Konvensyen Pakatan Rakyat (PR) yang pertama pada 19 Disember 2009 / Sabtu lalu di Auditorium MBSA, Shah Alam yang melibatkan penyertaan tiga komponen utama PR iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Islam Semalaysia (PAS) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) adalah titik tolak utama kearah pembentukan gabungan pembangkang utama sebagai entiti yang sah yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Konvensyen kearah penyatuan tiga parti ini adalah merupakan manisfetasi kepada perubahan sosio politik negara kita terutamanya selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke 12 2008 lalu yang mana ianya memungkinkan kearah kewujudan sistem dua parti sebagaimana di United Kingdom, Amerika Syarikat serta beberapa negara lain yang telah lama mengamalkan sistem begini.
Dengan adanya perhimpunan bersama ini juga secara tidak langsung menunjukkan kepada rakyat terutamanya akan kesungguhan pakatan pembangkang untuk ‘bersatu’ menghadapi Barisan Nasional (BN) di pilihanraya-pilihanraya samada umum atau kecil.
Sebagai sebuah negara yang bertunjangkan demokrasi, dengan adanya pelbagai parti politik untuk terus bersaing di arena politik tanahair sudah semestinya ia memerlukan kekuatan yang bukan sahaja merangkumi kekuatan kewangan, keahlian, bahagian / kawasan serta juga cawangan atau pun ranting tetapi ia juga memerlukan satu lagi kekuatan iaitu kekuatan kepada ‘penyatuan’ serta ‘pengukuhan’ di kalangan parti pembangkang negara ini.
Oleh yang sedemikian, mengumpul kekuatan serta pengukuhan kearah pembentukan ikatan antara pembangkang seperti mana di konvensyen PR kali pertama ini adalah merupakan satu langkah yang cukup baik bukan sahaja dilihat sebagai menyatukan kekuatan semata-mata untuk memastikan pertandingan satu lawan satu antara PR dan BN terlaksana ketika pilihanraya, tetapi juga dilihat PR ini sebagai satu alternatif baru rakyat Malaysia untuk diberi peluang memimpin Kerajaan Malaysia khususnya.
Perkembangan yang cukup baik selama hampir dua tahun memerintah di beberapa negeri seperti Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan (disamping Perak selama 11 bulan dahulu) sejak Mac 2008 jelas menunjukkan rakyat amat berkeinginan agar PR seterusnya diberi peluang untuk memimpin negara di PRU 13 nanti.
Amat tidak sukar untuk kita melihat apa yang rakyatkan mahukan daripada PR hanyalah menerusi pemerintahan yang adil, telus, cekap serta lebih berkonsepkan kepada kebajikan rakyat yang seharusnya diberi perhatian dan bukannya hanya mengharapkan slogan seumpama ‘tong kosong’ mencanang setiap waktu tetapi hasilnya entah kemana!
Paling penting akhirnya, mereka yang disebelah sana (BN) harus tahu bahawa pakatan pembangkang kini cukup serius dan konvensyen PR ini adalah ‘signal’ kearah itu untuk memenangi PRU 13 nanti. Perbezaan dasar dan pandangan politik antara tiga parti ini hanyalah sebagai asam garam kearah membentuk ‘kehidupan bersama’ apatah lagi penyatuan dan pengukuhan PR ini sudah pasti akan memberikan impak yang lebih gemilang kepada Pakatan Rakyat.
Pakatan Rakyat harus mendahulukan apa yang telah disepakati di kalangan mereka dan menangguhkan dahulu perbezaan sehingga mereka mencapai kata sepakat sebagaimana yang di tegaskan dalam kesepakatan tersebut.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment