Saturday, July 31, 2010

KETEGUHAN & KEUTUHAN DAYA JUANG SEORANG WIRA

Menuduh dan membuat tohmahan tanpa bukti pada seseorang yang belum pasti akan kesalahannya sememang mudah. Kalau hendak dikira rasanya sudah beribu kutukan dan ejekan telah dituju kepadanya namun sehingga kini beliau tetap dan masih bertahan bagaikan seorang wira yang sentiasa menjadi sebutan di bibir rakyat bawahan khususnya.

Itulah Sdr Anwar Ibrahim, yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) merangkap Ketua Pembangkang di Parlimen Malaysia. Tanpa mahu mengulas sejarah dan kehebatan beliau ketika berada didalam Kabinet Malaysia sejak 1982 sehinggalah beliau di pecat dan di aibkan oleh pimpinan UMNO pada 02 September 1998, tetapi itulah hakikatnya akan ‘kehebatan’ beliau miliki.

Usaha pihak-pihak tertentu terutamanya daripada pimpinan UMNO-Barisan Nasional (BN) tetap berterusan untuk memalukan dan mengaibkan keperibadian beliau. Terkini bagaimana pendedahan yang cuba dimanipulasikan oleh akhbar Utusan Malaysia (UM) dengan menyiarkan di muka utama akhbar berkenaan kononnya Anwar sedang berusaha untuk memujuk kembali Yahudi ketika lawatan beliau ke Amerika Syarikat baru-baru ini.

Sejak sekian lama, usaha pihak media seperti akhbar-akhbar utama milik pemerintah yang berterusan untuk mengutuk serta menghina Anwar terus berlaku walhal akhbar sepatutnya bertindak sebagai penyebar maklumat yang tepat demi kebaikan rakyat haruslah berjuang untuk rakyat dan bukannya menjadi alat pemerintah untuk melakukan fitnah serta cerita yang tidak masuk dek akal!

Alangkah malang rasanya apabila akhbar seperti Utusan Malaysia terus memainkan isu kononnya Anwar memiliki hubungan yang ‘rapat’ dengan Yahudi sebagai berita utamanya untuk dimomokkan kepada masyarakat kampung dan desa terutamanya orang Melayu agar mempercayai kononnya inilah perangai anwar yang sebenarnya!

Kalau diimbaskan kembali disepanjang perbicaraan Anwar di mahkamah didalam kes salah laku seks liwat kali pertama dahulu, akhbar ini adalah ‘penyumbang’ utama yang menceritakan segala keburukan serta ‘menelanjangkan’ setiap inci tubuh badan Anwar dengan pelbagai cerita yang meloyakan untuk dibaca oleh rakyat kononnya itulah perbuatan Anwar!

Sesungguhnya kita hanya merancang tetapi yang menentukan perancangan kita hanyalah ketentuan Illahi.

Justeru itu amatlah tidak menghairankan kita sekiranya usaha memburuk Anwar tetap diteruskan lagi oleh akhbar ini demi menjayakan cita-cita pihak tertentu agar segala kebobrokan pemerintah yang cuba didedahkan oleh Anwar tidak akan berjaya.

Wednesday, July 28, 2010

KEBENARAN GURU AKTIF POLITIK: 3 PERSOALAN YANG PERLU KPM JAWAB!

Langkah kerajaan membenarkan kembali para guru gred 41 hingga 48 kembali melibatkan diri secara aktif didalam politik mulai 01 Ogos 2010 ini sememangnya disambut baik oleh semua kerana sebagaimana yang kita tahu golongan ini adalah antara mereka yang begitu dekat dengan masyarakat dan amat memahami kehidupan masyarakat harian.

Sebagaimana menurut kata Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohamad Sidek Hassan semalam bahawa langkah ini adalah berlandaskan hakikat bahawa golongan guru ini adalah orang yang memainkan peranan penting memimpin masyarakat suatu masa dahulu didalam senario politik Negara kita.

“Masanya sudah tiba mereka dibenarkan aktif semula didalam politik” , menurut beliau lagi semalam.

Berdasarkan kata-kata beliau semalam, keputusan membenarkan para guru kembali aktif didalam politik ini disamping memegang jawatan politik adalah bersandarkan kepada beberapa keadaan iaitu antara lainnya perlulah mendapatkan kebenaran bertulis Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran terlebih dahulu disamping tidak menjejaskan atau menganggu tugas mengajar di sekolah masing-masing.

Bukan untuk menidakkan kata-kata KSN itu. Cuma beberapa persoalan pasti akan berlegar-legar diminda kita akan kebenaran tiba-tiba oleh kerajaan untuk aktif berpolitik kepada guru-guru ini.

Ada tiga persoalan yang ingin kita ketahui akan jawapannya daripada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) terutamanya.

Pertama, apakah kebenaran ini dibuka untuk semua guru-guru tanpa mengambil kira sokongan mereka kepada parti mana yang mereka minati? Atau pun hanya untuk guru-guru yang menyokong dan menjadi ahli UMNO-BN sahaja? Kerana apa yang diketahui sejak dulu lagi sudah pun ramai para guru dibiarkan untuk aktif berpolitik khususnya guru-guru yang menyokong UMNO-BN!

Kedua, diberitahu bahawa setiap guru yang berhasrat untuk memegang dan aktif didalam politik perlulah meminta kebenaran terlebih dahulu daripada pihak atasan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Apakah sebelum ini guru-guru yang ‘totok’ menyokong dan telah aktif memegang jawatan didalam UMNO telah turut sama meminta kebenaran tersebut?

Ketiga, sebagaimana kata KSN guru-guru boleh aktif berpolitik cuma jangan mengabaikan tugas hakiki mereka untuk mengajar di sekolah masing-masing. Apakah jaminan KPM ini semua tidak menggangu pengajaran masing-masing nanti?

Untuk pengetahuan pihak atasan KPM, sebenarnya sudah sekian lama guru-guru yang aktif didalam UMNO terutamanya mengabaikan tugas mereka apabila masing-masing sibuk untuk bermesyuarat ke sana ke sini setiap masa yang sehinggakan terdapat rungutan daripada ibubapa pelajar sendiri!

Sebab itu didalam hal ini, kita bersikap terbuka dan amat bersetuju dengan kebenaran yang diberikan kepada guru-guru untuk aktif berpolitik cuma kita tidak mahu kebenaran ini hanyalah bersikap sementara dan mengamalkan ‘kebenaran terpilih’ sahaja!

Bagi kita, tiga persoalan yang diutarakan tadi adalah merupakan persoalan dasar sahaja yang sudah pasti boleh dijawab oleh pihak KPM terutamanya.

BARU CADANGAN, KENAPA KHIR TOYO MELENTING?

Serangan berterusan akhbar Utusan Malaysia (UM) terhadap kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat (PR) Selangor diteruskan lagi hari ini dan semalam gara-gara cadangan yang dibuat oleh Tony Puah Ahli Parlimen DAP bagi memansuhkan harga diskaun pembelian rumah dan hartanah khas untuk bumiputera.

Lantas tuduhan terhadap DAP sebagai sebuah parti ‘chauvenist’ terus dilemparkan kepada beliau oleh mantan Menteri Besar Selangor, DS Khir Toyo semalam bagi melahirkan kemarahan yang teramat sangat kerana dikatakan sebagai berterusan untuk menghina dan meminggirkan kaum Melayu bumiputera di negeri ini.

Satu perkara yang harus kita fahami disini ialah ini baru cadangan dan sekadar lontaran idea yang dikemukakan oleh Tony bagi menjamin dan mengelakkan unsur-unsur kemungkinan penyalahgunaan kuasa oleh mereka yang rapat dengan pemaju.

Berdasarkan pengalaman yang lepas, didapati juga kuota atau diskaun yang diberikan kepada bumiputera untuk membeli hartanah tersebut juga telah disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu yang berkepentingan untuk mengaut keuntungan ‘atas angin’ sahaja.

Kadang-kala kita sendiri tidak pasti apakah kuota yang diperuntukan diskaun bagi setiap pembelian hartanah tersebut benar-benar telah nikmati oleh pembeli bumiputera ataupun sekadar pelengkap tetapi penuh dengan tipu muslihat akibat permainan pihak-pihak tertentu?

Sebagai masyarakat yang matang, kita seharusnya menilai terlebih dahulu akan apa yang dicadangkan ini tanpa mengambil langkah terburu-buru menuduh seseorang itu sebagai pelampau atau ekstremis pada parti tertentu sahaja.

Kita tidak tahu dengan cadangan tersebut apakah begitu baik atau pun sebaliknya. Justeru itu adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk melihat terlebih dahulu kemungkinan yang baik itu dan sudah pasti perkara yang baik lengkap dengan bukti dan asasnya akan diterima kemudian hari nanti.

Sebagaimana kata MB Selangor, TS Abdul Khalid Ibrahim begitu tenang dan memberikan kenyataan yang begitu professional berdasarkan hujahnya yang matang.

Katanya, pemberian diskaun bumiputera itu juga didapati mendorong kepada amalan penyalahgunaan apabila ada pihak tertentu didapati cuba meraih keuntungan daripada kelebihan tersebut.

"Kerajaan negeri terbuka sebarang cadangan daripada mana-mana pihak untuk meningkatkan ekonomi di negeri ini. Mengenai cadangan ini ada rasionalnya kerana diskaun itu seharusnya digunakan untuk membantu golongan bumiputera miskin dan yang berpendapatan rendah."

TS Abdul Khalid juga berkata cadangan itu juga hanyalah melibatkan hartanah yang berjumlah RM500,000 sehingga RM1 juta ke atas dan bukan melibatkan hartanah kos rendah.

Justeru itu, dakwaan pihak-pihak tertentu yang berterusan menuduh DAP dan Pakatan Rakyat sebagai cuba menghapuskan keistimewaan bumiputera adalah tidak benar sama sekali.

Asasnya adalah mudah iaitu cadangan ini dibuat bukan kerana tidak mahu menolong bumiputera tetapi untuk mengelakkan ada kumpulan tertentu yang cuba menyalahgunakan pemberian diskaun itu bagi kepentingan mereka sahaja!

Friday, July 16, 2010

JANGAN SAMAKAN NILAI 5 SEN ORANG KAYA DENGAN ORANG MISKIN

Mulai malam tadi tepat jam 12 tengah malam sekali lagi bahan api (minyak & gas kenderaan) di negara kita dinaikkan iaitu kenaikan ‘pertama’ untuk tahun 2010 ini.

Petrol RON 95 dijual RM1.85 seliter, Diesel RM1.72 seliter manakala LPG RM1.85 sekilogram yang dikatakan oleh kerajaan sebagai langkah pertama program rasionalisasi subsidi secara berperingkat yang berkuat kuasa hari ini.

Manakala RON 97 diberitahu tidak lagi diberikan subsidi dan tertakluk kepada apungan secara terkawal dengan harga ditentukan oleh mekanisme harga automatik.

Kita melihat kaedah ini tidaklah boleh dikatakan sebagai tidak membebankan rakyat seperti mana yang didakwakan oleh kerajaan. Apalah ertinya kalau akhirnya rakyat bawahan juga yang terpaksa menanggung segala beban?

Ada orang berkata kepada saya, apalah ertinya sangat disebalik kenaikan harga tersebut sekadar 5 sen sahaja berbanding dahulu kenaikan sehingga 15-25 sen seliter pada harga minyak?

Lagi pun kata meraka lagi kenaikan ini agak adil dan seimbang apatah lagi ianya dibuat berdasarkan pertimbangan yang tidak membebankan rakyat didalam proses untuk menyelaraskan subsidi.

Baik! Saya mengakui kenaikan ini tidak besar hanyalah sekitar 5 sen sahaja tetapi adakah kita tahu bahawa kesan kenaikan ini sudah pasti akan menjalar sehingga ke peringkat sebawah-bawahnya!

Teori kita mudah sahaja, melihat kepada perkara yang lebih besar kesannya. Usah hanya melihat apa yang berlaku didepan mata. Percaya atau tidak kesan kenaikan 5 sen ini akan menyebabkan kesemua barangan serta perkhidmatan akan turut naik sama yang kadang kala harga di naikkan itu nanti tidak masuk akal berbanding hanya kenaikan asas minyak tersebut 5 sen sahaja.

Usahlah pak-pak menteri hendak menafikan hakikat pada kesan kenaikan ini. Rakyat disemua peringkat akan merasainya nanti. Yang paling terasa nanti ialah rakyat bawahan, orang yang miskin, susah, masyarakat di pendalaman, di kampung, di desa terutamanya. Bagaimana pula kepada mereka yang mempunyai keluarga yang besar. Apakah ini tidak diambil kira oleh kerajaan juga untuk dinilaikan?

Terlalu memikirkan penyelarasan subsidi ini dibuat demi menjimatkan perbelanjaan kerajaan sehingga RM750 Juta tahun ini. Tolong jelaskan apakah kaedah ini yang dikatakan kaedah terbaik untuk penjimatan kerajaan akan turut sama sebagai yang terbaik kaedahnya untuk rakyat?

Apakah jaminan penjimatan RM750 Juta itu benar-benar boleh disalurkan kepada sektor yang lebih penting seperti kesihatan dan pendidikan sebagaimana yang didakwakan? Kita tidak mahu yang akhirnya ketirisan RM750 Juta tersebut akan berterusan berlaku sebagaimana sebelum ini.

Masihkah kita ingat apa reaksi PM kita DS Najib Tun Razak ketika rakyat bangkit marah dan mengecam akan kenyataan yang dibuat oleh DS Idris Jala apabila Idris berani menyalahkan pemberian subsidi oleh kerajaan kepada rakyat adalah punca utama akan kemungkinan negara kita akan bangkrap tidak lama lagi?

Najib segera menjawab dan mengatakan soal itu (isu pemberian subsidi kepada rakyat harus dikurangkan) tidak muktamad pun lagi dan itu hanyalah cadangan Idris sahaja.

Kata pujangga ada mengatakan, kenyataan hari ini tidak melambangkan kenyataan hari esok dan itulah hakikatnya sebagaimana yang telah berlaku hari ini. Menepati slogan kepimpinan PM, ‘rakyat didahulukan percapaian di utamakan’ bagi kita hanyalah sekadar penyedap halwa telinga semata-mata…

SEJAK BILA PULAK UMNO PANDAI BERDEMONSTRASI?

Dahulu UMNO selalu melaungkan bahawa budaya demonstrasi bukanlah amalan parti mereka! Orang yang suka berdemonstrasi itu adalah seumpama ‘beruk-beruk dijalanan’ sebagaimana yang diungkapkan oleh Ketua Pemuda UMNO Malaysia iaitu Sdr Khairy Jamaluddin di Perhimpunan Agung UMNO dahulu. Pada pandangan mereka lagi itu semua adalah amalan yang dibawa oleh pembangkang khususnya oleh ahli-ahli dan penyokong KEADILAN serta Pakatan Rakyat.

Kini kata-kata penghinaan 'Beruk-beruk dijalanan' tersebut telah dijadikan sebagai 'kata-kata azimat' yang suci oleh pendokong dan ahli UMNO di beberapa negeri khususnya di negeri-negeri yang di perintah oleh Pakatan Rakyat (PR).

Terbaru semalam, apabila pimpinan UMNO Selangor, Majlis gabungan Pertubuhan Sukarela Selangor, Majlis Belia Selangor dan juga Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) negeri Selangor telah bekerjasaman mengadakan demonstrasi sambil berarak sejauh 500 meter untuk menghantar memorandum tersebut kepada TS Khalid Ibrahim. yang juga MB Selangor.

Perarakan dan demonstrasi tersebut telah diketuai oleh Exco Pemuda UMNO, Sdr Lokman Nor Adam yang juga suatu masa dahulu adalah mantan Setiausaha AMK Malaysia.

Penghinaan serta cacian oleh Khairy Jamaluddin dahulu terhadap peserta demonstrasi pembangkang kini seolah-olah telah ‘terkena balik’ pada muka ahli-ahli UMNO khususnya kepada pemuda UMNO dibawah jagaan beliau sendiri!

Persoalannya kini kenapa baru sekarang UMNO beria-ria hendak membongkar segala cerita tentang kemusnahan alam, kehilangan pasir, ketirisan pada pendapatan negeri Selangor akibat penjualan pasir secara haram sedangkan semua orang tahu perkara ini sudah bermula sejak sekian lama di zaman pemerintahan UMNO-Barisan Nasional (BN)?

Alih-alih sekarang ini, Kerajaan Selangor pimpinan PR pula yang hendak dipersalahkan akibat apa yang dikatakan oleh UMNO sebagai ‘ketidakcekapan’ kerajaan negeri untuk mengurus dan mentadbir urusan pasir ini?

Sungguh pelik dan hairan dengan sikap UMNO Selangor kini yang begitu bersungguh-sungguh untuk dilihat dimata rakyat Selangor khususnya bahawa merekalah ‘pejuang sebenar’ terhadap penyelewengan serta kehilangan pasir ini!

Ibarat kata pepatah, mereka (UMNO/BN) yang membuang najis dimerata-rata tempat, Pakatan Rakyat pulak yang dipersalahkan kerana tidak pandai untuk membersihkan najis mereka tersebut?

Itulah hakikatnya, DS Khir Toyo dilihat rakyat sebagai seorang pejuang sejati didalam isu ini sekarang. Tetapi beliau dan rakan-rakan UMNO jangan lupa, mereka boleh berlakon dan mendakwa apa saja untuk menjadi juara didalam kes penjualan pasir ini tetapi hakikat yang sebenarnya semua rakyat Selangor tahu akan kebenarannya.

Monday, July 12, 2010

UMNO HANYA MEMERLUKAN PAS KETIKA MEREKA TERSEPIT SAHAJA

Sudah berhari-hari samada akhbar atau pun media elektronik seperti tv dan radio, isu kerjasama PAS dengan UMNO sepatutnya di teruskan kembali di 'lagukan' di atas nama perpaduan Melayu dan Islam sepenuhnya.

Dalam Utusan Malaysia hari ini 12 Julai 2010, di muka hadapan bertajuk “Malaysia mudah amal dasar Islam jika PAS, UMNO bersatu”. Satu tajuk yang baik untuk di baca akan ceritanya.

Sebagai orang Melayu dan beragama Islam di negara ini, secara peribadinya memang menginginkan kerjasama yang baik dan jitu didalam konteks hubungan persaudaraan sesama Islam ini apatah lagi itulah yang kita harapkan selama ini ianya berlaku.

Sejarah cubaan kearah kerjasama antara dua parti ini sudah lama wujud. Bermula sebaik sahaja berlakunya Tragedi 13 Mei 1969 sehingga menjuruskan salam undangan oleh UMNO terhadap PAS yang dimulai pelawaan tersebut oleh Tun Razak terhadap Dato Asri yang ketika itu adalah YDP Agung PAS Pusat.

Kesan daripada tragedi 13 Mei tersebut akhirnya PAS bersetuju menerima pelawaan UMNO bagi membentuk kerjasama yang kuat sehingga tertubuhnya satu kerjasama politik yang baru di bawah pembentukan Barisan Nasional (BN) pada tahun 1972.

Namun cuaca tidak selalu baik sebagaimana yang diharapkan, langit juga tidak selalunya cerah, mendung hadir secara tiba-tiba, hujan pun turun bersertakan guruh serta kilat sabung menyabung, akhir PAS di tendang keluar oleh UMNO-BN pada tahun 1978.

Ini fakta sebenarnya, tiada sesiapa pun yang berani menafikan bahawa kekuatan yang dimiliki kembali oleh UMNO-BN itulah puncanya mereka berani menendang keluar PAS pada ketika itu!

Persoalan yang di ‘lagu’kan oleh UMNO kini ialah kenapa PAS tidak mahu berkerjasama dengan mereka (UMNO)? Kalau PAS boleh berkerjasama dengan DAP, kenapa tidak dengan UMNO yang terang lagi bersuluh kata mereka yang UMNO ini adalah parti orang Melayu dan sebuah parti ‘Islam’ juga?

Kita ungkapkan kembali sejarah kekuatan UMNO selepas setiap pilihanraya dan bila pula waktunya hasrat UMNO mahu ‘berganding bahu’ dan berkerjasama dengan PAS akan muncul?

Secara ringkasnya ia bermula selepas UMNO-Perikatan kehilangan majoriti di Dewan rakyat selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 1969 dan terjadi pulak Tragedi 13 Mei tersebut, maka bermulalah kali pertama ‘drama perpaduan’ demi Melayu dan Islam di dendangkan.

Tapi mengenangkan keihlasan, keluhuran dan kejujuran Tun Razak pada ketika itu yang kelihatan bersungguh untuk menguatkan perpaduan orang Melayu dan Islam, maka PAS tidak teragak-agak untuk menerima pelawaan tersebut pada waktu itu.

Tapi selepas beberapa tahun di lihat UMNO-BN mula kuat kembali, tanpa di sangka-sangka pada tahun 1978 PAS ditendang daripada komponen BN. Kerana apa? Kerana orang UMNO melihat bahawa mereka kini sudah semakin kuat dan mantap.

Sejarah selepas keputusan PRU 1978, 1982, 1986, 1990 dan 1995 langsung isu kerjasama dan perpaduan Melayu dan Islam antara PAS dengan UMNO tidak kedengaran malahan UMNO pula kelihatan semakin angkuh dan sombong apabila PAS pula cuba 'menyuarakan' pula kerjasama atas nama kepentingan Islam!

Selepas mengalami kemerosotan yang teruk pada PRU 1999 disebabkan kegawatan politik didalam UMNO sendiri akibat pemecatan Anwar Ibrahim daripada UMNO, isu perpaduan dan kerjasama UMNO-PAS ini mula kedengaran kembali pada awal tahun 2001 sehinggakan beberapa kali pertemuan pimpinan tertinggi UMNO-PAS bertemu untuk membincangkannya.

Tetapi ianya lenyap sama sekali apabila UMNO-BN yang diketuai oleh PM baru ketika iaitu DS Abdullah Badawi menang besar didalam sejarah PRU pada tahun 2004. Apakah PAS dipandang mereka pada ketika itu? Ohh...tidak sama sekali sebab mereka ahli-ahli UMNO berpendapat UMNO-BN sudah kuat kembali!

Ibarat kata pepatah; seperti roda kadang-kadang diatas, kadang-kadang dibawah. Begitu jugalah UMNO-BN apabila mengalami kekalahan paling dahsyat mereka didalam sejarah PRU Malaysia apabila kehilangan lima negeri dan ketiadaan majoriti 2/3 sebagaimana sebelum ini di PRU 12, Mac 2008!

Sekali lagi isu perpaduan Melayu dan Islam antara UMNO-PAS di bunyikan tetapi kali ini didendangkan di atas tajuk ‘Unity Government’ (Kerajaan Perpaduan) pula? Hasratnya satu kali ini iaitu agar UMNO-BN berjaya didalam agenda Kerajaan Perpaduan kali ini dan seterusnya berjaya menggagalkan perpaduan yang utuh yang sedang tercipta kini iaitu Pakatan Rakyat (Kerjasama KEADILAN-PAS-DAP).

Kini isu tersebut telah pun lenyap apabila TG Nik Aziz Nik Mat yang juga Mursyidul Am PAS mahu agar apa yang disebut Kerajaan Perpaduan antara PAS-UMNO dihentikan serta merta atas berbagai alasan yang kukuh atas pengalaman TG Nik Aziz sendiri yang mengalaminya pda tahun 1978 dahulu.

Percayalah UMNO ini hanya mencari PAS dan memerlukan PAS hanya ketika mereka susah sahaja. Apabila sudah kuat kembali UMNO pasti akan mengulangi lagi sebagaimana yang berlaku pada tahun 1978 dahulu iaitu melupakan PAS, ibarat menolong anjing yang tersepit, akhirnya melawan balik pada yang menolongnya....Itu kenyataan!

Saturday, July 10, 2010

PIALA DUNIA MENGATASI SEGALANYA...

Bolasepak adalah acara sukan yang paling diminati dan disukai oleh seluruh peminat di dunia tanpa mengira agama, kaum, negara, bahasa, kecil, besar, tua, muda, kanak-kanak, dewasa, baik lelaki atau pun wanita.

Piala Dunia 2010 yang sedang berlangsung di Afrika Selatan sudah pun menghampiri penghujungnya apabila dua pasukan yang bakal beraksi di Final tahun (jam 02.30 pagi , Isnin 12 Julai 2010) ini telah pun diketahui iaitu antara Belanda dan Sepanyol.

Belanda yang merupakan Finalis Piala Dunia 1974 dan 1978 (kedua-dua Final tersebut Belanda muncul sekadar Naib Juara sahaja) adalah merupakan antara gergasi bolasepak dunia sejak sekian lama disamping pernah mengecapi rekod sebagai juara bolasepak Eropah juga.

Manakala kejayaan Sepanyol yang pertama kali berjaya memasuki Final Piala Dunia ini adalah merupakan rentetan daripada kejayaan pasukan ini yang telah memenangi Piala Eropah pada tahun 2008 lalu dan sudah pasti kejayaan pasukan ini pasti akan di tagih lagi di Final Piala Dunia ini.

Kejohanan Piala Dunia yang dilangsungkan setiap empat tahun sekali adalah merupakan kejohanan yang paling besar didalam acara bolasepak di planet Bumi ini. Kejohanan ini yang berlangsung selama sebulan sedikit sebanyak telah berjaya menyatukan perbezaan pendapat, persengketaan hubungan antara kaum dan negara di dunia ini.

Tiada siapa yang mahu menafikan bahawa Piala Dunia yang berlangsung selama sebulan sejak 11 Jun lalu telah melenyapkan sedikit sebanyak buat sementara waktu berbagai pergeseran dan pertelingkahan. Antaranya ialah seperti pergeseran politik, pergaduhan antara kaum serta kesengsaraan yang dihadapi oleh penduduk seperti di Afghanistan, Iraq, Palestine, Lubnan dan sebagainya.

Di dalam konteks Malaysia pula, kehadiran kejohanan besar bertaraf dunia seperti bolasepak Piala Dunia ini sedikit sebanyak telah ‘meredakan’ suhu ketegangan politik terutamanya diantara Barisan Nasional dan juga Pakatan Rakyat.

Kesan paling besar akibat kehadiran Piala Dunia juga antara lainnya ialah terhadap siri-siri ceramah yang diadakan oleh Pakatan Rakyat terutamanya kerana turut menjejaskan kehadiran masyarakt setempat untuk hadir mendengar ceramah.

Justeru itu langkah pihak-pihak tertentu dikalangan petugas parti yang turut menyiarkan sama siaran langsung bolasepak ketika perlawanan peringkat awal dan kumpulan antara jam 7.30 dan 10.00 malam bersama program ceramah parti amatlah dipuji.

Kita sebenarnya tidak boleh menghalang perkara ini kerana kejohanan empat tahun sekali ini adalah merupakan acara yang paling ditunggu-tunggu oleh semua peminat bolasepak.

Pengalaman saya berada di dua tempat ceramah ketika peringkat kumpulan (awal) kejohanan Piala Dunia ini berlangsung benar-benar memperlihatkan betapa langkah yang bijak perlu di buat sekiranya tetap mahu menarik penyokong parti hadir ketika berlangsungnya kejohanan seperti Piala Dunia itu.

Lagi dua hari kejohanan bolasepak yang teragung didunia ini akan berakhir. Berbagai perkara menarik yang telah berlaku di sepanjang Piala Dunia ini antaranya kegagalan gol England oleh Lampard untuk disahkan oleh pengadil, penyingkiran awal Itali dan Perancis di peringkat kumpulan, kekalahan mengejut Brazil dan Argentina di suku akhir, kemaraan dua pasukan Asia Korea Selatan dan Jepun ke pusingan kedua, kegagalan Jerman layak ke final serta kemaraan Uruguay ke semi final.

Itu adalah antara rencah di sepanjang Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan ini. Kita akan bertemu lagi empat tahun daripada sekarang di Piala Dunia 2014 di Brazil nanti, Insya Allah.

Apa-apa pun kejohanan bolasepak Piala Dunia ini telah berjaya menyatukan kehidupan masyarakat didunia ini disamping mengatasi 'segala-galanya yang lain' di sepanjang sebulan ianya berlangsung. Itulah Bolasepak Piala Dunia!