Monday, June 7, 2010

APABILA JUDI CUBA DI JADIKAN SEBAGAI 'KEBAJIKAN'

Ascot Sports Sdn Bhd adalah merupakan syarikat perjudian terbaru yang diberi hak bertujuan untuk menguruskan lesen pertaruhan sukan bukan sahaja sempena musim bolasepak Piala Dunia yang bakal berlangsung tidak lama lagi tetapi juga bertujuan untuk menguruskan pelbagai pertaruhan sukan dinegara ini pada masa akan datang.

Dengan lulusnya lesen judi terbaru yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan pada bulan lepas, jelas menunjukkan kepada kita semua betapa kerajaan mengambil mudah serta langsung tidak menghormati sensitiviti majoriti perasaan orang Melayu yang juga ummat Islam di negara ini selaku tunggak utama penduduk Malaysia.

Kenyataan terbaru yang dikeluarkan oleh Tan Sri Vincent Tan yang mahu mendermakan RM525 juta hasil penjualan kepentingan dalam Ascot Sports Sdn Bhd kepada Better Malaysia Foundation dilihat seolah-olah sebagai satu cubaan memperjudikan perasaan dan kemarahan rakyat dinegara ini khususnya ummat Islam.

Beliau dilihat seperti terlalu mementingkan diri sendiri untuk hidup kaya raya tetapi didalam masa yang sama juga kesenangan yang dimilikinya itu diperolehi daripada kemusnahan rakyat Malaysia akibat suka berjudi.

Tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) memberikan lesen pertaruhan sukan kepada Ascot Sports Sdn Bhd mendapat kritikan hebat khususnya dari Pakatan Rakyat kerana seolah-olah memperlihatkan rakyat negara ini begitu kemaruk dengan judi sepanjang masa!

Sebab itu kita melihat tindakan yang dibuat oleh Tan Sri Vincent Tan itu seolah-olah rakyat Malaysia akan termakan serta berterima kasih yang teramat sangat dengan sumbangan RM 525 juta yang diberi diatas nama untuk tabung kebajikan.

Sesungguhnya rakyat negara ini amat tahu untuk menilainya samada setiap perbuatan itu baik atau pun sebaliknya. Yang pasti usahlah terus menggula-gulakan rakyat negara ini diatas nama amal dan kebajikan.

Kita juga merasakan langkah yang dibuat oleh Kerajaan negeri dibawah Pakatan Rakyat untuk tidak membenarkan sebarang aktiviti pertaruhan sukan di negeri-negeri yang terlibat seperti Kelantan, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang amatlah tepat sama sekali.

Walaupun Tan Sri Vincent Tan sendiri semalam merayu kepada kerajaan-kerajaan negeri dibawah Pakatan Rakyat (PR) agar bersikap adil dan menarik balik larangan dikenakan ke atas premis judi sukan di negeri masing-masing, kita merasa tindakan ini amatlah bertepatan sama sekali dan secara tidak langsung rakyat negara dapat menilai siapakah sikap sebenar pemimpin-pemimpin BN di negara ini?

Keputusan membenarkan judi terbaru ini diadakan juga seolah-olah memperlihatkan kerajaan sudah kehilangan punca untuk mencari dana dan hasil perolehan yang lain secara sah dan halal disisi agama Islam.

No comments: