Wednesday, June 9, 2010

ISU LULUS LESEN JUDI: RAKYAT MAKIN KELIRU

Terkejut pun ada apabila mendengar kenyataan PM Dato Seri Najib Tun Razak yang mengatakan lesen perjudian bolasepak sebenarnya masih tidak diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

Bukan untuk mempertikaikan kenyataan tersebut apatah lagi kenyataan itu keluar daripada mulut seorang Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Malaysia selaku orang yang berkuasa didalam pemberian kelulusan lesen perjudian itu.

Cuma memikirkan kekeliruan yang timbul. Rakyat Malaysia sudah pasti keliru kerana baru sahaja tiga minggu lepas di maklumkan Kementerian Kewangan telah meluluskan lesen perjudian bolasepak sempena ketibaan Piala Dunia 2010 ini.

Perkara ini disahkan sendiri oleh Timbalan Menteri Kewangan Dato Chor Chee Heung pada 12 Mei 2010 lalu apabila menyatakan kelulusan tersebut telah diberikan kepada syarikat pengendali judi bolasepak tersebut iaitu Berjaya Group menerusi syarikat Ascot Sports Sdn Bhd.

Sebab itu kenyataan DS Najib ini amat mengejutkan kita semua. Kita juga menjadi semakin keliru apabila Pengerusi Kumpulan Berjaya Tan Sri Vincent Tan sendiri mengesahkan bahawa lesen perjudian bolasepak terbaru telah diluluskan oleh pihak Kementerian Kewangan.

Kita kini keliru. Siapa yang betul siapa yang bohong? Ini bukan perkara main-main. Adakah Vincent Tan yang berbohong? Atau pun Chor Chee Heung yang berbohong? Atau Najib yang berbohong? Kita tidak tahu kini kenyataan siapa yang harus di pakai?

Adakah kenyataan terbaru DS Najib tersebut hanyalah bersifat ingin menutup kemarahan rakyat terutamanya orang Melayu Islam akibat tindakan membenarkan perjudian bolasepak beroperasi sempena Piala Dunia 2010 ini?

Kita tidak mahu kenyataan ini bersifat retorik dan sementara semata-mata dek kerana kecaman serta kemarahan rakyat. Kita mahu kerajaan lebih bertanggungjawab untuk tidak membenarkan sebarang lesen perjudian daripada beroperasi.

Sebagai sebuah negara Islam, eloklah kita mencari sumber pendapatan negara dengan cara yang betul dan di benarkan oleh syarak. Bukannya menjuruskan kepada sumber yang tidak halal menurut Islam. Di manakah keberkatan yang negara mahukan seandainya gejala ‘gila berjudi’ dijadikan sebagai tonggak ekonomi negara kita?

Adalah menjadi harapan kita agar pimpinan kerajaan negara kita terutamanya daripada pemimpin UMNO lebih bersikap bertanggungjawab terhadap agama Islam didalam membuat sesuatu perkara atau dasar.

Akhir kata, Isu lesen judi ini benar-benar merentapkan lagi keyakinan, kepercayaan dan harapan rakyat terutamanya orang Melayu Islam kepada kerajaan dibawah pimpinan UMNO / BN ini.

No comments: