Saturday, December 19, 2009

EMAS BOLASEPAK SUKAN SEA 2009 & KONSEP 1 MALAYSIA

Kemenangan 1-0 skuad bolasepak kebangsaan Malaysia di Sukan SEA 2009 ketika perlawanan akhir menewaskan Vietnam malam tadi adalah merupakan percapaian terbaik negara didalam acara bolasepak semenjak kali terakhir merangkul kejuaraan pingat emas bolasepak Sukan SEA kira-kira 20 tahun lalu di Kuala Lumpur.

Pengalaman saya sendiri ketika berada di Stadium Merdeka menyaksikan final acara bolasepak itu pada sukan SEA 1989 masih lagi segar di ingatan kerana itulah satu-satunya kejuaraan untuk perebutan pingat emas terakhiri yang telah berjaya kita rebut pada malam tersebut. Lebih manis lagi skuad negara kita yang ditunjangi oleh Ahmad Yusof selaku ketua pasukan telah bermain dengan baik bersama rakan-rakannya untuk merakamkan kemenangan yang cukup bersejarah ketika itu dihadapan kira-kira 45,000 penonton yang berada di Stadium Merdeka.

Saya yang ketika itu yang masih menuntut di Tingkatan empat berpeluang untuk bersama-sama merasai kehangatan dan kehebatan skuad negara kita mengalahkan Singapura yang diketuai oleh pemain terkemuka mereka Fandi Ahmad dengan keputusan 3-1 yang mana stadium gamat dengan sokongan peminat berbagai kaum apatah lagi di malam itu juga adalah malam penutup acara sukan SEA 1989 Kuala Lumpur.

Sebenarnya skuad negara sudah seharusnya memiliki pingat emas lebih awal daripada sukan SEA Loas 2009 ini untuk acara final bolasepak tetapi kekalahan tipis 1-0 gol pada minit-minit terakhir final bolasepak sukan SEA 2001 Kuala Lumpur kepada Thailand telah menyebabkan kita hampa yang teramat sangat untuk menerima keputusan itu.

Detik dan saat kehampaan ini turut dirasai oleh saya yang bersama-sama dengan peminat bolasepak negara menyaksikan perlawanan akhir tersebut di Stadium Shah Alam, Selangor. Bayangkanlah bagaimana sedikit sahaja kealpaan oleh pemain kita menyebabkan kita terpaksa tunduk kepada Thailand pada minit-minit terakhir dimasa tambahan perlawanan itu.

Sebab itulah apabila melihat kehampaan yang dialami Vietnam malam tadi melalui jaringan yang dikatakan jaringan sendiri pemain mereka (betul ke itu di tafsirkan sebagai jaringan sendiri pemain Vietnam? hakikatnya pemain Malaysia yang mula menendang bola kearah gol tetapi ianya tidak bernasib baik apabila bola tersebut ‘terkena’ kepada badan pemain Vietnam terus menerjah ke mulut gol Vietnam) kita amat memahami perasaan mereka . Kehampaan dan kekecewaan yang jelas diraut wajah pemain Vietnam akibat jaringan gol untuk Malaysia pada minit-minit terakhir perlawanan itu adalah sama situasinya ketika Malaysia kalah di tangan pasukan Thailand pada tahun 2001 dahulu.

Mengingati kembali ketika final 2001, bukan setakat pemain yang kecewa malahan seluruh peminat negara yang berada di Stadium Shah Alam pada malam tersebut disamping seluruh rakyat Malaysia yang menyaksikan final bolasepak sukan SEA secara langsung melalui kaca TV turut hampa.

Hanya kata-kata penyedap hati umpamanya ‘malam ini bukan rezeki kita lagi’ sahaja yang mampu terpancul daripada mulut peminat untuk menerima hakikat bahawa skuad negara masih gagal untuk menghadirkan sebutir emas bagi acara kegemaran sukan di seluruh dunia ini di sukan SEA 2001 dahulu.

Kini dengan perkembangan mantap skuad bolasepak negara apatah lagi dengan kemenangan pingat emas malam tadi telah menjadi bahan bicara di kedai-kedai kopi sejak awal lagi sebaik sahaja skuad negara menewaskan Thailand didalam perlawanan ‘hidup mati’ Malaysia yang menyaksikan Thailand pula tersingkir daripada arena separuh akhir buat kali pertama sejak 36 tahun lalu!

Sebenarnya kemenangan skuad negara ini telah menghadirkan satu suasana atau ‘feel’ yang tenang serta damai disebalik kocakan suasana politik yang sentiasa ‘panas’ dinegara kita, sungguhpun ianya sekadar untuk sementara waktu seminggu dua ini tetapi sudah cukup memberi kesan yang cukup positif bukan hanya kepada pemimpin-pemimpin politik samada daripada Barisan Nasional (BN) atau juga daripada Pakatan Rakyat (PR) sahaja malahan kepada penyokong-penyokong bawahan parti-parti ini.

Sukan seperti bolasepak adalah merupakan satu medan yang cukup baik untuk dijadikan tempat ‘melampias’ sementara sikap amarah yang sentiasa meluap-luap diantara kita samada ada dikalangan pemimpin-pemimpin politik atasan atau ahli-ahli di peringkat bawahan atau juga dikalangan penyokong-penyokong kedua-dua belah pihak ini.

Pengalaman saya sendiri malam tadi berada bersama rakan-rakan daripada pelbagai ideologi parti politik amat ‘enjoy’ serta ‘ralit’ sangat apabila berada di hadapan skrin besar kedai mamak sambil bersorak bersama sepanjang 90 minit perlawanan itu untuk memberi sokongan tanpa menghirau langsung perkara yang berkaitan dengan politik walaupun cuma seketika waktu sahaja.

Bermacam ragam peminat yang turut ada bersama semalam. Ada melayu, ada cina, ada india, ada juga rakan-rakan dari Sabah Sarawak berketurunan kadazan, murut, iban, melanau bersama menyokong pasukan negara kita. Tiada siapa pun yang memaksa kami semua untuk memberi sokongan apatah lagi tiada sesiapa pun juga yang memaksa kami agar menghabiskan masa serta minum di kedai mamak itu melainkan semata-mata untuk memberi sokongan kepada pasukan bolasepak negara!

Itulah uniknya hubungan antara kaum di negara kita ini tanpa rasa takut atau gusar untuk ‘melepak’ bersama sambil melayan bola. Secara umumnya, melalui sukan kita boleh membentuk penyatuan ataupun memupuk kearah perpaduan antara rakyat dinegara ini tanpa mengira latar belakang ideologi, kaum, agama serta kepercayaan masing-masing.

Hanya tindakan segelintir pihak tertentu sahaja yang berterusan mencanang bahawa telah wujud kini perasaan tidak harmoni serta kekusutan dengan mengaitkan unsur perkauman didalam masyarakat negara kita kini sebagai asas dakwaan tersebut.

Untuk akhirnya, percayalah konsep perpaduan serta hubungan antara kaum di negara ini jelas lebih ‘jujur’ seperti yang ditunjukkan melalui sukan bolasepak contohnya kerana ianya telah terlebih dahulu merungkai segala salah faham berbanding dengan apa yang di katakan Konsep 1Malaysia itu lebih menjuruskan kepada sikap dibuat-buat kononnya inilah perpaduan ala Konsep 1Malaysia!

No comments: