dengan berstatus mereka ini 'orang besar-besar' dan berstatus sebagai salah seorang 'rakan akrab DSAI' sejak sekian lama maka mereka ini telah diberi kepercayaan memimpin PKR peringkat negeri seperti yang diperolehi oleh DS Zahrain sendiri (secara mengejut) untuk menjadi Pengerusi PKR Pulau Pinang walaupun beliau baru sahaja menjadi ahli PKR pada ketika itu.

Saya melihatkan fenomena yang berlaku kini sedikit sebanyak telah menjejaskan reputasi PKR terutamanya sebagai parti yang paling banyak memiliki kerusi di parlimen dan dilihatkan secara tidak langsung sebagai satu taktik terbaru (yang didalangi entah siapa?)untuk melucutkan DSAI daripada terus mengetuai Pakatan Rakyat dan seterusnya menjadi Ketua Pembangkang di parlimen!

Kenapa saya berkata sedemikian? Rekod DSAI sebagai Ketua Pembangkang di era DS Najib Tun Razak kini amatlah cemerlang dengan silih berganti 'menyerang' Umno / BN di perlimen. Begitu juga dengan jumlah kerusi yang dimiliki oleh PKR semakin berkurang dan berterusan mengecil entah sampai bila akibat tindakan beberapa 'ekor beruk politik' yang lapar mengejar setandan pisang demi perut dan tembolok masing-masing sudah pasti boleh mengakibatkan DSAI tidak layak lagi menjadi ketua pembangkang berdasarkan daripada segi logiknya komposisi kerusi PKR berbanding dengan DAP dan PAS itu sendiri.

Dirasakan tindakan yang dibuat oleh beberapa kerat 'pengkhianat' parti ini seolah-olah menjadi suatu trend terkini dengan memberikan berbagai alasan yang lebih kurang standard 'sampah' dan dangkal untuk dijadikan tiket mereka keluar daripada PKR! usahlah lagi berlakon dengan memberi berbagai alasan...ceritalah hal sebenar kenapa mereka sanggup keluar parti daripada berterusan menjaja menyalahkan pimpinan PKR!

No comments: