Mulai malam tadi tepat jam 12 tengah malam sekali lagi bahan api (minyak & gas kenderaan) di negara kita dinaikkan iaitu kenaikan ‘pertama’ untuk tahun 2010 ini.
Petrol RON 95 dijual RM1.85 seliter, Diesel RM1.72 seliter manakala LPG RM1.85 sekilogram yang dikatakan oleh kerajaan sebagai langkah pertama program rasionalisasi subsidi secara berperingkat yang berkuat kuasa hari ini.
Manakala RON 97 diberitahu tidak lagi diberikan subsidi dan tertakluk kepada apungan secara terkawal dengan harga ditentukan oleh mekanisme harga automatik.
Kita melihat kaedah ini tidaklah boleh dikatakan sebagai tidak membebankan rakyat seperti mana yang didakwakan oleh kerajaan. Apalah ertinya kalau akhirnya rakyat bawahan juga yang terpaksa menanggung segala beban?
Ada orang berkata kepada saya, apalah ertinya sangat disebalik kenaikan harga tersebut sekadar 5 sen sahaja berbanding dahulu kenaikan sehingga 15-25 sen seliter pada harga minyak?
Lagi pun kata meraka lagi kenaikan ini agak adil dan seimbang apatah lagi ianya dibuat berdasarkan pertimbangan yang tidak membebankan rakyat didalam proses untuk menyelaraskan subsidi.
Baik! Saya mengakui kenaikan ini tidak besar hanyalah sekitar 5 sen sahaja tetapi adakah kita tahu bahawa kesan kenaikan ini sudah pasti akan menjalar sehingga ke peringkat sebawah-bawahnya!
Teori kita mudah sahaja, melihat kepada perkara yang lebih besar kesannya. Usah hanya melihat apa yang berlaku didepan mata. Percaya atau tidak kesan kenaikan 5 sen ini akan menyebabkan kesemua barangan serta perkhidmatan akan turut naik sama yang kadang kala harga di naikkan itu nanti tidak masuk akal berbanding hanya kenaikan asas minyak tersebut 5 sen sahaja.
Usahlah pak-pak menteri hendak menafikan hakikat pada kesan kenaikan ini. Rakyat disemua peringkat akan merasainya nanti. Yang paling terasa nanti ialah rakyat bawahan, orang yang miskin, susah, masyarakat di pendalaman, di kampung, di desa terutamanya. Bagaimana pula kepada mereka yang mempunyai keluarga yang besar. Apakah ini tidak diambil kira oleh kerajaan juga untuk dinilaikan?
Terlalu memikirkan penyelarasan subsidi ini dibuat demi menjimatkan perbelanjaan kerajaan sehingga RM750 Juta tahun ini. Tolong jelaskan apakah kaedah ini yang dikatakan kaedah terbaik untuk penjimatan kerajaan akan turut sama sebagai yang terbaik kaedahnya untuk rakyat?
Apakah jaminan penjimatan RM750 Juta itu benar-benar boleh disalurkan kepada sektor yang lebih penting seperti kesihatan dan pendidikan sebagaimana yang didakwakan? Kita tidak mahu yang akhirnya ketirisan RM750 Juta tersebut akan berterusan berlaku sebagaimana sebelum ini.
Masihkah kita ingat apa reaksi PM kita DS Najib Tun Razak ketika rakyat bangkit marah dan mengecam akan kenyataan yang dibuat oleh DS Idris Jala apabila Idris berani menyalahkan pemberian subsidi oleh kerajaan kepada rakyat adalah punca utama akan kemungkinan negara kita akan bangkrap tidak lama lagi?
Najib segera menjawab dan mengatakan soal itu (isu pemberian subsidi kepada rakyat harus dikurangkan) tidak muktamad pun lagi dan itu hanyalah cadangan Idris sahaja.
Kata pujangga ada mengatakan, kenyataan hari ini tidak melambangkan kenyataan hari esok dan itulah hakikatnya sebagaimana yang telah berlaku hari ini. Menepati slogan kepimpinan PM, ‘rakyat didahulukan percapaian di utamakan’ bagi kita hanyalah sekadar penyedap halwa telinga semata-mata…
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment