Wednesday, July 7, 2010

SUDAH SAMPAI MASANYA LALUAN KL-KB MEMPUNYAI SEBUAH LEBUHRAYA YANG HEBAT

Kesungguhan Sdr Ezam Mohd Nor memperjuangkan isu Istana Negara yang baru menjadi topik perbualan ramai kerana kesungguhannya turun sendiri dan meninjau akan permasalahan yang timbul baru-baru ini kononnya ada pekerja asing yang berkerja disitu tidak dibayar gaji.

Usaha dan kesungguhan seorang Senator sebegitu amatlah kita hargai kerana menunjukkan kepada semua betapa seriusnya beliau untuk membasmi sebarang penyelewengan yang berlaku di tapak projek tersebut sekiranya benar terjadi.

Namun begitu saya menghargai juga jika usaha yang menonjolkan kearah keperluan rakyat terutamanya untuk masyarakat bawahan perlu juga diselarikan agar ianya tidak menampakkan jurang dan perbezaan yang jauh demi untuk kesejahteraan dan kebajikan rakyat juga.

Saban tahun apabila musim hari raya tiba kita pasti akan terbaca mengenai kemalangan yang melibatkan kematian terutamanya di jalan Persekutuan (Ulangbaca: bukan lebuh raya seperti PLUS atau LPT) dan sudah pastinya cerita ini di laluan utama dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu yang melalui daerah Bentong, Raub, Lipis di negeri Pahang dan seterusnya memasuki daerah Gua Musang, Kuala Krai, Machang sebelum memasuki Kota Bharu di negeri Kelantan.

Perjalanan sempena hari raya pasti akan mengambil masa yang amat panjang di antara 10-12 jam sudah tentu memenatkan kita semua, apatah lagi dengan keadaan jalan yang bengkang bengkok serta kecil laluannya, kemungkinan untuk berlakunya sesuatu yang buruk sentiasa ada.

Umumnya kita selalu menyalahkan sikap pemandu terutama pemandu kenderaan awam seperti bas kerana dikatakan agak mementingkan diri sendiri ketika memandu tanpa mengambil kira pemandu lain yang kecil.

Kita tidak menafikan hal ini berlaku kerana faktor kecuaian manusia tetapi apakah kita sedar atau pun tidak sebenarnya faktor utama kenapa kemalangan (terutama kemalangan maut) lebih kerap berlaku di sepanjang laluan Kuala Lumpur- Kota Bharu ini terjadi? Jawapannya mudah saja iaitu faktor ketiadaan jalan yang baik seperti kemudahan Lebuh raya umpama lebuhraya PLUS atau LPT!

Kita amat yakin sekiranya lebuh raya yang baik boleh dibina mulai susur keluar selepas Tol Bentong (Bentong) dan seterusnya memasuki Raub dan Lipis seterusnya di panjangkan sehingga ke Kota Bahru, Kelantan, Insya Allah kadar kemalangan pasti akan dapat dikurangkan dengan begitu drastik sekali.

Saya selalu tertanya-tanya apakah pimpinan negara tidak langsung terfikir untuk membina lebuhraya yang baik seperti mana PLUS, LPT, dan berbagai jenis lebuhraya lagi di laluan Kuala Lumpur – Kota Bharu?

Kadang-kadang bila melihat berbagai lebuhraya baru di bina di Lembah Kelang dengan berbagai nama seperti Maju Expressway (MEX) untuk laluan Kuala Lumpur ke Putrajaya, ada juga yang bernama NKVE, ada KESAS, ada DUKE, ada LITRAK, ada LDP dan dengan bermacam lebuhraya lagi sehinggakan untuk laluan kearah selatan (Seremban), satu lagi lebuhraya telah siap dibina dan baru sahaja digunakan iaitu LEKAS serta lebuhraya terbaru SKVE yang menghubungkan antara Air Hitam Dengkil hingga ke sebelah barat Selangor.

Cuba bayangkan betapa banyaknya lebuhraya dibina di Lembah Kelang sedangkan untuk menunaikan hasrat penduduk daripada Kelantan dan utara Pahang tidak pula mampu dibuat? Amat pelik bukan?

Adalah menjadi harapan saya agar kerajaan Pusat boleh mengambil langkah yang positif untuk menyegerakan pembinaan sebuah lebuhraya yang baik untuk laluan ke Kelantan kerana ini bukan sahaja memudahkan perjalanan tetapi juga menaikkan dan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di sepanjang lebuhraya itu nanti.

Untuk rekod Lipis juga adalah daerah kelahiran Perdana Menteri DS Najib Tun Razak, sekiranya mampu dibina sebuah lebuhraya yang baik, pasti daerah tersebut akan meningkat maju ekonominya apatah lagi Lipis amat kaya dengan tempat yang bersejarah.

Ramadhan kian menjelang tiba pada Ogos nanti, kemudiannya dituruti pula dengan Aidilfitri. Semoga apa yang diluahkan ini dapat difahami dan didengari oleh pemimpin utama negara kita untuk memikirkan sesuatu. Jangan kita berterusan menjadikan isu kecuaian pamandu sebagai alasan untuk menutup kesilapan yang paling besar tanpa mahu membina lebuhraya yang baik sebagaimana di negeri lain.

No comments: