Friday, December 25, 2009

SENSASI 'GST' & 'ENJIN JET F-5E'

Isu terbaru kehilangan enjin jet pejuang F-5E TUDM yang akhirnya diberitahu rupanya ‘hilang’ dua buah enjin (mulanya dihebohkan satu enjin sahaja) dan bersama juga kemungkinan komponen kecil yang lain pada jet pejuang tersebut (menurut kata Menteri Pertahanan sendiri), sedikit sebanyak telah menenggelamkan isu yang hangat diperkatakan sebelum ini didada akhbar dan TV iaitu GST.

Apakah itu GST ? GST adalah bermaksud ‘Goods and Services Tax’ dan didalam bahasa melayu ianya bermaksud sejenis cukai di mana apa sahaja barang dan perkhidmatan yang digunakan oleh pengguna (sudah tentu rakyat bawahan yang terpaksa membayarnya) akan mengandungi elemen cukai yang membolehkan ianya dikutip!

GST juga dikenali sebagai ‘Cukai Kepenggunaan’ (Consumption tax) yang secara ringkas asasnya jauh lebih meluas daripada cukai jualan dan cukai perkhidmatan yang ada seperti sekarang.

Dengan tidak menyembunyikan lagi fakta yang sebenar ialah sudah tentu cukai seperti ini akan dikutip daripada pelanggan untuk pihak kerajaan oleh organisasi perniagaan yang berdaftar dengan pihak berkuasa cukai.

Kenapa ianya perlu GST dan apakah tujuan sebenarnya GST tersebut di praktikkan sekarang kepada rakyat negara in? Sebenarnya didalam bahasa yang mudah agar rakyat faham terutamanya yang berpendapatan rendah, GST ini adalah bertujuan untuk memperluaskan lagi asas cukai negara disamping secara tidak langsung ianya bertujuan untuk mengurangkan defisit belanjawan negara.

Memang benar, seperti apa yang telah didakwakan oleh kerajaan yang mengatakan kini sudah banyak negara telah melaksanakan GST ini namun kerajaan negara kita perlu ingat bahawa setiap tindakan yang hendak dilaksanakan oleh negara-negara tersebut kebiasaannya terlebih dahulu telah mendapat respons daripada rakyatnya sebelum melaksanakannya dan tidak seperti menggunakan kaedah ‘paksa rela’ sebagaimana yang diamalkan oleh kerajaan negara kita sebelum ini pada setiap perkara yang dihasratkan!

Sehingga kini sudah hampir 143 buah negara telah melaksanakan GST ini dan pada masa kini negara seperti Singapura telah mengenakan GST kepada rakyatnya dengan kadar 5% , Thailand 7% , Indonesia dan Filipina 10% sementara itu pula negara New Zealand telah mengenakan GST sebanyak 7% dan Australia pula 10%. Walaupun begitu masih terdapat negara di Asia ini yang masih menangguh perlaksanaan GST antaranya ialah negara Hong Kong dan Brunei.

Sekiranya negara kita tetap berkeras untuk melaksanakan juga GST ini sudah pasti perbelanjaan kita akan meningkat kerana setiap sen yang dibelanjakan itu sudah pasti akan di kenaikan cukai termasuk juga ketika kita menggunakan segala perkhidmatan lain yang disediakan.

Memang benar cadangan kadar GST yang bakal di implemenkan di Malaysia ini masih rendah iaitu sekitar 4% (sama seperti kadar GST negara China) dan ianya telah di perakui adalah kadar yang terendah berbanding di negara Asia Pasifik lain. Tetapi kerajaan perlu juga mengambilkira apakah ini merupakan waktu yang sesuai untuk melaksanakan GST tersebut kerana negara kita sendiri masih lagi berada didalam suasana ekonomi yang kurang memberangsangkan ( dengan pertumbuhan ekonomi negara sekitar 3-4% sahaja).

Adalah menjadi harapan kita kepada pihak kerajaan agar ‘menyimpan’ lah dahulu hasrat tersebut demi keutamaan kepada rakyat bawahan kini dan pandangan rakyat bawahan ini juga perlulah di ambil kira sejajar dengan slogan yang diperkenalkan oleh PM Dato Sri Najib Tun Razak sendiri selaku Menteri Kewangan iaitu ‘Rakyat di dahulukan, Percapaian di utamakan’ sewaktu mula-mula mengambil alih tampuk Perdana Menteri Malaysia ke 6 pada Mac 2009 lalu.

No comments: