Sunday, December 6, 2009

SELAMAT BERSARA & TERIMA KASIH!

Perletakan jawatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dato Seri Ahmad Said Hamdan sepatutnya diterima oleh semua pihak serta seharusnya dihargai sebagai satu tindakan yang cukup baik kerana menunjukkan suatu sikap pertanggungjawaban sebagai kakitangan kerajaan.

Walaupun tindakan beliau ini yang sepatutnya mengakhiri kontrak perkhidmatannya pada 31 Mei 2010 mungkin akan dipandang sinis kerana kerana pandangan awam sudah pasti perletakan ini disebabkan tekanan yang luar biasa sejak akhir-akhir ini apatah lagi dengan kes ‘sensasi’ yang berkaitan dengan SPRM dan Teoh Beng Hock masih tidak ada pemutusnya.

Mungkin juga orang akan bertanya apakah perletakan jawatan mengejut ini juga adalah kerana ada kaitan dengan keputusan ‘post mortem’ terhadap mayat Teoh yang dijangka akan diketahui didalam tempoh terdekat ini atau disebabkan hasrat SPRM untuk 'menyiasat' beberapa kes yang melibatkan orang besar yang berkaitan dengan ahli-ahli politik daripada Umno / BN terutamanya, entahlah?

Memang kita akui , banyak ‘perubahan dan tindakan’ yang telah berlaku kepada SPRM ini semenjak Badan Pencegah Rasuah (BPR) bertukar nama menjadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mana model suruhanjaya ini ditiru sebagaimana Suruhanjaya Anti Rasuah Hong Kong yang begitu cemerlang sekali bertindak pada kes-kes rasuah di wilayah bekas jajahan British itu antaranya ialah berbanding ketika dizaman BPR, SPRM kini lebih dilihat sebagai satu tempat untuk melindungi ahli-ahli politik atau orang yang condong kepada Umno / Barisan Nasional (BN) daripada didakwa dengan kes rasuah walaupun terang-terangan berlaku didepan mata kita sebagaimana dakwaan Pakatan Rakyat (PR) di Selangor terhadap mantan Menteri Besar (MB) Dato Seri Khir Toyo.

Selain itu juga kita melihatkan SPRM kini lebih tertumpu kepada siasatan kepada ahli-ahli politik atau wakil rakyat daripada kalangan PR sahaja berbanding wakil-wakil rakyat BN walaupun ianya hanya melibatkan nilaian serendah RM 2,400.00 sahaja berbanding kes nilaian sebagaimana didakwa kepada wakil-wakil rakyat atau ahli politik BN setinggi RM 24 Juta!

Kita juga melihat SPRM kini bertindak pada kes-kes terpilih sahaja, dengan kata lain kebanyakan dakwaan salah guna kuasa atau peruntukan terhadap wakil-wakil rakyat atau ahli politik PR dengan segera diberi perhatian untuk siasatan walaupun sekadar ‘dengar-dengar ‘ sahaja, khabar angin serta juga melalui surat layang atau sebaran blog-blog di internet yang ada kini.

Kita merasakan suatu yang tidak adil yang telah dilakukan oleh SPRM kerana walaupun telah beratus laporan samada laporan polis atau laporan terus kepada SPRM akan ‘kemusykilan’ PR untuk orang-orang tertentu Umno / BN ini disiasat tetapi kita melihatkan ianya amat sukar untuk diteruskan. Apakah ianya kerana tekanan pihak-pihak tertentu?

Rakyat jelas melihat kegagalan SPRM yang diketuai oleh Dato Seri Ahmad Said Hamdan ini didalam berlaku adil untuk setiap tindakan yang dibuat. Kita melihat bagaimana isu sumbangan lembu korban sempena hari raya haji tahun lalu telah dimanipulasikan secara ‘mengila’ oleh Umno / BN sedangkan bila sumbangan lembu dilakukan oleh pemimpin-pemimpin besar umno / BN yang pasti melebihi jumlah yang pernah disumbangkan oleh MB Selangor TS Khalid Ibrahim sebanyak 42 ekor dulu, tidak pula ada pihak SPRM datang untuk membuat siasatan walaupun ianya terang-terangan ‘boleh dikatakan menimbulkan syak’ akan sumbangan tersebut menurut pandangan orang ramai.

Begitu juga dengan kes terbaru kononnya ada salah guna kuasa oleh CEO PMBK Ariffahmi yang juga menantu TG Nik Aziz Nik Mat (MB Kelantan), kita boleh melihat bagaimana ‘lajunya’ SPRM ini bertindak dan segera kertas siasatan dibuka walaupun ianya sekadar dakwaan yang tersebar di internet sahaja.

SPRM kini semakin di ‘kenali di seluruh Negara sebagai badan yang benar-benar efisyen dimata rakyat Negara ini. Ini adalah kerana SPRM dilihat lebih kepada tindakan yang berbentuk terpilih sahaja samada siasatan atau pendakwaan.

Ketika bernama SPRM ini jugalah, pihak mahkamah telah menetapkan siasatan oleh pegawai-pegawai SPRM hanya boleh dilakukan ketika waktu pejabat sahaja. Kematian Teoh telah membuka mata semua pihak kini terhadap tatacara, prosedur dan waktu siasatan itu dijalankan. Walaupun ianya dilihat membatasi waktu siasatan tersebut oleh pihak SPRM, kita juga mengharapkan ianya bukan satu alasan pendakwaan sesuatu kes lambat untuk didakwa.

Itulah sahaja antara beberapa ‘kisah’ suka duka tentang SPRM sepanjang berada dibawah ketua, Dato Seri Ahmad Said Hamdan yang prestasinya kelihatan tidak konsisten serta makin diperkatakan oleh orang ramai akan peranan badan ini sejak akhir-akhir ini.

Kita harapkan dengan perletakan jawatan Dato Seri Ahmad Said Hamdan ini dan perlantikan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM sekarang Dato Abu Kassim sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru pada 01 januari 2010 ini akan membuka suatu lembaran yang baru terhadap SPRM bagi menjamin terus keutuhannya sebagai satu badan tunggal pencegahan rasuah di Negara ini.

Paling penting kita mahu, SPRM dilihat adil kepada semua dan jangan hanya memilih ikan bilis sahaja tetapi melepaskan ikan jerung untuk disiasat dan didakwa.

1 comment:

malaysia baru said...

Sorry, pembetulan sikit:
‘post mortem’ bukan ‘port mortem’