Wednesday, December 23, 2009

ENJIN JET F-53 : HILANG DALAM 'SEDAR'?

Saya 'memandang tinggi' kenyataan yang dibuat oleh PM Dato Sri Najib Tun Razak apabila bertegas tidak akan sesekali menutup penyelewengan kes kehilangan enjin pesawat F-5E milik TUDM yang mana ianya bernilai kira-kira RM50 Juta pada tahun 2007.

“Ketika itu saya merupakan menteri yang bertanggungjawab (selaku Menteri Pertahanan) dan saya sendiri membuat keputusan bahawa kita sepatutnya melaporkan kepada polis”

Beliau juga turut memberitahu yang Kementerian Pertahanan dan TUDM langsung tidak menyembunyikan kes ini malahan terus menyerahkan perkara ini untuk tindakan polis sebaik sahaja mengetahui kehilangan komponen pesawat F-5E tersebut.

Kita sebenarnya amat menyanjungi dengan apa yang diperkatakan oleh Najib Razak apatah lagi dengan tindakan pantas beliau didalam hal ini. Adalah amat mengejutkan sebenarnya kerana mengetahui kehilangan enjin yang bernilai RM50 Juta ini begitu ‘mudah’ sekali berlaku seolah-olah pengawasan pada pertahanan negara kita amat mudah untuk di bolosi!

RM50 Juta teramat besar nilainya kepada orang seperti saya malahan juga rakyat negara ini keseluruhannya kerana bagi kita jangankan untuk memiliki RM50 Juta tersebut tetapi untuk ‘merasai’ walaupun RM1 Juta pun masih tidak mampu sehingga kini namun begitu tidak kepada orang-orang yang bersikap ‘tamak’ serta bersubahat didalam hal ini tanpa sedikit pun mengambil kira keselamatan Negara yang harus dijaga bersama.

Satu persoalan yang bermain dikepala kita rakyat Malaysia kini ialah kenapa perkara yang telah berlaku pada tahun 2007 ini hanyalah baru diketahui sehari dua apatah lagi menjelang sambutan tahun baru 2010 kira-kira 9 hari lagi? Apakah rahsia yang cuba ditutup daripada diketahui oleh awam kini sudah tidak mampu untuk ditutup lagi?

Apakah selama dua tahun lebih ini sejak ianya berlaku pada tahun 2007 langsung tidak diambil peduli untuk mencari atau menjalankan siasatan atau berusaha menjejaki siapa dalangnya serta kepada siapa ianya dijual dan kemanakah hasil jualan tersebut telah pergi?

Saya berfikiran positif dan memandang perkara ini sebagai suatu ‘kecuaian’ yang amat besar kerana ianya boleh berlaku didepan mata kita dalam keadaan ‘sedar’ dan secara tidak langsung menunjukkan kepada negara luar kehebatan slogan “Malaysia Boleh!” itu benar-benar telah menjiwai rakyat Malaysia kini sejak slogan tersebut diperkenalkan dan dipopularkan pada awal 90an dahulu.

Jangan jadikan kes kehilangan enjin sebagai satu bahan jenaka lawak rakyat Malaysia pula selepas ini apabila berkata;

"Apa hendak di hairankan sangat kalau setakat kabel-kabel di tepi jalan, papan-papan tanda serta penutup-penutup besi longkang boleh hilang (kerana tahap keselamatan menjaga barangan tersebut biasa saja) dan lagi pun berapa sen lah sangat kalau hendak dibandingkan kehilangan enjin pesawat pejuang TUDM yang sah-sah dah RM50 Juta, itu pulak hilang ketika berada didalam kawalan 'keselamatan' yang cukup tinggi!"

Sebagai rakyat negara ini, saya memohon agar pihak kerajaan terutamanya TUDM serta Kementerian Pertahanan dapat menjalankan siasatan sehingga ke lubang cacing kepada mereka yang terlibat dan sudah tiba masanya kini segala aset-aset ketenteraan yang lain perlu dibuat sama bagi memastikan perkara penyelewengan serta kehilangan ini tidak akan berlaku lagi.

No comments: