Wednesday, July 28, 2010

BARU CADANGAN, KENAPA KHIR TOYO MELENTING?

Serangan berterusan akhbar Utusan Malaysia (UM) terhadap kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat (PR) Selangor diteruskan lagi hari ini dan semalam gara-gara cadangan yang dibuat oleh Tony Puah Ahli Parlimen DAP bagi memansuhkan harga diskaun pembelian rumah dan hartanah khas untuk bumiputera.

Lantas tuduhan terhadap DAP sebagai sebuah parti ‘chauvenist’ terus dilemparkan kepada beliau oleh mantan Menteri Besar Selangor, DS Khir Toyo semalam bagi melahirkan kemarahan yang teramat sangat kerana dikatakan sebagai berterusan untuk menghina dan meminggirkan kaum Melayu bumiputera di negeri ini.

Satu perkara yang harus kita fahami disini ialah ini baru cadangan dan sekadar lontaran idea yang dikemukakan oleh Tony bagi menjamin dan mengelakkan unsur-unsur kemungkinan penyalahgunaan kuasa oleh mereka yang rapat dengan pemaju.

Berdasarkan pengalaman yang lepas, didapati juga kuota atau diskaun yang diberikan kepada bumiputera untuk membeli hartanah tersebut juga telah disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu yang berkepentingan untuk mengaut keuntungan ‘atas angin’ sahaja.

Kadang-kala kita sendiri tidak pasti apakah kuota yang diperuntukan diskaun bagi setiap pembelian hartanah tersebut benar-benar telah nikmati oleh pembeli bumiputera ataupun sekadar pelengkap tetapi penuh dengan tipu muslihat akibat permainan pihak-pihak tertentu?

Sebagai masyarakat yang matang, kita seharusnya menilai terlebih dahulu akan apa yang dicadangkan ini tanpa mengambil langkah terburu-buru menuduh seseorang itu sebagai pelampau atau ekstremis pada parti tertentu sahaja.

Kita tidak tahu dengan cadangan tersebut apakah begitu baik atau pun sebaliknya. Justeru itu adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk melihat terlebih dahulu kemungkinan yang baik itu dan sudah pasti perkara yang baik lengkap dengan bukti dan asasnya akan diterima kemudian hari nanti.

Sebagaimana kata MB Selangor, TS Abdul Khalid Ibrahim begitu tenang dan memberikan kenyataan yang begitu professional berdasarkan hujahnya yang matang.

Katanya, pemberian diskaun bumiputera itu juga didapati mendorong kepada amalan penyalahgunaan apabila ada pihak tertentu didapati cuba meraih keuntungan daripada kelebihan tersebut.

"Kerajaan negeri terbuka sebarang cadangan daripada mana-mana pihak untuk meningkatkan ekonomi di negeri ini. Mengenai cadangan ini ada rasionalnya kerana diskaun itu seharusnya digunakan untuk membantu golongan bumiputera miskin dan yang berpendapatan rendah."

TS Abdul Khalid juga berkata cadangan itu juga hanyalah melibatkan hartanah yang berjumlah RM500,000 sehingga RM1 juta ke atas dan bukan melibatkan hartanah kos rendah.

Justeru itu, dakwaan pihak-pihak tertentu yang berterusan menuduh DAP dan Pakatan Rakyat sebagai cuba menghapuskan keistimewaan bumiputera adalah tidak benar sama sekali.

Asasnya adalah mudah iaitu cadangan ini dibuat bukan kerana tidak mahu menolong bumiputera tetapi untuk mengelakkan ada kumpulan tertentu yang cuba menyalahgunakan pemberian diskaun itu bagi kepentingan mereka sahaja!

No comments: