Saturday, July 10, 2010

PIALA DUNIA MENGATASI SEGALANYA...

Bolasepak adalah acara sukan yang paling diminati dan disukai oleh seluruh peminat di dunia tanpa mengira agama, kaum, negara, bahasa, kecil, besar, tua, muda, kanak-kanak, dewasa, baik lelaki atau pun wanita.

Piala Dunia 2010 yang sedang berlangsung di Afrika Selatan sudah pun menghampiri penghujungnya apabila dua pasukan yang bakal beraksi di Final tahun (jam 02.30 pagi , Isnin 12 Julai 2010) ini telah pun diketahui iaitu antara Belanda dan Sepanyol.

Belanda yang merupakan Finalis Piala Dunia 1974 dan 1978 (kedua-dua Final tersebut Belanda muncul sekadar Naib Juara sahaja) adalah merupakan antara gergasi bolasepak dunia sejak sekian lama disamping pernah mengecapi rekod sebagai juara bolasepak Eropah juga.

Manakala kejayaan Sepanyol yang pertama kali berjaya memasuki Final Piala Dunia ini adalah merupakan rentetan daripada kejayaan pasukan ini yang telah memenangi Piala Eropah pada tahun 2008 lalu dan sudah pasti kejayaan pasukan ini pasti akan di tagih lagi di Final Piala Dunia ini.

Kejohanan Piala Dunia yang dilangsungkan setiap empat tahun sekali adalah merupakan kejohanan yang paling besar didalam acara bolasepak di planet Bumi ini. Kejohanan ini yang berlangsung selama sebulan sedikit sebanyak telah berjaya menyatukan perbezaan pendapat, persengketaan hubungan antara kaum dan negara di dunia ini.

Tiada siapa yang mahu menafikan bahawa Piala Dunia yang berlangsung selama sebulan sejak 11 Jun lalu telah melenyapkan sedikit sebanyak buat sementara waktu berbagai pergeseran dan pertelingkahan. Antaranya ialah seperti pergeseran politik, pergaduhan antara kaum serta kesengsaraan yang dihadapi oleh penduduk seperti di Afghanistan, Iraq, Palestine, Lubnan dan sebagainya.

Di dalam konteks Malaysia pula, kehadiran kejohanan besar bertaraf dunia seperti bolasepak Piala Dunia ini sedikit sebanyak telah ‘meredakan’ suhu ketegangan politik terutamanya diantara Barisan Nasional dan juga Pakatan Rakyat.

Kesan paling besar akibat kehadiran Piala Dunia juga antara lainnya ialah terhadap siri-siri ceramah yang diadakan oleh Pakatan Rakyat terutamanya kerana turut menjejaskan kehadiran masyarakt setempat untuk hadir mendengar ceramah.

Justeru itu langkah pihak-pihak tertentu dikalangan petugas parti yang turut menyiarkan sama siaran langsung bolasepak ketika perlawanan peringkat awal dan kumpulan antara jam 7.30 dan 10.00 malam bersama program ceramah parti amatlah dipuji.

Kita sebenarnya tidak boleh menghalang perkara ini kerana kejohanan empat tahun sekali ini adalah merupakan acara yang paling ditunggu-tunggu oleh semua peminat bolasepak.

Pengalaman saya berada di dua tempat ceramah ketika peringkat kumpulan (awal) kejohanan Piala Dunia ini berlangsung benar-benar memperlihatkan betapa langkah yang bijak perlu di buat sekiranya tetap mahu menarik penyokong parti hadir ketika berlangsungnya kejohanan seperti Piala Dunia itu.

Lagi dua hari kejohanan bolasepak yang teragung didunia ini akan berakhir. Berbagai perkara menarik yang telah berlaku di sepanjang Piala Dunia ini antaranya kegagalan gol England oleh Lampard untuk disahkan oleh pengadil, penyingkiran awal Itali dan Perancis di peringkat kumpulan, kekalahan mengejut Brazil dan Argentina di suku akhir, kemaraan dua pasukan Asia Korea Selatan dan Jepun ke pusingan kedua, kegagalan Jerman layak ke final serta kemaraan Uruguay ke semi final.

Itu adalah antara rencah di sepanjang Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan ini. Kita akan bertemu lagi empat tahun daripada sekarang di Piala Dunia 2014 di Brazil nanti, Insya Allah.

Apa-apa pun kejohanan bolasepak Piala Dunia ini telah berjaya menyatukan kehidupan masyarakat didunia ini disamping mengatasi 'segala-galanya yang lain' di sepanjang sebulan ianya berlangsung. Itulah Bolasepak Piala Dunia!

No comments: