Thursday, December 31, 2009

BERAKHIRNYA 365 HARI POLITIK MALAYSIA YANG PENUH MENCABAR DI TAHUN 2009

Hari ini 31 Disember merupakan hari terakhir kita berada di tahun 2009. Menjelang 01 Januari 2010 esoknya, berbagai cerita menarik di sepanjang tahun 2009 ini yang penuh suka duka telah kita lalui bersama.

Didalam konteks politik negara contohnya, 2009 adalah tahun yang lebih mencabar terutamanya selepas era setahun Pakatan Rakayt (PR) memperolehi kemenangan yang besar di PRU 12 Mac 2008 lalu. Keadaan suhu serta suasana politik berterusan tinggi malahan semakin mencabar dari semasa ke semasa.

Tahun 2009 membuka tirai dengan kemenangan bergaya komponen PR iaitu PAS apabila memperolehi kemenangan bergaya mengalahkan Umno / BN dengan majoriti yang cukup besar di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu.

Namun begitu berita tersungkurnya PR di Perak yang diterajui oleh Dato Seri Ir Nizar Jamaluddin sebagai MB Perak hasil daripada percaturan tiga orang wakil rakyat PR disana keluar parti dan seterusnya menjadi wakil rakyat Bebas dan mengisytiharkan diri mereka sebagai penyokong BN amat mengecewakan kita semua.

Pertukaran teraju kepimpinan negara daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada DS Najib Tun Razak sebagai PM Malaysia ke 6 dengan membawa slogan “Rakyat di dahulukan, Percapaian di utamakan” sedikit sebanyak memberi kesan kepada umum apabila kelihatan rakyat seolah ‘terpukau’ sedikit kepada beliau di peringkat awal pentadbirannya pada Mac lalu.

Seterusnya kemenangan bergaya PR berterusan apabila menang di PRK Bukit Gantang dan Bukit Selambau melalui calon PAS dan juga PKR mengalahkan wakil BN. Pakatan Rakyat cuma kecundang buat pertama kali di PR di Batang Ai Sarawak.

Suhu politik negara terus bertambah panas dengan pendedahan demi pendedahan serta salah laku BN selama ini. Kemuncak daripada itu apabila tiba-tiba sahaja kerajaan PR terus diserang dari segenap penjuru di kesemua negeri dibawah Pakatan rakyat.
Kematian Teoh Beng Hock ketika masih dalam siasatan SPRM di Selangor turut menjadi tanda tanya sehingga kini tanpa sebarang keputusan. Keluarnya dua orang lagi bekas ADUN daripada PKR di Selangor dan Kedah turut lagi memanaskan suasana serta iklim politik tanah air.

Didalam masa yang juga PR berterusan memenangi PRK yang diadakan di Permatang Pasir, Penanti serta juga Manek Urai. Dengan kemenangan berterusan ini telah menyebabkan Umno / BN semakin tertekan untuk menaikkan semula ‘saham’ Umno terutamanya dikalangan orang melayu.

PRK terakhir di Bagan Pinang, NS lalu adalah kemuncak Umno untuk kembali diyakini rakyat apabila memenangi kembali kerusi tersebut mengalahkan PAS namun begitu ianya di pandang sepi kerana kemenangan lebih dibantu dengan undi POS tentera!

Berbagai episod suka duka politik negara berterusan berlaku pada tahun ini. Serangan demi serangan, tuduhan demi tuduhan yang dilakukan Umno / BN terutamanya terhadap PR sedikit pun tidak melunturkan kekuatan kita.

Dengan menghadapi sebanyak lapan PRK di sepanjang tahun 2009 ini yang berakhir dengan enam kemenangan berada disebelah kita Pakatan Rakyat jelas menunjukkan kepada kita akan kehebatan PR yang semakin menyerlah dan diterima rakyat sebagai saingan kepada BN!

Politik negara semakin hangat apabila dikejutkan lagi dengan kes kehilangan dua buah enjin jet pejuang TUDM F-5E diketahui umum selepas dua tahun ianya berlaku (sejak 2007). Persoalan berkaitan rasuah serta penglibatan peringkat tertinggi terus menjelma kembali. Hilangnya intergriti kerajaan serta keyakinan rakyat semakin memuncak.

Tanggal 12 Disember 2009 lalu adalah merupakan kemuncak kita didalam gabungan pakatan pembangkang (Pakatan Rakyat) apabila buat pertama kalinya kita berjaya untuk berada bersama-sama di satu Konvensyen Pakatan Rakyat kali pertama untuk meneruskan kelangsungan PR kepada semua rakyat Malaysia.

Dengan janji dan harapan yang diberikan untuk memastikan PR di terima sebagai altenatif baru kepada rakyat selain daripada BN, jelas menunjukkan kini PR telah bersedia untuk mengambil alih Putrajaya seterusnya mengetuai kerajaan Malaysia suatu masa nanti.

Suka duka sepanjang tahun 2009 secara tidak langsung menjadikan kita semakin matang menempuhi perjalanan yang masih jauh ini. Dengan 2010 bakal menjelma beberapa jam lagi daripada sekarang, kita mengharapkan sinar kepada PR akan terus menyinari kecemerlangan Pakatan Rakyat keseluruhannya demi kemajuan dan kemakmuran negara kita, Malaysia.

Selamat tinggal 2009 dan Selamat datang 2010. Selamat Tahun Baru!

No comments: