Thursday, April 23, 2009

PILIHANRAYA KECIL: SEJARAH TIDAK PERNAH MELUPAKAN KITA

Salam pada semua,

Sepatutnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah pun mengadakan sidang media khasnya untuk pengumuman berkenaan dengan tarikh untuk pilihanraya kecil (PRK) di Dun Penanti Pulau Pinang sehingga kini, tetapi tidak diketahui kenapa masih tidak berbuat sedemikian?

Didalam akhbar-akhbar perdana sehingga saat ini, sudah banyak pendapat berkaitan keperluan pilihanraya kecil ini perlu diadakan atau tidak telah diberikan samada oleh para menteri, oleh penganalisis politik malahan sehingga ke peringkat bawahan seperti penduduk setempat di Penanti sendiri ataupun rakyat diseluruh negara.

Keperluan samada perlu atau tidak PRK ini diadakan akibat daripada perletakan jawatan mantan TKM 1 Pulau Pinang Sdr Fairus Khairuddin terus menjadi topik hangat untuk dibincangkan samada ianya bersesuaian atau tidak pada masa ini akibat faktor ekonomi global yang kurang menyenangkan rakyat!

Berdasarkan sistem demokrasi berparlimen di negara ini yang telah diamalkan sejak kemerdekaan negara apatah lagi sebagai negara yang terbuka serta mengamalkan kebebasan demokrasi, tidak boleh tidak halangan daripada mengadakan pilihanraya kecil itu adalah tidak dibenarkan sama sekali apatah lagi pihak SPR sudah menerima surat atau notis perletakan jawatan mantan Adun Penanti ini secara rasmi daripada Speaker Dun Pulau Pinang sejak minggu lepas lagi.

Namun begitu sekiranya kita mengambil kira pandangan-pandangan sesetengah mereka yang mempertikai kenapa perlunya PRK ini diadakan atas berbagai sebab yang lain seperti membazirkan kos PRK ini, serta perletakan jawatan selaku wakil rakyat yang begitu mudah dilakukan apatah lagi dibuat oleh wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat pula? Pendapat ini pun perlu direnungi bersama juga....

Sekiranya ini hendak dijadikan asas dan alasan untuk mengelakkan PRK daripada diteruskan bagi saya amatlah tidak kena dan tidak adil kepada mereka yang menjunjung prinsip-prinsip asas demokrasi. Mengapa saya berkata sedemikian?

Sejarah tidak pernah melupakan kita tetapi kita selalu melupakan sejarah. Sejarah perletakan jawatan dengan sebab untuk memilih wakil rakyat yang baru demi mahu kan seseorang yang lain untuk mebgisi jawatan tertentu umpamanya selaku Menteri Besar pernah berlaku di negeri Selangor sendiri di pertengahan tahun 90an dahulu.

Apakah kita lupa sejurus selepas mantan MB Selangor Tan Sri Mohamad Mohd Taib melepaskan jawatan sebagai MB Selangor akibat kes nya di Australia, Dato Sri Abu Hassan Omar yang ketika itu memegang jawatan kalau tidak silap saya selaku Menteri PDN HEP telah diarahkan meletakkan jawatan menteri dan Ahli Parlimen Kuala Selangor semata-mata untuk di jadikan MB Selangor yang baru. Oleh yang sedemikian salah seorang Adun yang berada didalam Parlimen Kuala Selangor ketika itu turut diarahkan meletakkan jawatannya seterusnya diminta bertukar untuk bertanding di kerusi parlimen Kuala Selangor manakala Dato Sri Abu Hassan Omar pula diarahkan bertanding di kerusi Dun! Senang bukan?

Mengapakah isu pembaziran tidak dikaitkan langsung didalam hal ini? Satu perkara yang bermain dikepala kita ialah, tak kan seramai-ramai Adun serta barisan exco negeri yang ada ketika itu, seorang pun tidak mampu diangkat sebagai MB Selangor pada ketika itu sehinggakan terpaksa meminta seorang yang berjawatan Menteri di peringkat pusat untuk mengambil jawatan MB Selangor sehinggakan terpaksa diadakan dua pilihanraya kecil serentak Dun dan Parlimen?

Apa rasionalnya ketika itu sehinggakan pembaziran boleh berlaku juga kalau hendak dikirakan faktor pembaziran? Mungkin juga pada ketika itu rakyat tidak melihatnya sebagai isu yang besar apatah lagi disaat itu BN begitu kuat didalam arena politik tanahair kita.

Kini ianya berlaku lagi tetapi berlaku atas sebab kekosongan kerusi yang timbul akibat perletakan jawatan dan bukannya kerana pertukaran! Sebab itu diawal tadi saya berkata hendak tidak hendak, boleh tidak boleh, pilihanraya kecil tetap perlu diadakan. Soal parti mana yang mahu bertanding atau parti mana yang tidak mahu bertanding seharusnya diketepikan dalam soal ini. Yang penting prinsip negara demokrasi harus dijunjung dan dipertahankan walaupun apabila tibanya hari pernamaan calon untuk pilihanraya kecil ini diadakan, hanya satu parti sahaja yang bertanding dan diisytiharkan menang tanpa bertanding pula....

Mana lebih elok? Kita diperlekehkan kerana tidak mahu mengadakan PRK atas alasan membazir kononnya atau pun diperlekehkan kerana gagal meletakkan prinsip-prinsip demokrasi yang telah dipertahankan selama ini? Wa'allahu alam.

Tuesday, April 21, 2009

ISU TKM 1 PULAU PINANG: PKR TIADA CALON SESUAI?



Salam pada semua,

Kemelut terhadap perlantikan Timbalan Ketua Menteri 1 (TKM 1) Pulau Pinang sudah berlarutan hampir 2 minggu. Kini isu ini telah menjadi isu hangat di media perdana negara kerana hampir setiap hari baik akhbar atau televisyen memainkan isu ini.

Terkini semakin memburukkan keadaan apabila ulasan demi ulasan oleh kedua-dua pimpinan dari PKR dan DAP telah dianggap oleh media ini sebagai ketidaksepaduan antara komponen didalam Pakatan Rakyat (PR) telah menjelma kembali.

Satu persolan yang bermain difikiran kita seluruh negara terutamanya para pemerhati politik tentang kenapa gantian kepada mantan TKM 1 Fairus Khairuddin tidak dapat disegera perlantikannya sedangkan PKR bukannya tiada tokoh yang lain yang masih berjawatan sebagai Adun PKR di Pulau Pinangh?

Walaupun persoalan demi persoalan yang diulas oleh berbagai pihak, saya melihat ini sebagai satu langkah yang cukup-cukup kurang disenangi terutamanya oleh ahli-ahli yang berada didalam Pakatan Rakyat itu sendiri.

Dengan ruang masa yang telah cukup lama diberikan oleh Ketua Menteri, YAB Lim Guan Eng kepada PKR khususnya kepada Ketua Umum Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sendiri, untuk memberi calon pengganti yang sesuai tetapi sehingga kini masih gagal untuk dilaksanakan, ianya seolah menjadi satu platform pula buat Barisan Nasional khususnya Umno untuk terus menekan kerajaan Pulau Pinang khususnya Ketua Menteri sendiri kerana dikatakan tiada ketegasan oleh beliau terhadap PKR.

Perletakan jawatan Adun Penanti juga oleh Fairus Khairuddin turut sekali lagi dijadikan isu yang dikaitkan sebagai satu strategi DSAI untuk mencari bakal TKM 1 sekiranya pilihanraya kecil di dun Penanti ini dimenangi oleh calon dari PKR. Kesan yang melanda ini akan terus berpanjangan sekiranya tidak ditangani dengan segera apatah lagi 'kemuakan' orang ramai terhadap trend mengadakan PRK ini semakin menjadi-jadi terutamanya kepada PKR sendiri.

Saya melihat secara tidak langsung seolah PKR tidak mempunyai calon yang lebih berwibawa untuk memikul jawatan TKM 1 ini dengan segera. Oleh yang sedemikian dengan mengadakan PRK Dun Penanti yang baru sahaja maka calon yang telah dikenal pasti boleh memikul tanggungjawab ini akan dilantik sebagai TKM 1. Persoalannya adakah benar PKR kini tiada calon yang sesuai untuk memegang jawatan sebagai TKM 1 Pulau Pinang?

Adalah menjadi harapan kita agar isu ini tidak terus diheretkan dengan terus membabitkan kredibiliti PR itu sendiri. Walaupun isu ini begitu kecil pada pandangan pimpinan PR khususnya PKR tetapi ianya perlu diambil kira didalam semua aspek terutamanya apabila berita yang asalnya tidaklah sensasi sangat seperti didalam hal perlantikan TKM 1 tetapi sekiranya ia asyik setiap masa dan ketika diberi liputi didalam media, tidak mustahil rakyat akan turut 'termakan' dengan propaganda ini.

Sepatutnya setiap pimpinan PR seharusnya menjaga pada setiap kenyataan yang dikeluarkan terutamanya membabitkan didalam kes seperti ini. Dengan laporan untuk PR yang begitu terhad, seharusnya kita perlu beringat pada setiap tindakan yang dibuat seharusnya di teliti bersama terlebih dahulu didalam majlis pimpinan PR sebagaimana yang termeterai sebelum ini.

Sunday, April 19, 2009

PESANAN DSAI: PERKUATKAN PARTI!

Bersama Dato Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum PKR

Sdr Rizan, Tn Hj Hamzah (Mantan ADUN Guai), Dato Seri Anwar Ibrahim dan Tn Hj Rashid Ali (Mantan Jemaah Nazir KPM)


Suasana ketika sidang media dan jamuan sejurus selepas perasmian pejabat baru PKR Pahang

Salam pada semua,

"Sekarang dan seterusnya adalah masa untuk kita. Kita perlu bekerja kuat mulai sekarang. Mana-mana kawasan atau bahagian parti yang lemah, seharusnya telah tiba untuk kita memperbetulkannya dengan mengemaskini organisasi, mengukuhkan jentera parti, menyusun semula gerak kerja dan yang paling penting adalah kepimpinan parti disetiap kawasan perlu diberi suntikan yang baru"

Ini adalah antara kata-kata nasihat DSAI kepada saya dan dua rakan yang lain (Tn Hj Hamzah Ibrahim, mantan Adun Guai yang telah menyertai PKR Bera pada 08 Mac lalu dan juga Tn Hj Rashid Ali,mantan Jemaah Nazir KPM) ketika mengadakan pertemuan 'lapan mata' ketika berhenti rehat bersama DSAI di Hentian R & R Gambang jam 12.30 malam tadi, sejurus selesai ceramah beliau di Pejabat baru Perhubungan PKR Pahang di Kuantan malam tadi.

Perbincangan yang mengambil masa antara 15-20 minit ini banyak menekankan soal gerak kerja agar lebih tersusun terutamanya dalam konteks negeri Pahang ini. Beliau mahu agar kami berterusan menjalankan kerja parti serta tidak alpa dengan perkembangan terkini politik negara sekarang. PRU 13 yang akan datang adalah peluang yang terbaik untuk Pahang.

Sebelum itu pada sebelah petang ketika perasmian pejabat baru PKR Pahang, beliau telah mengingatkan kepada pendokong-pendokong PR serta orang ramai yang hadir agar sentiasa mengambil tahu berita-berita daripada sumber alternatif lain tentang kejayaan PR menjaga kebajikan rakyat serta kedah yang digunapakai untuk memerintah di lima negeri ini selama 12 bulan pertama selepas PRU 12 2008 lalu.Ini juga kerana akhbar-akbar perdana negara ini tidak melaporkan agar rakyat tidak tahu tentang hal sebenarnya.

INILAH PRINSIP PAKATAN RAKYAT



Gambar-gambar Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI) ketika ceramah yang diadakan di Pejabat Perhubungan PKR yang baru di Kuantan, Pahang malam tadi.

Salam pada semua,

"Kita dalam Pakatan Rakyat (PR) tidak kira samada PKR, PAS atau DAP pun, sekiranya kita dapat tahu ada atau terdengar desas desus mana-mana wakil rakyat daripada PR yang tidak mampu untuk menjalankan tugas, tidak mampu untuk memikul tanggungjawab dengan berbagai sebab ataupun terlibat dengan salah laku samada melibatkan rasuah, salahlaku seks atau berbagai lagi, kita akan nasihatkan mereka untuk mengosongkan kerusi dan menyerah mandat itu kembali kepada rakyat agar pilihanraya kecil dapat dibuat semula dengan kadar segera!

Ini adalah untuk membuktikan kepada mereka yang diluar sana terutamanya Umno dan BN yang kita ini amat serius didalam soal moral demi untuk rakyat. Kita tidak mahu kerana seorang dua yang melakukan hal ini maka semua wakil rakyat lain apatah lagi daripada PR akan terpalit sama dan dituduh sebagai pelindung kepada mereka yang terlibat.

Kita juga mahu agar individu yang dikaitkan ini dapat membersihkan diri mereka ini dengan kadar segera tanpa diganggu oleh unsur-unsur yang lain. Dengan cara ini sahaja kita akan lebih dihormati oleh rakyat. Kita tidak mahu wujudnya ruang yang kosong akibat ketidakmampuan wakil-wakil rakyat ini untuk menyokong dasar atau tugasanya sebagai wakil rakyat terganggu sebagaimana yang telah dipersetujui bersama sebelum ini didalam PR."


Inilah antara sedutan kata-kata DSAI kita berceramah di majlis perasmian Pejabat Perhubungan PKR Pahang yang baru di Kuantan, Pahang. Ceramah ini yang berlangsung didalam keadaan hujan lebat pada peringkat awalnya telah dihadiri oleh 10,000 orang yang hadir untuk mendapatkan maklumat terkini dan bermutu dengan mendengar ceramah isu-isu terkini secara terus dari mulut DSAI.

Ketegasan yang dibuat oleh DSAI ini jelas kepada umum bahawa inilah prinsip PR serta kita sebenarnya juga mahu menguasai pemerintahan negara ini dengan telus dan jujur serta mengimplementasikannya untuk semua. Kita mahu rakyat dibela dan dihormati tanpa sebarang penyisihan dan bukan sebagaimana yang diamalkan oleh Umno serta BN kini.

Rakyat seharusnya yakin dan membuka minda ini agar jangan dilagukan lagi secara berterusan oleh Umno dan BN yang kononnya hanya mereka (BN) yang mempu menguruskan perjalanan negara ini!

Apakah kita perlu memberi peluang kepada Umno untuk tempoh 50 tahun lagi bagi menguruskan negara kita? kesan yang dibuat oleh mereka ini jelas sekali amat pincang selama 52 tahun kemerdekaan negara dan ini bukan sahaja memberi kesan didalam memacu pentadbiran kerajaan malahan turut terpalit kesannya ini kepada rakyat jelata.

Friday, April 17, 2009

UMNO TAKUT PILIHANRAYA KECIL?

Salam pada semua,

Perletakan jawatan Mohd Fairus Khairuddin semalam sebagai Adun Penanti yang berada didalam Parlimen Permatang Pauh (YB DSAI) adalah rentetan daripada perletakan jawatannya sebelum ini sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang pada 8 April lalu.

Semalan, saya dihubungi serta merta oleh seorang sahabat saya yang masih bersama Umno di Terengganu yang masih setia kerana projek dan kontraknya bertanyakan saya perihal ini, antara katanya ialah;

"Ini lah kerja YB-YB Pakatan Rakyat terutamanya daripada PKR, apa ke jenis semua ni ye? suka-suka bertanding lepas menang pula suka-suka dia aje nak resign, nak berenti lepas jawatan! Apa ingat semua ni kerja free ke SPR dan kerajaan nak handle dan uruskan pula pilihanraya kecil? semua ni makan duit rakyat jugak tau tak? kalau dah tahu nak sambung belajar dan nak bersama keluarga, baik daripada dahulu jangan bertanding dan jadi YB"

Itulah sedikit 'keluhan' rakyat yang prihatin kononnya dan merintih serta melahirkan kekesalan yang tidak terhingga dek kerana perbuatan mantan adun PKR ini kononnya saja-saja atau suka-suka sahaja jadi YB lepas itu berhenti pulak dari tanggungjawabnya.

Saya sebenarnya tidak menolak seratus peratus apabila mendengar kenyataan sebegini cuma kita perlu faham serta menghayati dari beberapa segi kenapa perletakan jawatan ini dibuat?

Antaranya mungkin kerana tekanan yang terlalu kuat yang dihadapi oleh beliau dan tidak mampu untuk menahan asakan lawan politiknya didalam menghadapi semua perkara ini. Disamping itu juga mungkin kerana telah menjadi satu prinsip didalam diri orang baik-baik yang akan membuat satu keputusan yang mungkin tidak diterima oleh orang ramai seperti melepaskan jawatan yang disandangnya.

Namun begitu apa yang paling penting ialah prinsip yang ada didalam diri Fairus itu seharusnya dipandang tinggi kerana beliau melepaskan jawatan ketika berada dikemuncak karier politiknya dan sudah semestinya tidak mampu diikuti dan diharungi daripada kalangan orang-orang BN khususnya Umno!

Ketika ini orang-orang Umno khususnya tidak dapat menerima perletakan jawatan ini dengan berbagai alasan yang kononnya membazir duit rakyat lagi apabila pilihanraya kecil perlu diadakan? baru sekarang Umno bercakap soal pembaziran? Sejak dari dulu berakar umbi rasuah berlingkar didiri mereka apakah mereka ingat tentang ini semua?

Hakikatnya adalah, alasan yang berbagai diberikan untuk mengelakkan pilihanraya diadakan adalah kerana ketidakpastian mereka untuk berlawan dimedan pilihanraya untuk menghadapi PR apatah lagi kesan kekalahan demi kekalahan pada PRK ini semakin mengecutkan hati pendokong Umno dan BN ini.

Umno juga dikatakan berkemungkinan besar tidak akan meletakkan calon bagi menunjukkan perasaan 'protes'lah konon terhadap pilihanraya kecil ini demi menjaga 'duit rakyat' yang seharusnya tidak perlu dibazirkan lagi....Lawak sungguh Umno dan BN kini. tidak semena-mena sudah 'berani' untuk tidak mahu meletakkan calon disaat mempunyai PM yang didakwa sungguh kuat dan gagah berbanding PM Pak Lah yang dikatakan lembik ketika memimpin negara...tetapi lembik Pak Lah tidak pernah takut untuk menghadapi sebarang pilihanraya...

Thursday, April 16, 2009

SELEPAS SETAHUN UMNO TERENGGANU BERGOLAK LAGI?

MB Terengganu Dato Ahmad Said

Dato Seri Idris Jusuh, Mantan MB Terengganu
Dato Rosol Wahid, Mantan Exco Terengganu
Dato Din Adam, Mantan Exco Terengganu

Salam pada semua,

Umno Terengganu bergolak lagi? Itu yang aku baca dalam akhbar serta dengar dan tengok radio dan TV juga....yang pasti bukan aku yang mereka-reka kenyataan serta cerita ini TETAPI aku dapatkan maklumat pergolakan ini melalui sumber media kepunyaan pemerintah Umno / BN.

Keributan yang melanda Umno Terengganu kini bukanlah perkara baru. Kes yang berlanjutan sejak selepas PRU 13 2008 ini telah mewarnai negeri Terengganu sejak peristiwa kekecohan perlantikan Menteri Besar Terengganu menimbulkan pertikaian antara Umno /BN serta Istana Terengganu sendiri.

Siapakah antara kita selaku rakyat dinegara ini yang boleh melupakan bagaimana kemuncak kekecohan ini maka berlaku episod 'penghinaan' kepada terhadap Tuanku Sultan dan Istana Terengganu oleh puak-puak Umno Terengganu sendiri terhadap pemilihan dan perlantikan MB baru YAB Dato Ahmad Said.

Kini selepas setahun berlalu, secara tiba-tiba sahaja nama Dato Rosol Wahid muncul kembali yang mendakwa menerima sms ugutan ancaman keselamatan kerana dikaitkan dengan percubaan undi tidak percaya terhadap MB Terengganu itu sendiri.

Umno....itu lah mentaliti Umno serta pemimpin-pemimpin Umno juga. Usahkan jawatan MB bukan kepunyaan Umno / BN yang telah direbut sebagaimana mereka lakukan di Perak dan 'cuba-cuba juga merebut' sebagaimana yang mereka usahakan di negeri-negeri kerajaan pakatan Rakyat (PR)yang lain, tetapi terhadap jawatan MB yang sah dan secara terang-terangan milik parti Umno itu sendiri pun masih lagi mereka berkira-kira juga dan ber'matematik' untuk di rebutnya!

Apa jenis pemimpin yang telah dilahirkan serta dikeluarkan oleh Umno kalau begini gayanya? Langkah sumbang pemimpin-pemimpin yang gila terhadap kuasa serta ingin ada kuasa amat berbeza ketika era Umno sebelum dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada awal 80an dahulu.

Dahulu Umno dihormati bukan kerana namanya tetapi kerana peranan pemimpin yang telah mereka lahirkan. Siapa yang tidak kenal daripada sekecil-kecil pemimpin seperti Pengerusi JKKK sehinggalah sebesar-besar pemimpin seperti Tun Razak sendiri didalam memberi khidmat bakti kepada rakyat terutamanya orang melayu?

Ye...memang telah berlaku dahulu pada tahun 1961 Umno dengan menggunakan cara undi tidak percaya terhadap MB Terengganu pimpinan Daud Samad daripada kerajaan pimpinan Pas, tetapi sepanjang pengetahuan saya serta pembacaan sejarah Umno dan kerajaan pimpinan Umno / Perikatan @ BN, apakah kita pernah dengar percubaan mengambil kuasa daripada pemimpin mereka sendiri dengan menggunakan kaedah 'silap dan mata ini'? Baca biar terang : Umno cuba ambil kuasa atau rebut kuasa atau gila kuasa untuk menguasai jawatan MB itu daripada pemimpin Umno yang telah sedia ada memegang jawatan MB itu sendiri?

Namun kini amat malang...teramat malang apabila desas desus akan ada percubaan untuk mengusul undi tidak percaya terhadap MB dibawah parti yang sama? Riuh rendah sehari dua ini dan semua pemerhati politik kini tertumpu ke Terengganu untuk melihat perkembangan terkini isu pemboikotan Adun-adun 10 orang ini untuk hadir ke persidangan DUN Terengganu.

Kisah ini dipercayai tidak akan berakhir disini sahaja sekiranya langkah-langkah yang perlu serta segera patut diambil bagi mendamaikan kekecohan sebagaimana tahun lepas berulang. Seharusnya pemimpin Umno seperti Dato Rosol Wahid, Dato Din Adam, Dato Seri Idris Jusuh (mantan MB penggal lalu) perlu akur serta senantiasa bermuhasabah didalam diri.

Sebagai mantan MB yang lalu, Idris Jusuh seharusnya bertindak sebagai pemangkin kepada kepimpinan yang baru dan tidak menjadi seperti api dalam sekam yang sentiasa mempunyai agenda dalaman untuk menekan MB yang direstui oleh pihak Istana!

Ketegasan serta 'keberanian' MB Ahmad Said ini juga adalah merupakan sumber kekuatan dalaman didalam dirinya untuk terus melawan tanpa berundur. Sejak kecil lagi sifat beliau ini ketika dikampung telah diakui oleh semua. Kenyataan beliau bahawa tidak akan memujuk atau merayu agar hadir ke sidang DUN adalah buktinya.

Menurut Ahmad Said lagi, "sebagai ahli politik kita perlu tahu peranan kita untuk berkhidmat kepada rakyat dan seharusnya mereka (10 orang Adun tersebut)pun tahu akan tugasnya"

Pengambilalihan jawatan MB Terengganu oleh Ahmad Said daripada Idris Jusuh juga seakan membuka lembaran baru kerajaan Umno BN Terengganu dengan pucuk pimpinan Pas Terengganu sendiri apabila sikap Ahmad Said sendiri yang seakan lunak dengan Pas didalam setiap gerak geri yang dilakukannya. Contoh yang paling diingati oleh semua pendokong PR ialah kebenaran menggunakan Stadium Negeri untuk pengisytiharan calon PAS ketika PRK Kuala Terengganu awal tahun ini serta kebenaran untuk menggunakan Dewan Majlis Perbandaran Kemaman bagi tujuan program Pas Terengganu tahun lepas.

Apakah sikap beliau ini hanyalah sebagai tempat sementara untuk berpaut bagi 'meredakan' tekanan didalam dirinya akibat tekanan yang dibuat oleh puak-puak 10 orang ini yang masih bebas berkeliaran di dalam DUN Terengganu? Kita tidak pasti....

YANG PASTI KITA TIDAK TAHU, HANYA PM YANG TAHU...

Salam pada semua,

Pemansuhan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD)oleh PM sekarang Dato Seri Najib Tun Razak amatlah mengejutkan kita terutamanya kepada golongan bumiputera itu sendiri.

Kementerian dengan nama yang khusus MECD ini telah diwujudkan semenjak era Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai PM ke 4 telah menyumbang banyak kemudahan kepada golongan usahawan, pelajar, pemandu teksi, pemilik kenderaan awam dan sebagainya.

Namun apabila ianya kini telah ditiadakan sebaik sahaja pengumuman kabinet baru-baru ini oleh PM Najib, ianya sedikit menimbulkan persoalan kenapa kementerian yang sepenting ini terutamanya kepada orang melayu dan bumiputera boleh dimansuhkan? Apakah Najib tidak memikirkan kesan jangka panjang apabila MECD ini ditiadakan?

Jasa MECD amat besar selama ini kerana ianya bukan sahaja setakat memberi sumbangan kepada golongan usahawan dan peniaga malahan juga turut memberikan bantuan kewangan serta pendidikan kepada pelajar-pelajar yang sudah semestinya ketika era itu (dizaman saya belajar di universiti tiada lagi PTPTN) akan memohon dan menerima tawaran pinjaman pelajaran ataupun biasiswa melalui Mara.

Apakah rasionalnya MECD ini ditiadakan oleh PM Najib sudah pasti kita semua tidak akan tahu kecuali oleh Najib sendiri sahaja. Pengumuman yang dikeluarkan diakhbar hari ini cukup 'menyesakkan' nafas kita apabila diberitahu 8 agensi yang berada dibawah seliaan MECD telah diagih-agihkan kepada beberapa kementerian.

Apakah jaminan dengan pengagihan beberapa agensi ini ke 'destinasi' terbaru ini akan mengukuhkan lagi keadaan serta akan memberi nilai tambah itu sendiri? Pemindahan UniKl contohnya yang merupakan satu universiti yang dibentuk secara terus oleh Mara sebelum ini ke kementerian Pengajian Tinggi cukup memberi impak yang besar kepada para pelajar. Kalau dahulu jaminan yuran yang rendah serta peluang yang besar kepada bumiputera didalam menimba peluang yang ada disini serta dikawal selia secara terus oleh Mara dan MECD pasti menggembirakan bumiputera, tetapi bagaimana kini? Yang pasti kita tidak tahu.

Agensi Mara yang dipindahkan ke kementerian Kemajuan Luar Bandar turut akan menerima kesannya secara langsung atau tidak langsung. Kenapa Mara harus kesana? Apakah alasan untuk membantu masyarakat kampung dan desa serta luar bandar ini oleh Mara melalui kementerian akan lebih tercapai? Kita tidak tahu, hanya PM Najib sahaja yang tahu.Yang Pasti PM Najib sahaja tahu.

Kemana LKKP? Lembaga yang begitu dekat dengan para pemndu teksi serta pengangkutan awam yang berperanan sebagai tukang kawalselia untuk pemberian permit atau perlesenan? Ya...kita sekali lagi dikejutkan dengan pengumuman ini apabila ianya di arahkan berada di bawah Jabatan Perdana Menteri. Kenapa dan mengapa kita pun tidak tahu kecuali hanya PM Najib sahaja yang tahu.

Yang pasti kita semua tidak tahu tetapi hanya PM Najib sahaja yang tahu. Cuma satu sahaja yang kita tahu dan pasti, kewujudan MECD selama ini lebih berperanan sebagai kementerian yang 'memberi' bantuan kepada rakyat berbanding 'membuat' duit daripaa duit rakyat sebagaimana di kementerian-kementerian lain. Apakah kerajaan pimpinan PM baru kita ini tidak lagi bersedia secara terus untuk membantu dengan memberi pelbagai pinjaman dan bantuan kewangan kepada bumiputera? Entahlah....yang pasti kita semua pasti tidak tahu, hanya PM Najib sahaja yang tahu.

KUASA DARI RAKYAT UNTUK RAKYAT

Suasana di Pilihanraya Kecil Bukit Gantang

Suasana di Pilihanraya Kecil Bukit Selambau


Salam pada semua,

Rasanya sudah hampir 2 minggu saya tidak berpeluang untuk menulis artikel didalam blog ini dek kesibukan dengan tugasan samada pada pekerjaan atau pun politik. Namun begitu disepanjang 2 minggu pada bulan April ini kita menerima beberapa kejutan ataupun 'kejadian terkini' terutamanya senario semasa politik negara kita.

Alhamdulillah kemenangan yang cukup besar Pakatan Rakyat (PR) di PRK Bukit Gantang, Perak, Bukit Selambau, Kedah serta 'sedikit' kekalahan di Batang Ai, Sarawak itulah antara intipati yang tersohor dipermulaan awal bulan April.

Kesan daripada kemenangan pilihanraya kecil (PRK) ini terutamanya di Kedah dan Perak adalah merupakan satu manifestasi rakyat umumnya di negara kita kini terhadap peralihan pucuk pimpinan negara daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada PM sekarang YAB Dato Seri Najib Tun Razak.

Tidak sedikit antara kita yang begitu 'teruja' dengan peralihan ini apatah lagi ianya dilakukan ketika begitu hampir dengan pilihanraya kecil di 3 tempat ini. Namun begitu rakyat terutamanya di dua tempat ini telah menterjemahkan didalam bentuk undi untuk menolak kehadiran PM baru sebagai pemimpin utama negara kita kini. Disamping itu juga penolakan rakyat terhadap BN di Bukit Gantang juga adalah 'signal' utama penolakan rakyat di Perak terhadap kerajaan BN yang kini memimpin negeri Perak yang diperolehi melalui 'pintu belakang' yang begitu memberi kesan yang amat mendalam terhadap MB Perak itu sendiri YAB Dato Dr Zambry Kadir.

Pengalaman saya ketika bersama-sama di 2 tempat ini terutamanya cukup berbangga serta mengujakan diri sendiri terutamanya ketika bersama setiap masa bersama semua pemimpin PR di Bukit Gantang dan Bukit Selambau apabila melihat tidak kira semua kaum Melayu, Cina dan India sepakat terutamanya pada hari mengundi menolak serta berkempen sehabis mungkin agar pengundi memilih calon PAS Dato Seri Ir Nizar dan Sdr Manikumar disana.

Alhamdulillah, ini lah hasilnya yang dinikmati oleh semua pendokong PR yang bukan sahaja bersyukur dengan kemenangan ini malahan begitu berbangga dan percaya bahawa kita rakyat Malaysia kini terutamanya non muslim tidak lagi 'fobia' dengan Islam sebagaimana yang selalu digembar gemburkan oleh Umno terutamanya!

Kita didalam PR tidak diajar untuk bermusuh-musuhan walaupun dengan sesiapa pun waima daripada kalangan penyokong serta pendokong Umno dan BN tetapi kita diseru agar berterusan untuk merapatkan kembali serta mendekati mereka semua ini.

Inilah senario serta kesan daripada PRK yang kini menjadi mimpi ngeri buat Umno dan BN kerana mereka seakan takut dan mengelak daripada adanya PRK serta yang apaling 'syahdu' mereka tidak boleh menerima kekalahan demi kekalahan pada setiap PRK berbanding suatu masa dahulu sekiranya PRK diadakan, parti-parti yang diistilahkan mereka sebagai pembangkang ini sudah dibayangkan kekalahan bakal berkunjung serta kemas didalam genggaman parti-parti pembangkang tetapi itu dahulu, bukan sekarang semenjak PRU ke 13 2008.....

Wednesday, April 1, 2009

DRAMA BUBAR & KELUAR PARTI PADA SETIAP PILIHANRAYA

Sdr Kalaivanar (Kalai) bersama '500 orang' yang didakwa keluar dan membubar PKR Bahagian Jerai pada hari ke 2 kempen PRK Dun Bukit Selambau ketika membuat sidang akhbarnya

Ragam pelik Sdr Kalai berceramah ketika dihari pernamaan calon PKR Bukit Selambau


Salam pada semua,

Pengumuman pembubaran PKR Bahagian Jerai Kedah serta keluarnya mantan ketua bahagian Sdr Kalai 'bersama 500 ahli' sebagaimana yang didakwakan adalah merupakan rencah serta warna warni pada setiap pilihanraya samada kecil ataupun umum.

Sdr Kalai sebagaimana yang didakwa mengatakan tindakannya ini disebabkan perasaan rasa tidak puashati beliau dan beberapa pemimpin kaum india di sini keatas sikap anwar yang tidak menghiraukan permintaan mereka atas cadangan memilih calon untuk Dun Bukit Selambau.

Disamping itu juga beliau mendakwa selepas setahun lebih pemerintahan PR di lima negeri yang dimenangi PR ketika PRU 12 lalu, nasib kaum india langsung tidak dihiraukan serta selalu dipandang sepi oleh semua pemimpin daripada segenap peringkat. Atas sebab-sebab sedemikian lah beliau mendakwa untuk keluar serta seterusnya membubarkan PKR bahagian Jerai ini.

Namun begitu itu cerita versi beliau, hakikat sebenarnya keputusan yang dibuat oleh beliau yang didakwa sudah 29 kali ditangkap kerana berdemonstrasi sepanjang 10 tahun lalu adalah kerana kegagalan beliau untuk dipilih sebagai calon di Bukit Selambau ini apatah lagi beliau berstatuskan sebagai ketua bahagian. lebih menghibakan beliau lagi ialah apabila MB Kedah Ustaz Azizan Razak sendiri turut menjanjikan kepada calon PKR yang menang ini akan memegang jawatan exco kerajaan Kedah untuk kuota kaum india di Kedah pula.

Anwar sebagai Ketua Umum PKR sudah pasti mempunyai pertimbangan tersendiri untuk memilih calon yang terbaik apatah lagi perlawanan ini bukannya sebarang perlawanan kerana ianya melibatkan bala jentera dari seluruh negara terutamanya kepada BN sendiri.

Bagi saya setiap perkara yang berlaku itu ada hikmahnya yang tersendiri. Dengan keluarnya beliau secara tidak langsung PKR sudah terlepas daripada beban yang ditanggung selama ini oleh orang-orang yang berperangai sebegini. Lagipun ianya akan mempercepatkan lagi proses tapisan terhadap ahli-ahli serta pemimpin PKR sendiri lebih-lebih lagi didalam menghadapi PRU ke 13 nanti.

Sebelum berakhirnya artikel kali ini, cuma dua perkara sahaja yang perlu kita renungkan bersama pada episod pembubaran dan keluar parti PKR versi Bukit Selambau kali ini iaitu:

1. Apakah yang difahami sebagai pembubaran pada sesebuah parti di peringkat Bahagian sebagaimana kata Sdr Kalai? Perkara ini tidak semudah menutup pintu kedai selepas berniaga! Kata beliau PKR Jerai telah dibubarkan. Pihak yang boleh membubarkan sesuatu bahagian sesebuah parti hanyalah Pendaftar Pertubuhan (ROS)dan bukannya berada di tangan ketua atau ahli jawatankuasa parti berkenaan walaupun kesemua ahlinya keluar!Parti di bahagian tersebut masih wujud dengan syarat pemilihan ketua dan AJK yang baru perlu diadakan segera atas arahan ibupejabat parti.Yang terbubarnya keseluruhan jawatankuasa bahagian tersebut sahaja tetapi pada ROS PKR bahagian Jerai masih wujud. Akan terbubar pada ROS sesuatu bahagian parti itu seandainya laporan tahunan parti tidak dihantar selama 3 tahun berturut-turut atau dengan sebab-sebab lain yang munasabah dan bukannya sebab keluar parti kerana 'frust' tidak dapat bertanding macam Sdr Kalai lakukan ini!

2. 500 orang keluar parti? Berapa keahlian Jerai sebenarnya? betul ke semua yang ada itu ahlinya atau sekadar ahli hari ini masuk parti hari ini sudah disahkan sebagai ahli PKR? Cuba tanya ibupejabat parti dan periksa apakah betul jumlah ahli yang keluar ini 500 orang? kelihatan yang berada disekitar beliau ketika membuat kenyataan akhbar hanyalah sekitar 20-30 orang sahaja?

Jadi dimana kewajaran Sdr Kalai untuk bercakap didalam pelbagai hal ini? Untuk membicarakan soal teknikal dan dasar parti pun sudah tidak betul apatah lagi untuk dicalonkan oleh parti bagi kerusi Dun Bukit Selambau? jadi renung-renungkan lah kepada drama pada setiap kali pilihanraya diadakan di negara kita ini...