Setahun selepas berlakunya runtuhan bumbung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu rupanya masih berada dijalan cerita yang sama.
Sehingga kini rupanya kesan runtuhan bumbung stadium tersebut masih belum diperbaiki. Jangan katakan hendak dibaiki, hendak dibersihkan limpahan sisa runtuhan stadium pun tidak dilakukan lagi sehingga kini.
Stadium ini yang dibina sempena Terengganu menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) 2008 dengan kos RM292 Juta hanya sempat digunakan selama setahun sahaja apabila bumbung stadium tersebut runtuh secara tiba-tiba pada pagi 02 Jun 2009.
Sebagaimana menurut kata Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said di akhbar hari ini yang melahirkan kekecewaan serta kekesalan yang teramat sangat apabila sehingga kini pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri Terengganu dikatakan masih gagal untuk memilih kontraktor yang sesuai bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan dan membaik pulih kembali bumbung stadium tersebut.
Satu persoalan ialah kenapa kontraktor yang melaksanakan pembinaan stadium ini tidak mahu bertanggungjawab untuk menyelesaikan perkara ini sedangkan apa yang dilaporkan sebelum ini stadium ini masih lagi berada didalam tempoh kecacatan (Liability Period) yang mana sekiranya berlaku sebarang kerosakan atau pun kecacatan didalam tempoh 18-24 bulan contohnya, maka kontraktor yang melaksanakan projek tersebut akan bertanggungjawab untuk membaikinya tanpa menuntut sebarang kos tambahan untuk tujuan tersebut.
Kita sebenarnya berasa hairan kenapa perkara yang sepenting ini masih belum diselesaikan sedangkan perkara ini adalah melibatkan kepentingan awam yang seharusnya di siasat dan diselesaikan dengan kadar segera.
Bagi kita keutamaan membaik pulih terlebih dahulu stadium ini amatlah dialukan kerana ianya melibatkan kemudahan rakyat yang seharusnya digunakan untuk tujuan sebaiknya dan bukan untuk dijadikan sebagai perhiasan kepada orang luar.
Kita tidak mahu stadium semahal ini kosnya hanya boleh digunakan untuk sementara waktu sahaja yang sudah tentu menimbulkan rasa kurang senang kepada rakyat negeri Terengganu sendiri khususnya.
Menteri Besar sebagai ketua pentadbir bagi kerajaan negeri Terengganu seharusnya lebih pro aktif didalam menyelesaikan perkara ini dan bukannya hanya menunggu laporan daripada orang-orang bawahannya tanpa melihat dan menyelaminya sendiri.
Yang pastinya kita amat menyesali kerana selepas setahun kejadian ini seharusnya ia telah diselesaikan segalanya baik dari segi siasatan, baik dari segi pembersihan apatah lagi baik dari segi membaikpulih semula bumbung stadium tersebut.
Alangkah ruginya, stadium yang termoden dan tercanggih dipantai timur ini serta antara yang termoden di negara ini gagal untuk di manfaatkan oleh rakyat sepenuhnya akibat kesilapan dan kecuaian bodoh ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment