Thursday, June 24, 2010

UMNO MEMBUKA JALAN PADA ULAMA, ADAKAH ITU TANDA-TANDA PRU 13 BAKAL MENJELMA?

40 Ulama Ph.D sertai UMNO esok – Shahidan ; Itu antara kenyataan yang didakwa oleh mantan Menteri Besar Perlis Dato Seri Shahidan Kassim didalam Utusan Malaysia hari ini 24 Jun 2010 (m/s:7).

Menurut beliau lagi, satu pertemuan bersama 40 Ulama berkelulusan PhD tersebut dan kesemuanya telah menyatakan hasrat untuk menyertai UMNO kepada Perdana Menteri sendiri pada hari jumaat ini.

Kita amat berharap agar tindakan dan pendirian ulama-ulama tersebut untuk menyertai UMNO dapat memberi suatu impak yang sebaik mungkin pada parti tersebut dan ini selaras dengan pendirian mereka yang dinyatakan sendiri didepan Shahidan Kassim sebelum itu.

“Mereka menyatakan pendirian mahu berada dalam UMNO untuk terus menggerakkan dakwah. Jika UMNO silap mereka akan tegur dan jika yang baik mereka akan memujinya”

Melihat kepada hasrat dan harapan ulama-ulama mengingatkan saya kembali terhadap beberapa orang yang dilihatkan begitu berpengaruh sebelum menyertai UMNO akhirnya ‘kecundang’ juga dek kerana usaha untuk menjalankan misi dakwah serta pembersihan UMNO daripada dalam gagal akibat tiadanya sokongan pemimpin-pemimpin utama UMNO ketika itu untuk bersama-sama dengan ulama-ulama ini.

Sejarah awal UMNO suatu ketika dahulu memperlihatkan bagaimana para ulama ramai dinafikan peranannya didalam usaha membawa UMNO kearah yang lebih baik. Lihat saja bagaimana kecewanya para ulama yang berada didalam UMNO ketika itu apabila Loteri Kebajikan yang dibantah sekeras-kerasnya oleh ulama ini terus dibenarkan dengan alasan mencari dana untuk parti!

Pada akhir tahun 70an sehingga kini, kehadiran mereka yang mempunyai kelayakan yang tinggi didalam bidang agama berterusan menyertai UMNO ini antaranya seperti Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad (mantan MB Terengganu 1974-1999), Tan Sri Yusuf Nor, Dato Dasuki Ahmad, Tan Sri Abdul Hamid Othman, Dato Nakhaei Ahmad (Mantan Naib Presiden PAS), Tan Sri Asri Muda (Mantan Presiden PAS) dan lain-lain lagi sehinggalah kepada penyertaan Dato Abdullah Zin (MP Besut & mantan Menteri di JPM), Dato Firdaus (Mantan Imam Besar Masjid Negara), Dato Dr Masyitah dan juga Dato Seri Brig.Jen (B) Jamil Khir yang merupakan Timbalan dan Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama).

Secara umumnya, sejarah para ulama yang berada didalam UMNO sebenarnya tidaklah membawa kemana akhirnya. Ini kerana dengan ruang yang ada didalam parti seperti itu, keterbatasan ulama untuk bersuara kadang kala dinafikan dan lebih menyedihkan lagi ianya terus dipandang sepi saja.

Dengan isu yang terus menerus timbul seperti isu memberi lesen perjudian bolasepak Piala Dunia 2010, ianya dilihatkan langsung tidak diberi perhatian oleh pemimpin-pemimpin utama UMNO malahan ada dikalangan pemimpin-pemimpin beragama Islam didalam UMNO sendiri yang berani untuk menyatakan sokongan agar judi bolasepak ini dibenarkan beroperasi!

Kita melihat bahawa sejak dahulu lagi, penyertaan ulama didalam UMNO ini hanyalah bertujuan untuk memberi saingan kepada PAS terutamanya didalam menyatakan ‘kebenaran’ diatas setiap tindakan yang dibuat oleh UMNO.

Pada kita walaupun menerima seramai 40 orang ulama baru kedalam UMNO, kebimbangan kita sekiranya ulama yang ada ini tidak mampu untuk menegur kesalahan pimpinan utama UMNO dan negara sebagaimana yang telah berlaku sebelum ini tetap ada. Akhirnya jadilah ulama-ulama tersebut sekadar tukang angguk dan pengampu pimpinan semata-mata demi prinsip perut masing-masing perlu didahulukan.

Yang pastinya, kita tidak nampak bahawa dengan penyertaan 40 orang ulama ini mampu mengugat kekuatan yang ada didalam Pakatan Rakyat khususnya PAS pada pilihanraya umum ke 13 nanti kerana rakyat melihat ‘kebusukan dan kebobrokan’ yang ada pada UMNO itu sendiri sudah cukup memualkan dan ini secara tidak langsungnya penolakan terhadap ulama muda UMNO tersebut pasti turut sama berlaku!

No comments: