Thursday, April 23, 2009

PILIHANRAYA KECIL: SEJARAH TIDAK PERNAH MELUPAKAN KITA

Salam pada semua,

Sepatutnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah pun mengadakan sidang media khasnya untuk pengumuman berkenaan dengan tarikh untuk pilihanraya kecil (PRK) di Dun Penanti Pulau Pinang sehingga kini, tetapi tidak diketahui kenapa masih tidak berbuat sedemikian?

Didalam akhbar-akhbar perdana sehingga saat ini, sudah banyak pendapat berkaitan keperluan pilihanraya kecil ini perlu diadakan atau tidak telah diberikan samada oleh para menteri, oleh penganalisis politik malahan sehingga ke peringkat bawahan seperti penduduk setempat di Penanti sendiri ataupun rakyat diseluruh negara.

Keperluan samada perlu atau tidak PRK ini diadakan akibat daripada perletakan jawatan mantan TKM 1 Pulau Pinang Sdr Fairus Khairuddin terus menjadi topik hangat untuk dibincangkan samada ianya bersesuaian atau tidak pada masa ini akibat faktor ekonomi global yang kurang menyenangkan rakyat!

Berdasarkan sistem demokrasi berparlimen di negara ini yang telah diamalkan sejak kemerdekaan negara apatah lagi sebagai negara yang terbuka serta mengamalkan kebebasan demokrasi, tidak boleh tidak halangan daripada mengadakan pilihanraya kecil itu adalah tidak dibenarkan sama sekali apatah lagi pihak SPR sudah menerima surat atau notis perletakan jawatan mantan Adun Penanti ini secara rasmi daripada Speaker Dun Pulau Pinang sejak minggu lepas lagi.

Namun begitu sekiranya kita mengambil kira pandangan-pandangan sesetengah mereka yang mempertikai kenapa perlunya PRK ini diadakan atas berbagai sebab yang lain seperti membazirkan kos PRK ini, serta perletakan jawatan selaku wakil rakyat yang begitu mudah dilakukan apatah lagi dibuat oleh wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat pula? Pendapat ini pun perlu direnungi bersama juga....

Sekiranya ini hendak dijadikan asas dan alasan untuk mengelakkan PRK daripada diteruskan bagi saya amatlah tidak kena dan tidak adil kepada mereka yang menjunjung prinsip-prinsip asas demokrasi. Mengapa saya berkata sedemikian?

Sejarah tidak pernah melupakan kita tetapi kita selalu melupakan sejarah. Sejarah perletakan jawatan dengan sebab untuk memilih wakil rakyat yang baru demi mahu kan seseorang yang lain untuk mebgisi jawatan tertentu umpamanya selaku Menteri Besar pernah berlaku di negeri Selangor sendiri di pertengahan tahun 90an dahulu.

Apakah kita lupa sejurus selepas mantan MB Selangor Tan Sri Mohamad Mohd Taib melepaskan jawatan sebagai MB Selangor akibat kes nya di Australia, Dato Sri Abu Hassan Omar yang ketika itu memegang jawatan kalau tidak silap saya selaku Menteri PDN HEP telah diarahkan meletakkan jawatan menteri dan Ahli Parlimen Kuala Selangor semata-mata untuk di jadikan MB Selangor yang baru. Oleh yang sedemikian salah seorang Adun yang berada didalam Parlimen Kuala Selangor ketika itu turut diarahkan meletakkan jawatannya seterusnya diminta bertukar untuk bertanding di kerusi parlimen Kuala Selangor manakala Dato Sri Abu Hassan Omar pula diarahkan bertanding di kerusi Dun! Senang bukan?

Mengapakah isu pembaziran tidak dikaitkan langsung didalam hal ini? Satu perkara yang bermain dikepala kita ialah, tak kan seramai-ramai Adun serta barisan exco negeri yang ada ketika itu, seorang pun tidak mampu diangkat sebagai MB Selangor pada ketika itu sehinggakan terpaksa meminta seorang yang berjawatan Menteri di peringkat pusat untuk mengambil jawatan MB Selangor sehinggakan terpaksa diadakan dua pilihanraya kecil serentak Dun dan Parlimen?

Apa rasionalnya ketika itu sehinggakan pembaziran boleh berlaku juga kalau hendak dikirakan faktor pembaziran? Mungkin juga pada ketika itu rakyat tidak melihatnya sebagai isu yang besar apatah lagi disaat itu BN begitu kuat didalam arena politik tanahair kita.

Kini ianya berlaku lagi tetapi berlaku atas sebab kekosongan kerusi yang timbul akibat perletakan jawatan dan bukannya kerana pertukaran! Sebab itu diawal tadi saya berkata hendak tidak hendak, boleh tidak boleh, pilihanraya kecil tetap perlu diadakan. Soal parti mana yang mahu bertanding atau parti mana yang tidak mahu bertanding seharusnya diketepikan dalam soal ini. Yang penting prinsip negara demokrasi harus dijunjung dan dipertahankan walaupun apabila tibanya hari pernamaan calon untuk pilihanraya kecil ini diadakan, hanya satu parti sahaja yang bertanding dan diisytiharkan menang tanpa bertanding pula....

Mana lebih elok? Kita diperlekehkan kerana tidak mahu mengadakan PRK atas alasan membazir kononnya atau pun diperlekehkan kerana gagal meletakkan prinsip-prinsip demokrasi yang telah dipertahankan selama ini? Wa'allahu alam.

2 comments:

Unknown said...

satu persoalan yang masih timbul, mengapa PKR memaksa Fairus meletakkan jawatan, sedangkan SPRM mengatakan tiada kes keatasnnya untuk mendakwa beliau. Apakah atas sebab yang moral atau prestasi yang dijadikan ukuran. Janganlah dikatakan PKR sebuah parti yang amat suci hinggakan baru mendengar guruh dilangit habis air dalam tempayan dicurahkan. DSAI juga ada kes yang belum dibicarakan tetapi takde pulak ada suara dalam PKR yang menyuruh beliau berhenti.

budok jengka said...

bila nak post baru ni zan? sibuk ngat ke?