Seronok bila melihat para peneroka bakal ‘menikmati’ hadiah sebagaimana yang dijanjikan oleh Perdana Menteri DS Najib Tun Razak semalam ketika sambutan Hari Peneroka 2010 di Tanjung Malim, Perak.
Pada kita, janji dan jaminan pemberian ‘duit raya’ oleh PM semalam secara tidak langsung seolah-olah ingin menunjukkan kepada semua bahawa ‘Felda tidak bangkrap’ sebenarnya sebagaimana yang di dakwa oleh akhbar Suara Keadilan.
Pada sambutan hari peneroka semalam, PM juga turut merasmikan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kampus Tun Abdul Razak iaitu MRSM termoden dan tercanggih yang bernilai RM123 Juta yang turut bakal menjadi pusat program ‘International Baccalaureate’ (IB) untuk bakal pelajar melanjutkan pelajaran ke luar negara nanti.
Dengan dua pengumuman tersebut secara ‘rasmi’nya seolah-olah telah menutup segala dakwaan kononnya Felda telah pun bangkrap sebagaimana yang didakwa oleh pihak pembangkang sebelum ini.
Secara jujurnya kita menyokong dengan apa yang diumumkan semalam lebih-lebih lagi didalam soal pendidikan seperti penubuhan MRSM Felda tersebut kerana pada pandangan kita bukan setakat MRSM yang Felda perlu tubuhkan malahan juga sudah tiba masanya pihak Felda sebagai gergasi perladangan dan pembangunan tanah yang terbesar di negara ini menubuhkan juga sebuah universiti untuk bakal pelajarnya daripada kalangan anak-anak peneroka yang berjaya samada untuk belajar atau pun berkhidmat sebagai kakitangan universiti tersebut.
Soal pemberian duit raya untuk 112,635 peneroka pula seharusnya perlu diperhalusi dengan cara yang lebih bijak dan efisyen. Kita tidak mahu seolah-olah duit raya ini adalah penyelesaian jangka masa pendek demi mengabui mata peneroka bagi memberitahu kepada orang-orang tua bahawa Felda masih kukuh sumber danan kewangannya.
Memang kita bersyukur dengan jaminan pemberian duit raya yang bakal PM sendiri umumkan pada minggu pertama bulan Ramadhan nanti. Pemberian itu sudah pasti bakal meringankan sedikit beban untuk menghadapi bulan puasa dan hari raya yang bakal disambut kelak.
Cuma kita mengharapkan agar sokongan dan kesetiaan para peneroka yang berterusan bersama UMNO-BN sejak dulu akan terus ‘dihargai’ oleh pimpinan negara kerana kita tidak mahu harapan yang menggunung mereka selama ini di persia-siakan begitu saja. Lagi pun sebagaimana kata pemimpin UMNO sendiri, kekuatan UMNO-BN di kawasan Felda harus dipertahankan kerana ini adalah tempat yang ‘selamat’ untuk memperolehi undi BN ketika pilihanraya nanti.
Dan kepada mereka yang sudah mula menyokong dan beralih arah kepada Pakatan Rakyat, kita mengalu-alukan kehadirannya. Biar lambat dan sedikit ‘penghijrahan’ itu tetapi berani menyahut cabaran demi anak cucu kita nanti.
Akhir kata, tahniah kepada semua peneroka kerana walaupun mereka sudah 'besar panjang' sekali pun, duit raya masih tetap diperolehi dan diberikan. Ingatkan hanya ketika di zaman kanak-kanak saja kita memperolehi duit raya tersebut. Entahlah...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment