Thursday, April 16, 2009

YANG PASTI KITA TIDAK TAHU, HANYA PM YANG TAHU...

Salam pada semua,

Pemansuhan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD)oleh PM sekarang Dato Seri Najib Tun Razak amatlah mengejutkan kita terutamanya kepada golongan bumiputera itu sendiri.

Kementerian dengan nama yang khusus MECD ini telah diwujudkan semenjak era Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai PM ke 4 telah menyumbang banyak kemudahan kepada golongan usahawan, pelajar, pemandu teksi, pemilik kenderaan awam dan sebagainya.

Namun apabila ianya kini telah ditiadakan sebaik sahaja pengumuman kabinet baru-baru ini oleh PM Najib, ianya sedikit menimbulkan persoalan kenapa kementerian yang sepenting ini terutamanya kepada orang melayu dan bumiputera boleh dimansuhkan? Apakah Najib tidak memikirkan kesan jangka panjang apabila MECD ini ditiadakan?

Jasa MECD amat besar selama ini kerana ianya bukan sahaja setakat memberi sumbangan kepada golongan usahawan dan peniaga malahan juga turut memberikan bantuan kewangan serta pendidikan kepada pelajar-pelajar yang sudah semestinya ketika era itu (dizaman saya belajar di universiti tiada lagi PTPTN) akan memohon dan menerima tawaran pinjaman pelajaran ataupun biasiswa melalui Mara.

Apakah rasionalnya MECD ini ditiadakan oleh PM Najib sudah pasti kita semua tidak akan tahu kecuali oleh Najib sendiri sahaja. Pengumuman yang dikeluarkan diakhbar hari ini cukup 'menyesakkan' nafas kita apabila diberitahu 8 agensi yang berada dibawah seliaan MECD telah diagih-agihkan kepada beberapa kementerian.

Apakah jaminan dengan pengagihan beberapa agensi ini ke 'destinasi' terbaru ini akan mengukuhkan lagi keadaan serta akan memberi nilai tambah itu sendiri? Pemindahan UniKl contohnya yang merupakan satu universiti yang dibentuk secara terus oleh Mara sebelum ini ke kementerian Pengajian Tinggi cukup memberi impak yang besar kepada para pelajar. Kalau dahulu jaminan yuran yang rendah serta peluang yang besar kepada bumiputera didalam menimba peluang yang ada disini serta dikawal selia secara terus oleh Mara dan MECD pasti menggembirakan bumiputera, tetapi bagaimana kini? Yang pasti kita tidak tahu.

Agensi Mara yang dipindahkan ke kementerian Kemajuan Luar Bandar turut akan menerima kesannya secara langsung atau tidak langsung. Kenapa Mara harus kesana? Apakah alasan untuk membantu masyarakat kampung dan desa serta luar bandar ini oleh Mara melalui kementerian akan lebih tercapai? Kita tidak tahu, hanya PM Najib sahaja yang tahu.Yang Pasti PM Najib sahaja tahu.

Kemana LKKP? Lembaga yang begitu dekat dengan para pemndu teksi serta pengangkutan awam yang berperanan sebagai tukang kawalselia untuk pemberian permit atau perlesenan? Ya...kita sekali lagi dikejutkan dengan pengumuman ini apabila ianya di arahkan berada di bawah Jabatan Perdana Menteri. Kenapa dan mengapa kita pun tidak tahu kecuali hanya PM Najib sahaja yang tahu.

Yang pasti kita semua tidak tahu tetapi hanya PM Najib sahaja yang tahu. Cuma satu sahaja yang kita tahu dan pasti, kewujudan MECD selama ini lebih berperanan sebagai kementerian yang 'memberi' bantuan kepada rakyat berbanding 'membuat' duit daripaa duit rakyat sebagaimana di kementerian-kementerian lain. Apakah kerajaan pimpinan PM baru kita ini tidak lagi bersedia secara terus untuk membantu dengan memberi pelbagai pinjaman dan bantuan kewangan kepada bumiputera? Entahlah....yang pasti kita semua pasti tidak tahu, hanya PM Najib sahaja yang tahu.

No comments: