Tuesday, March 31, 2009

RUMUSAN UMNO 2009: GANDINGAN NAJIB-MUHYIDDIN SEUMPAMA TUN RAZAK-TUN DR ISMAIL?

Najib Tun Razak, Presiden Umno yang baru
Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden Umno yang baru
Almarhum Tun Abd Razak Hussein, Mantan Presiden Umno

Almarhum Tun Dr Ismail, Mantan Timbalan Presiden Umno

Salam pada semua,

Kemenangan Muhyiddin Yassin serta Ahmad Zahid Hamidi, Hishamuddin Hussein dan Shafie Afdal sebagai Timbalan Presiden dan Naib-naib Presiden Umno yang baru beberapa hari lalu tidaklah mengejutkan ramai terutamanya para pemerharti luar.

Kemenangan mereka ini yang disifatkan oleh para ‘pengampu’ Umno kononnya sebagai rangkaian yang teramat baik, berwawasan, muda, dan mempunyai kelebihannya yang tersendiri pada diri mereka masing-masing apatah lagi diandaikan oleh semua pihak sebagai gandingan mantap bersama Presiden Umno yang baru Najib Tun Razak.

Hakikat yang sebenarnya kemenangan mereka ini tidak menampakkan sebarang petanda bahawa perubahan akan berjalan sebagaimana yang digembar- gemburkan kerana sememangnya diantara mereka ini turut mempunyai ‘sejarah kegemilangannya’ masing-masing didalam politik.

Sememangnya ramai yang menjangkakan pertandingan untuk jawatan Timbalan Presiden akan berlaku dengan lebih sengit seandainya Ali Rustam tidak dihalang daripada meneruskan niatnya untuk bertanding. Semua orang tidak menafikan kemampuan Ali Rustam untuk membuat kejutan pada jawatan ini sekiranya ianya berlaku tetapi nasibnya malang kerana didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin Umno atas kaitannya dengan politik wang beberapa hari sebelum perhimpunan agung Umno ini.

Dengan keunggulan dan kekuatan yang ada pada Muhyiddin Yassin ini, halangannya terhadap Muhamad Mohd Taib hanyalah kecil sahaja apatah lagi kemampuan serta potensi diri Muhyiddin itu lebih dipandang oleh para perwakilan berbanding Muhamad Taib yang cukup ‘kontroversi’ selama ini.

Tetapi apakah jaminan dengan kemenangan besar Muhyiddin pada pemilihan ini sememangnya diri beliau diterima orang? Saya tidak melihat beliau sebagai gandingan yang ‘sesuai’ bersama Najib kali ini kerana Muhyiddin yang kita kenali adalah seorang pemimpin yang cukup teliti serta cermat didalam sebarang tindakan. Beliau seorang yang begitu tegas serta berani berbanding dengan Najib.

Disamping itu juga dengan perbezaan umur beliau yang lebih berusia daripada Najib juga memungkinkan akan timbul konflik dan perbezaaan pendapat dengan Presiden sendiri walaupun konflik ini lebih menjuruskan kebaikan bersama didalam parti Umno. Mungkin orang akan melihat ini adalah perkara biasa tetapi didalam politik istilah ‘aku makan garam lebih dahulu daripada kamu’ atau lebih tua umurnya untuk di hormati, pasti ianya akan berlaku juga.

Sejarah Presiden Umno ke tiga Almarhum Tun Razak Hussein dengan Almarhum Tun Dr Ismail selaku Timbalan beliau pada akhir tahun 60an dulu pasti akan berulang apabila ketika itu Ismail lebih dikenali sebagai nasionalis melayu yang unggul apatah lagi ketika peristiwa 13 Mei 1969 berlaku.


Kehebatan serta keunggulan peribadi Ismail amatlah digeruni oleh semua orang termasuk kaum bukan melayu kerana ketegasannya didalam membuat keputusan apatah lagi terhadap Almarhum Tunku Abd Rahman sendiri ketika beliau menjadi Presiden Umno ke dua.

Ketegasan serta faktor lebih berusia daripada Presiden kali ini berulang kembali apabila Muhyiddin menjadi Timbalan Presiden Umno. Dengan keempat-empat tokoh ini juga sama daripada Pahang dan Johor.

Sebenarnya amatlah sukar didalam sesebuah kapal itu sekiranya masih terdapat satu lagi suara yang turut memiliki ‘aura’ ketegasannya selain daripada Presiden sahaja. Apakah mungkin dengan aura yang dimiliki oleh Timbalan ini hanya akan didiamkan begitu sahaja tanpa menggunakannya?

Secara peribadinya saya berpandangan Muhyiddin tidak mampu lagi untuk mendaki ke kerusi Presiden suatu masa nanti kerana atas faktor usia yang lebih berusia berbanding Najib sendiri dan melihat fenomena ini keyakinan kita bahawa peristiwa gandingan antara ‘biras’ sebagai Presiden dan Timbalan Presiden dan seterusnya sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri (Tun Razak dan Tun Hussein Onn) pasti akan berulang lagi sekiranya Hishamuddin Hussein yang juga sepupu Najib ini mampu mendaki ke jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan yang akan datang nanti.

Saya tidak melihat perkara ini mustahil. Kalau dahulu siapa dapat menyangka gandingan biras sebagai Presiden dan Timbalan Presiden Umno berlaku? Atas faktor ini lah saya berkeyakinan juga bahawa suatu hari nanti gandingan dua anak bekas Presiden Umno ini akan bergandingan kembali. Kalau dahulu biras, tetapi kali ini pula sepupu. Namun kemungkinan ini hanya akan berlaku terlebih dahulu didalam Umno sebagai Presiden dan Timbalan Presiden sahaja kerana belum tentu di PRU 13 yang akan datang BN masih mampu memenangi PRU tersebut!

SKETSA UMNO 2009: SARANAN WAKIL KELAB UMNO LUAR NEGARA DANGKAL & TIDAK MASUK AKAL!

Salam pada semua,

Saranan yang dibuat oleh seorang wakil kelab Umno Southampton, Wan Md Hazlin Agyl Wan Hassan agar Biasiswa kerajaan ditarik kepada mana-mana pelajar di luar Negara khusunya di Mesir kerana penglibatan mereka dengan parti pembangkang amatlah dangkal serta menyerlah kebodohan beliau sebagai seorang pelajar yang menuntut didalam ijazah Phd.

Ini kah yang dikatakan minda kelas pertama sebagaimana yang diwar-warkan oleh Umno? Untuk pengetahuan beliau dan semua ahli-ahli Umno terutamanya ahli-ahli kelab Umno luar Negara, Setiap sen yang diperolehi melalui biasiswa samada biasiswa penuh kerajaan atau pun badan berkanun itu adalah merupakan wang rakyat.

Mana mungkin beliau boleh menggesa agar kerajaan dapat menarik biasiswa ini semata-mata mahu membendung sokongan pelajar terutamanya di Mesir daripada menyokong pembangkang? Apakah beliau masih tidak tahu bahawa ini merupakan biasiswa kerajaan dan bukannya biasiswa Umno!

Kerajaan adalah Negara, tidak kira samada kerajaan Negara ini diperintah oleh Umno/BN atau pun Pakatan Rakyat. Selagi ianya dinamakan sebagai Kerajaan Malaysia semua penduduk di Negara ini akan dikenakan cukai tidak kira samada mereka ini penyokong Umno/BN atau pun daripada Pakatan Rakyat.

Hanya biasiswa yang keluarkan oleh Umno sahaja yang boleh ditarik bantuan kewangan ini oleh pelajar yang tidak menyokong Umno. Kita sedikit pun tidak hairan andainya Umno berhak menarik biasiswa yang diberikan kepada pelajar tersebut sekira didapati pelajar tersebut tidak menyokong Umno kerana secara jelas biasiswa ini atas nama biasiswa Umno!

Amatlah malang buat Umno kerana usul dan pembahasan pelajar seperti Wan Md Hazlin ini tidak menggambarkan kepintaran serta kepandaian beliau sebagai seorang penuntut diperingkat Phd. Beliau masih tidak mampu untuk membezakan kepada perkara asas, tidak mampu membezakan apa yang kerajaan miliki dan apa yang parti miliki?

Tahap pemikiran pelajar ini begitu lemah. Inikah yang dikatakan sebagai melayu glokal sebagaimana yang diperkatakan oleh Presiden Umno yang baru, Najib Razak? Amat malang sekali sekiranya Umno memiliki seorang ahlinya yang begitu rendah tahap pengetahuan am yang dimilikinya.

Kenyataan beliau ini juga telah mengesahkan kepada Umno bahawa kebanyakan pelajar kini terutamanya di luar Negara tidak semudah ‘memberi gula-gula’ untuk dipengaruhi. Dengan dunia tanpa sempadan serta maklumat dihujung jari, para pelajar terutamanya yang berada di luar Negara pasti akan sentiasa memantau perkembangan bukan sahaja ekonomi dan kemanusiaan malahan juga akan turut mengikuti perkembangan senario politik tanah air.

Apakah para pelajar ini boleh dipaksa-paksa agar berterusan untuk menyokong Umno/BN khusunya tanpa mengambil kira pelbagai faktor semasa serta senario politik kini?

Tidak timbul istilah kacang melupakan kulitnya sekira para pelajar ini membuat keputusan untuk menyokong pembangkang! Adalah telah menjadi tugas kerajaan untuk menyediakan segala kemudahan termasuk biasiswa kepada pelajar yang cemerlang untuk pembiayaan pelajarannya tanpa mengambil kira siapa yang kamu undi dan parti mana yang di sokong?

Ini merupakan tugas sebagai sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat. Sebab itu diawal tadi saya sudah mengatakan, parti perlu dibezakan dengan kerajaan dan bukannya menganggap kerajaan Malaysia ini hak kepunyaan Umno/BN sahaja!

Kerajaan Malaysia akan tetap wujud selagi dunia belum kiamat walaupun parti yang bertanding pada setiap PRU silih berganti menerajuinya. Begitu juga dengan dasar serta polisinya tetap sama melainkan dipinda kerana ianya dinamakan atas polisi kerajaan dan bukan atas nama polisi sesebuah parti! Ahli Umno seperti wakil pelajar kelab Umno luar Negara ini seharusnya tahu sesungguhnya kerajaan Negara ini kepunyaan semua orang tanpa mengira ideologi politiknya dan bukan hak milik serta kepunyaan Umno/BN sahaja!

Thursday, March 26, 2009

DIMANA PERUBAHAN?: PEMIMPIN BARU, POLISI UMNO TETAP LAMA

Khairi Jamaluddin, Ketua Pemuda Umno Malaysia 2008-2011

Sharizat Jalil, Ketua Wanita Umno Malaysia 2008-2011
Rosnah Rashid, Ketua Puteri Umno Malaysia 2008-2011

Salam pada semua,

Kemenangan khairi Jamaluddin, Sharizat Jalil dan Rosnah Rashid pada perebutan jawatan Ketua Pemuda, Ketua Wanita dan Ketua Puteri Umno tetap tidak menghadirkan sebarang perubahan kepada semua sayap-sayap parti berteraskan kaum melayu ini.

Ramai penganalisis politik membuat andaian yang lebih berbentuk mengampu didalam mengupas isu sebenar didalam Umno ini. Kisah yang baik-baik serta gembira didalam Umno ini dijadikan asas untuk diangkat pada parti ini apatah lagi kepada pemimpin-pemimpin yang baru memenangi jawatan didalam sayap ini.

Semuanya mengatakan dengan kemenangan mereka ini sudah pasti sayap-sayap ini akan mengalami perubahan yang mendadak apatah lagi kini ianya telah diketuai oleh pemimpin baru yang masih segar bugar serta mempunyai visi yang jauh.

Bagi saya perubahan yang berlaku didalam Umno seharusnya disambut baik oleh semua pihak tetapi perubahan itu seharusnya dipandang daripada beberapa segi. Antaranya perubahan yang melibatkan pemimpin atau ketua pada satu-satu gerakan hanyalah melibatkan style atau cara ianya dipandu sahaja sedangkan hakikat dasar dan polisi garakan tersebut masih tidak berubah!

Umno secara jelasnya pada hari ini telah berubah pemimpin segala-galanya dari semua peringkat samada diperingkat pemuda, wanita, puteri malahan Presiden dan Timbalan Presiden juga. Tetapi apakah dasar parti ini turut berubah dengan perubahan pucuk pimpinan ini?

Usah kita nafikan perubahannya tetap ada tetapi apakah ini boleh dijadikan asas terhadap perubahan yang berbentuk menyeluruh? Saya tidak nampak dasar Umno itu akan berubah walaupun berkali-kali parti ini berubah pemimpinnya.

Kerana apa saya berpandangan sedemikian? Umno dengan semangat kebangsaan sebagai teras didalam parti ini sudah pasti akan berterusan dengan fahaman bangsa sebagai panduannya. Dengan isu yang sama sejak pra-kemerdekaan negara sehingga kini, kehidupan didalam Umno tidak pernah terbuka untuk menerima realiti yang ada didalam konteks negara kita sebagai negara majmuk.

Walaupun bertukar pemimpinnya, selagi dasar yang tidak pernah berpandukan hukum Allah sebagai panduan (Islam) ianya tetap tidak akan merubahkan apa-apa pada keseluruhan ahlinya. Didalam hal ini ianya berbeza dengan Pas yang tetap dengan Islam sebagai panduan didalam membawa obor perjuangan pasti Pas ini.

Umno tetap diyakini tidak akan berubah lagi sekiranya budaya ketakutan terus ditanam didalam minda orang melayu dan bumiputra. Sikap yang menakutkan kita sekiranya Umno tidak kuat maka orang melayu akan hilang adalah merupakan kesilapan yang berterusan. Ianya juga tidak akan berubah haluannya sekiranya apa yang berlaku didalam Umno masih tetap wujud seperti budaya mencantas, budaya politik wang atau RASUAH didalam parti serta bersikap kepuak-puakan didalamnya.

Biarlah hadirnya Khairi Jamaluddin dengan imej pemuda gagah berani, hadirnya Sharizat Jalil dengan imej yang lembut dan mesra serta hadirnya Rosnah Rashid berimejkan tenang dan berwawasan, Umno tetap ditakuk lama. Selagi Umno tidak berubah dengan polisi yang ada, Umno tetap tidak akan kemana. Umno masih lagi dibuai dengan kenangan silam, kenangan kehebatan mentadbir negara serta masih berlagukan hanya Umno sahaja yang mampu mentadbir negara!

Umno tidak akan berubah biar pun berkali pemimpin bertukar selagi tiadanya roh atau jiwa pada semua pendokongnya untuk berubah! Umno perlu berubah segalanya kalau mahu ianya diterima rakyat serta orang melayu khususnya dasar parti itu sendiri. Umno perlu tahu dan serius untuk melakukan semua ini. Bukan sekadar bercakap atau bertempik terlolong untuk berkata kami mahu berubah!

Umno perlu benteraskan segala kehidupan yang negatif didalamnya seperti rasuah atau politik wang, seperti Umno lubuk wang untuk pencari 'harta karun' didalamnya atau seperti umno tempat segala-galanya untuk kemewahan atau kesenangan didalam kehidupan.

Yang pastinya, kalau Umno gagal untuk berubah, tiada gunanya juga Umno mengadakan pemilihan untuk mencari pemimpin yang baru disetiap kali ada perhimpunan permilihan parti.

Saturday, March 21, 2009

ISU POLITIK WANG: ALI RUSTAM SEHARUSNYA MENCONTOHI ISA SAMAD


Tan Sri Isa Samad, Mantan Naib Presiden Umno 2004

Gambar-gambar ragam penyokong Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam ketika pimpinan Pakatan Rakyat Melaka selesai membuat laporan terhadap SPRM di Melaka semalam

Salam pada semua,

Selepas pemilihan tertinggi Umno pada tahun 2004 dahulu, Tan Sri Isa Samad yang ketika berjawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan telah dipaksa melepaskan jawatan setelah beliau didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin Umno dalam isu 'politik wang' atau dengan bahasa mudahnya RASUAH ketika menang jawatan Naib Presiden Umno.

Maka beliau dengan rasa 'gentleman' dan 'macho'nya melepaskan jawatan menteri tersebut walaupun mungkin beliau sendiri terkilan apatah lagi beliau telah menang sebagai ahli parlimen Jempol pada PRU 11 2004 dahulu. Walaupun ramai penyokong-penyokongnya terkilan dengan dua keputusan tersebut, tetapi akhirnya semua bertenang dan dapat diterima dengan baik.

Kini pada tahun 2009, seminggu menjelang perhimpunan agung Umno yang turut mengadakan pemilihan tertinggi Umno, sekali lagi episod yang hampir sama dengan Tan Sri Isa Samad berulang apabila kali ini Datuk Seri Mohd Ali Rustam pula didapati bersalah dengan isu yang sama politik wang atau bahasa mudahnya RASUAH yang dikesan dilakukan ketika kempen percalonan untuk bertanding jawatan Timbalan presiden Umno.

Yang berbezanya didalam kes yang hampir serupa ini ialah, Isa Samad didapati bersalah selepas menang jawatan Naib Presiden Umno dan terpaksa melepaskan jawatan beliau sebagai menteri tetapi Ali Rustam pula didapati bersalah sebelum pertandingan diadakan dan dihalang bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden Umno serta tidak dipaksa untuk melepaskan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka malahan tiada tekanan pula terhadap beliau untuk melepaskan jawatan tersebut sebagaimana menurut kata Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Najib Tun Razak sendiri.

Yang berbeza lagi, ketika Isa Samad didapati bersalah dahulu kerana kes ini, tiada kedengaran pun tanda protes daripada penyokong-penyokongnya malahan kediaman beliau di Negeri Sembilan tenang dengan dipenuhi penyokong yang berkumpul disekitar kediaman sahaja. Tiada kedengaran adegan penyokong-penyokongnya bertindak kurang ajar terhadap pimpinan Pakatan Rakyat (Ketika itu PKR dan PAS dikenali sebagai Barisan Alternatif, BA) serta penyokong-penyokongnya walaupun turut ada laporan polis dan BPR yang dibuat. Semuanya tenang dan Isa Samad sendiri tenang didalam menerima takdir tersebut apatah lagi untuk merayu pada Lembaga Disiplin Umno.

Kini berlainan yang teramat sangat dengan Ali Rustam yang secara terang memberitahu media bahawa beliau tidak terlibat dengan kes politik wang ini apatah lagi bersalah! Disamping itu juga beliau turut merayu kepada Lembaga Disiplin Umno agar diterima semula untuk bertanding (walaupun ditolak akhirnya). Malahan lagi teruk apabila penyokong-penyokongnya bertindak kurang ajar dengan membaling batu kepada pimpinan pemuda PKR dan PAS Melaka sebaik sahaja selesai membuat laporan kepada SPRM Melaka.

Kenapa menjadi begitu kelam kabut para penyokong beliau? Kenapa Ali Rustam sendiri tidak bertindak menenangkan penyokongnya sebagaimana yang dibuat oleh Isa Samad pada suatu masa dahulu? Beliau sepatutnya bersyukur kerana masih lagi berjawatan Ketua Menteri dan dipertahankan oleh kepimpinan tertinggi Umno untuk terus berada di situ? Semoga Datuk Seri Mohd Ali Rustam dapat menerima ketetapan yang telah termaktub oleh Nya sebagaimana Tan Sri Isa Samad dapat menerimanya dahulu.

ISU LIMBANG: APA NAK JADI DENGAN MEDIA MALAYSIA?

Dato Sri Dr Rais Yatim, Menteri Luar Malaysia

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abd Taib Mahmud

Salam pada semua,

Dalam riuh rendah orang ramai membicarakan tentang tindakan Lembaga disiplin Umno memberi amaran, menggantung dan menghalang beberapa orang pemimpin Umno untuk meneruskan niatnya bertanding di pemilihan Umno yang akan bersidang pada perhimpunan agung Umno mulai 24 mac ini, tiba-tiba kita dikejutkan dengan berita berkaitan Limbang di Sarawak.

Beberapa hari sebelum ini menerusi TV3 dan beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin Kerajaan Malaysia (menerusi akhbar-akhbar utama negara) seperti Dato Sri Dr Rais Yatim selaku menteri Luar serta daripada Perdana Menteri sendiri, Pak Lah dan tidak ketinggalan juga oleh Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abd Taib Mahmud. Semuanya berbicara pada topik yang sama iaitu "Kerajaan Brunei sudah bersetuju untuk mengugurkan tuntutan keatas Limbang" yang telah dijajakan seluruh negara tentang 'kejayaan' kerajaan Malaysia sekarang.

Namun begitu semalam kita sekali lagi 'mendapat kejutan' terbaru apabila Menteri Luar & Perdagangan Kedua Negara Brunei Darussalam, Datuk Seri Lim Jock Seng menafikan isu pengguguran terhadap tuntutan Limbang itu dibincang ketika pertemuan bersama antara kedua-dua pemimpin utama negara masing-masing. Kenyataan ini disahkan sebagaimana yang dikeluarkan oleh akhbar utama (Borneo Bulletin) negara tersebut;

Brunei’s Second Minister of Foreign Affairs and Trade Datuk Seri Lim Jock Seng had after the Brunei legislative council meeting on Tuesday said the discussion that led to the signing of the Letters of Exchange (LoE) in Bandar Seri Begawan on Monday was on the demarcation of land boundaries on the whole."

"Certain press reports yesterday (Monday) claimed that Brunei has dropped claims over Limbang. In fact, the claim on Limbang was never discussed,"


Kenyataan yang dibuat oleh Menteri Luar Brunei ini sama sekali telah menafikan kenyatan sebagaimana yang dikeluarkan oleh akhbar Malaysia yang mengatakan Brunei telah menggugurkan isu tuntutan terhadap Limbang dan telah sah menjadi hak milik Malaysia sekarang.

Apa sudah jadi dengan laporan berita yang dibuat oleh akhbar-akhbar negara kita sekarang ini? Isu yang melibatkan kepentingan antara kedua buah negara pun boleh dibuat sebagai mainan bagi kepetntingan politik pemimpin-pemimpin tertentu negara kita?

Akhbar dan pemimpin-pemimpin negara kita sepatutnya malu kepada masyarakt luar dengan melaporkan berita yang tidak benar. Inilah akibatnya apabila media negara kita selalu sangat menipu dan membuat ulasan yang tidak benar demi melariskan jualan mereka berkaitan hal dalaman negara kita sehingga sanggup pula untuk menipu juga dengan menyiarkan fakta yang tidak benar walaupun melibatkan negara orang lain.

Thursday, March 19, 2009

WANG BUKAN RAJA SEGALANYA

Calon Ketua Pemuda Umno, Sdr Khairi Jamaluddin
Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka

Salam pada semua,

Hukuman yang berbeza pada kesalahan yang sama amat lah menghairankan kita semua. Apakah motif disebalik hukuman yang berbeza itu. Dalam kes yang melibatkan dua orang 'personaliti politik wang' didalam Umno ini cukup memelikkan kepada semua, bukan sekadar kepada kedua-dua penyokong masing-masing serta ahli-ahli Umno, malahan juga kepada rakyat serta pemerhati politik tanah air kita ini.

Berdasarkan Perkara 10.1 Tataetika Ahli UMNO kerana kesalahan rasuah dan politik wang, Sdr Khairi Jamaluddin dan Datuk Seri Ali Rustam kedua ini sememangnya membuat kesalahan yang sama tetapi hukuman yang dijatuhkan cukup berbeza, seorang didapati bersalah tetapi sekadar dikenakan amaran sahaja tetapi seorang lagi didapati salah dan dikenakan hukuman dilarang bertanding!

Apakah alasan yang telah diberikan oleh Lembaga Disiplin Umno ini memanglah tidak diketahui oleh kita semua termasuk ahli Umno kerana sememangnya alasan yang diberikan cukup dangkal sama sekali.

Bagi saya yang pastinya kedua mereka telah disahkan kerana terlibat dengan politik wang dan ini cukup pasti kerana apa yang didengari selama ini telah pun disahkan oleh Lembaga Disiplin Umno tersebut cuma cara hukuman yang dijatuhkan menjadi persoalan apakah hukuman ini sekadar memberi kelebihan kepada Umno bahawa parti ini amat tegas terhadap isu politik wang?

Semua orang tahu selama ini setiap kali adanya pertandingan didalam Umno, maka berlimpah ruah lah 'rezeki' tambahan tiga atau empat tahun sekali ini kepada ahli Umno yang tidak mengerti erti kekejian terhadap rasuah!

Sejarah Umno yang dikuasai oleh guru-guru seperti Allahyarham Tun Ghaffar Baba dan para petani, nelayan dan sebagainya diperingkat awal cukup ikhlas dan jujur didalam memperjuangkan bangsa, agama dan negara. Orang melayu ketika pra-kemerdekaan negara hampir kesemuanya melihatkan hanya Umno sahaja yang mampu mengangkat maruah melayu sehinggalah ke era awal 80an.

Sejarah tidak pernah melupakan kita tetapi kita terutamanya ahli-ahli Umno seperti pemimpin-pemimpin yang terlibat dengan gejala politik wang ini lah yang selalu melupakan sejarah. Tidak pernah kedengaran suatu masa dahulu pada zaman ibubapa serta datuk nenek kita mengadu yang ahli-ahli Umno terdahulu telah terlibat dengan politik wang atau dengan bahasa mudahnya RASUAH!

Baik Sdr Khairi atau Ali Rustam serta mereka yang tersenarai antara 29 orang yang secara jelas terlibat didalam politik wang ini, hanya Allah SWT sahaja tahu samada perkara ini benar-benar berlaku atau pun tidak.

Hukuman yang dijatuhkan oleh Lembaga Disiplin Umno tersebut masih ringan kerana masing-masing tiada yang diarahkan melepaskan jawatan seperti Ketua Menteri, Wakil-wakil rakyat ataupun jawatan politik yang disandang oleh mereka sekarang.

Cukuplah peringatan yang dikenakan terhadap mereka ini semua. Janganlah jadikan wang untuk mencari kuasa. Ada hikmahnya apabila dihalang untuk meneruskan niat untuk bertanding ke peringkat jawatan yang lebih tinggi dan ada hikmah juga kepada mereka yang tidak dihalang untuk bertanding ini kerana hukuman walaupun berbentuk amaran sahaja adalah peringatan untuk mereka agar jangan terus menjadikan wang sebagai raja segala-galanya untuk mencari kuasa...

Wednesday, March 18, 2009

APA LAGI YANG BOLEH KITA HARAPKAN?

Salam pada semua,

Tindakan yang dikenakan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam (dalam gambar) yang dihalang daripada meneruskan niatnya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada perhimpunan agung Umno minggu depan benar-benar mencetuskan dimensi baru didalam Umno.

Keputusan ini yang diumumkan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen semalam mendapati beliau bersalah bersama dengan tiga ejennya tersebut didalam isu politik wang.

Sebagaimana yang diperkatakan sebelum ini, sememangnya Umno dan rasuah walaupun dinamakan apa sekali pun samada sebagai politik wang atau pun tidak, ia tetap tidak boleh berpisah seumpama lagu dan irama yang tidak dapat dipisahkan.

Walaupun tindakan yang dibuat oleh lembaga ini terhadap beberapa orang yang lain lagi dipandang tinggi oleh rakyat kerana pembenterasan berbentuk rasuah, ianya sedikit pun tidak mengejutkan orang ramai kerana kita telah sedia maklum bahawa isu yang berkaitan dengan rasuah ini sememangnya berlaku didalam parti 'keramat' ini.

Isu rasuah didalam Umno sebenarnya bukan perkara baru kerana ianya telah berakar umbi sejak 20 tahun lalu didalam Umno terutamanya dan perkara ini akan berlaku setiap kali adanya pemilihan didalam parti samada diperingkat cawangan, bahagian malahan ke peringkat tertinggi (MT).

Dengan fenomena ini, adalah tidak menghairankan kepada kita sekiranya bentuk rasuah ini turut diterjemahkan ketika pilihanraya samada pilihanraya kecil atau umum. Cuma bentuk atau caranya sahaja berbeza. Diperingkat parti terutamanya didalam Umno atau komponen BN yang lain ianya lebih dikenali sebagai politik wang tetapi sekiranya ketika pilihanraya ianya dinamakan pula sebagai pembangunan! Yang pasti keduanya adalah rasuah!

Disamping itu rakyat turut merasa kesal dengan penglibatan seorang wakil rakyat yang bertaraf Ketua Menteri disebuah negeri dengan gejala yang tidak bermoral ini. Apa lagi yang kita boleh harapkan kepada pemimpin-pemimpin seumpama ini didalam membentuk budaya bermoral serta berakhlak disesebuah negeri kepada rakyatnya sekiranya beliau sendiri yang melakukan perkara keji ini?

Rakyat diluar sentiasa memerhati tingkah laku para pemimpin. Kita memerlukan pemimpin yang baik serta dipandang tinggi bukan sahaja pada kelulusannya sahaja malahan kita tidak mahu pemimpin yang 'mabuk' pada kuasanya sehingga lupa kepada ajaran Islam yang syumul. Jangan kita jadikan prinsip 'matlamat menghalalkan cara' sebagai pedoman.

KERAJAAN PERPADUAN : KENAPA SEKARANG?

Salam pada semua,

Sejak seminggu ini, berbagai pihak terutamanya pemimpin-pemimpin Umno yang memberi berbagai komen terhadap cadangan 'Kerajaan Perpaduan' sebagaimana yang disuarakan oleh Presiden Pas, Dato Seri Tn Guru Hj Abdul Hadi Awang (dalam gambar).

Fokus atau bentuk kerajaan perpaduan ini lebih menjuruskan kepada Umno dan Pas sendiri. Walaupun isu ini banyak dibangkitkan didada-dada akhbar sahaja tetapi kesan terhadap pembacanya terutama kepada golongan yang jauh dari maklumat alternatif amatlah mendatangkan kesan.

Sehingga kini, isu yang rungkaikan ini lebih menjadi tumpuan kepada akhbar kepunyaan pemerintah. Apabila isu ini telah dimanipulasikan oleh pimpinan negara terutamanya daripada kalangan pemimpin Umno itu sendiri, secara tidak langsung ianya telah dijadikan modal untuk mereka menjadikan asas perpaduan yang dimaksudkan oleh YB Presiden Pas sebagai bahan kempen politik mereka.

Bagi saya isu ini yang secara dasarnya amat jelas tentang cadangan pada bentuk pemerintahan secara perpaduan pada semua parti politik didalam kerajaan Malaysia seumpama yang dilaksanakan di negara jiran Indonesia. Namun hakikat yang perlu kita akui, sistem dinegara tersebut adalah berlainan sama sekali kerana pilihanraya mereka mengundi berdasarkan populariti dengan memilih parti dan bukannya secara kerusi seperti negara kita.

Walau apa pun, cadangan kerajaan perpaduan ini baik kerana lebih menjuruskan kepada sistem pemerintahan negara yang tiada pembangkang secara dasarnya seperti sekarang tetapi lebih menjuruskan kepada dalaman pemerintahan itu sendiri.

Timbul suatu persoalan daripada rakyat, kenapakah isu ini dibangkitkan sekarang oleh YB Presiden Pas? Apakah yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat sekarang ini di beberapa buah negeri tidak begitu praktikal dan baik?

Bagi saya kesan kepada isu ini mungkin akan menimbulkan polemik baru kepada parti-parti terutamanya yang berada didalam komponen Pakatan Rakyat. Sebagaimana yang di ulaskan oleh YAB Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyatakan apa yang diulaskan ini semuanya oleh akhbar nasional milik kerajaan! Oleh itu beliau akan bertanya sendiri kepada YB Tn Guru Hj Hadi nanti untuk penjelasan.

Disaat penamaan calon untuk pilihanraya kecil di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai semakin hampir pada 29 Mac ini, kita tidak mahu akhbar-akhbar ini akan terus memainkan isu kerajaan perpaduan ini sebagai modal untuk kempen politik mereka.Oleh itu kita mengharapkan agar isu perpaduan ini dapat ditangani dengan segera daripada dimanipulasikan oleh Umno terutamanya!

CABARAN 'PANAS' MENJELANG PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2009

Dato Seri Najib Tun Razak, Bakal Presiden UMNO

Tan Sri Muhyiddin Yassin, Calon Timbalan Presiden UMNO

Salam pada semua,

Pemilihan di peringkat tertinggi dalam Umno kian hampir. Perhimpunan yang dijangka berlangsung pada 24-28 Mac ini merupakan perhimpunan yang terakhir yang dihadiri oleh Perdana Menteri, Dato Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi atau Pak Lah sebagai Presiden Umno sebelum diambil alih oleh Dato Seri Najib Tun Razak.

Perhimpunan yang kian hampir ini semakin panas dengan berbagai isu dalaman parti yang kian berserabut kerana isu politik wang. Didalam parti Umno isu main duit oleh sebahagian besar pemimpin atau rasuah wang lebih dikenali sebagai politik wangi.Bagi mereka ianya tidak memerlukan perhatian daripada pihak penguatkuasaan seperti SPRM kerana ianya ditakrifkan sebagai isu dalaman sahaja.

Isu politik wang telah menjadi barah yang amat bahaya didalam parti Umno ini sejak hampir 20 tahun lalu kerana tiadanya ketegasan oleh pemimpinnya. Isu yang berangkai ini bukan sahaja melibatkan pemimpin cawangan dan bahagian malahan turut melibatkan pimpinan diperingkat tertingginya.

Pembatalan kemenangan Tan Sri Isa Samad ketika pemilihan Umno 2004 dulu daripada jawatan Naib Presiden Umno adalah bukti bahawa bukan hanya sekadar pemimpin bawahan yang terlibat malahan juga diatas.

Isu didalam Umno ini turut melibatkan semua peringkat samada pada pemilihan MT itu sendiri serta juga kepada sayap-sayap Pemuda, Wanita dan yang paling malangnya turut tempias kepada sayap bongsunya yang baru mengenali alam politik iaitu Puteri Umno.

Sebagaimana yang diungkapkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddin sendiri suatu masa dahulu bahawa sayap-sayap didalam Umno ini seharusnya dibubarkan kerana politik wang turut menular dan dijadikan asas untuk memilih pemimpin.

Bayangkan lah, diusia muda yang baru mencecah hampir 7 tahun sejak penajaan puteri Umno diperingkat nasional, puteri Umno telah dicemari dengan berbagai isu yang berkaitan dengan politik wang. Kemanakah haluan dan hala tuju yang akan dibawa oleh puteri Umno ini sekiranya perkara ini telah dijadikan sebagai panduan?

Perhimpunan yang bakal berlangsung minggu depan ini juga bakal memperlihatkan barisan pimpinan negara kita. Ini kerana semua jawatan utama parti turut dipertandingkan bermula dengan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib-naib Presiden serta semua jawatan lain.

Telah menjadi tradisi yang diasaskan sejak merdeka lagi, Presiden dan Timbalan Presiden Umno secara automatik akan mengisi jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Apakah bakal pemimpin negara ini akan benar-benar dilihat sebagai berkualiti sekiranya isu politik wang yang melanda didalam Umno ini diambil kira? Sama-sama lah kita menilainya...

DEWAN RAKYAT YANG MULIA

Salam pada semua,

Parlimen adalah tempat yang mulia untuk semua yang Yang Berhormat (YB) yang dipilih oleh rakyat ketika pilihanraya untuk berbahas apa sahaja termasuk isu-isu yang dikirakan sensitif.

Tempat yang istimewa sedemikian mempunyai peraturan yang telah digubal iaitu Peraturan Mesyuarat bertujuan mengawal budi bahasa para ahli-ahlinya samada di Dewan Rakyat ataupun di Dewan Negara.

Dengan adanya peraturan tersebut anggota parlimen dilarang daripada bersikap kurang ajar atau salah laku yang jelas menjelikkan serta menghina dengan kata-kata kesat. Dalam erti kata boleh menjaga serta membentuk tingkahlaku seseorang YB itu.

Namun begitu sejak akhir-akhir ini apatah lagi selepas PRU 12 2008 lalu keadaan dewan pada hari ini semakin panas dan terus panas setiap kali sidang dewan dijalankan. Dengan berbagai aksi yang semakin jelik samada daripada pihak Barisan Nasional (BN) ataupun juga Pakatan Rakyat (PR) malahan juga kepada YB daripada Bebas.

Penggantungan yang melibatkan YB Gobind Singh Deo (dalam gambar) daripada PR (DAP) yang juga MP Puchong jelas ketegasan oleh Speaker Dewan Rakyat telah digunakan secara maksima. Namun begitu persoalan yang bermain difikiran kita ialah kenapa apabila berlaku sesuatu perkara yang melibatkan salah laku oleh MP Pakatan Rakyat maka ianya begitu cepat diambil tindakan?

Apakah motif sebenar ini turut berkait rapat untuk menutup isu-isu yang dilemparkan oleh YB tersebut dari dibahaskan secara terbuka oleh semua MP? Kadang-kadang isu yang dikatakan menghina seseorang turut dilemparkan oleh YB-YB daripada BN sendiri malahan kenyataan yang kurang ajar turut dilemparkan oleh YB bebas sendiri.

Apakah sekiranya ada isu-isu yang dibangkitkan mereka serta berbagai cacian nista yang dilemparkan oleh MP BN atau bebas ini tetapi lebih menjuruskan kepada PR, maka semuanya dibolehkan tanpa diambil sebarang tindakan sebagaimana yang dikenakan terharap MP Puchong tersebut?

Semua masih ingat bagaimana suatu masa dahulu apabila YB Kinabatangan secara jelas menghina wanita serta menimbulkan kata-kata berbentuk lucah tetapi langsung tiada tindakan diambil? Apakah perbuatan tersebut boleh diterima oleh kita semua rakyat Malaysia?

Begitu juga kata YB Pasir Mas (bebas) secara jelas menghina peribadi seseorang apabila menghamburkan kata-kata yang tidak berasas kepada YB dari Pakatan Rakyat itu merupakan suatu tindakan yang baik?

Tetapi itulah hakikatnya, sesungguhnya Dewan berhak untuk membuat apa sahaja tindakan yang difikirkan perlu untuk semua, apakah hukuman 12 bulan pergantungan terhadap YB Puchong tersebut sudah cukup baik untus untuk mengelak gejala yang dikatakan tidak sihat itu dari terus berlaku?

Monday, March 16, 2009

TIADA LAGI PEMBANGUNAN ALA MEE SEGERA?

Salam pada semua,

Dato Seri Najib Tun Razak, ("PM in waiting" ;kalau jadi selepas perhimpunan agung Umno akhir Mac 2009 ini) ketika pengumuman calon BN di parlimen Bukit Gantang kelmarin ada memberitahu kepada rakyat yang hadir bahawa tiada lagi projek pembangunan ala mee segera!

Menurut beliau lagi, rakyat sudah tidak mahu melihat lagi pembangunan yang tergesa-gesa sebagaimana sebelum ini, menurut kata-kata Najib kelmarin;

"Kita tidak akan membawa lagi pembangunan-pembangunan ala mee segera ketika pilihanraya kecil sebagaimana sebelum ini. Tiada lagi ketika kempen pilihanraya datang jentera buat jalan lah, turap jalan lah dan sebagainya"

Sebenarnya perkara ini sejak dulu lagi Pakatan Rakyat (PR) membantah cara kempen sebegini kerana ini adalah salah satu bentuk rasuah pembangunan yang hanya hadir ketika pilihanraya kecil sahaja. Kenapa tidak dibuat pembangunan sebelum itu?

Maka berbagai alasan lah yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin Umno mengatakan sebenarnya sudah lama kerajaan merancang untuk membuat pembangunan disitu (sesuatu kawasan pilihanraya kecil) cuma masa yang dilancarkan ini secara kebetulan sahaja ketika waktu kempen.

Walaupun berbagai alasan yang diberikan sehingga pihak PR sendiri membuat bantahan kepada SPR dan sebagainya namun tiada satu pun yang dilayan sehingga PRK di Kuala Terengganu menjadi titik penamat kepada bentuk kempen seperti ini.

Di PRK Kuala Terengganu kita melihat bagaimana kerajaan menggunakan segala-galanya peruntukan dan jentera ketika kempen tersebut dengan boleh dikatakan setiap hari ada sahaja perlancaran berbagai projek baru pembangunan di sana. Namun begitu rakyat tidak sedikit pun termakan malahan ketika hari mengundi rakyat menolaknya dengan memilih calon PAS sebagai ahli parlimen Kuala Terengganu yang baru.

Berilah apa sahaja pun rakyat akan mengambinya, beri duit kita ambik, beri kain kita ambil malahan beri pembangunan sebagaimana yang dijanjikan pun kita terima tetapi mengundi belum tentu kita berikan pada calon Barisan Nasional!

Najib juga berkata;

"Kalau mahukan pembangunan yang berterusan, hanya memenangkan calon BN sahaja lah kerajaan akan terus dapat membantu kepada semua rakyat untuk di nikmati"

Kalau macam itu kata Dato Seri Najib, bagaimana pula kalau keputusan selepas 7 April 2009 ini keptusan PRK masih lagi memihak keputusan kepada calon dari PR, adakah pembangunan tidak diadakan di Bukit Gantang? Sama-samalah kita melihatnya...

Friday, March 13, 2009

KAJIAN TERHADAP PPSMI BELUM SIAP?

Salam pada semua,

Menurut akhbar hari ini, kajian terhadap Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan dikemukakan kepada kabinet dalam tempoh sebulan daripada sekarang.

Perkara ini yang dinyatakan oleh Menteri Pelajaran Dato Sri Hishamuddin Tun Hussein turut memberitahu;

“Kita masih membuat kajian yang terperinci termasuk menerima maklum balas dari berbagai pihak termasuk kementerian lain sebelum membentangkannya kepada jemaah menteri”

Kenyataan yang keluarkan ini amatlah mengejutkan kita kerana kajian yang dibuat oleh pihak kementerian pelajaran begitu lama dan mengambil masa yang panjang untuk dibentang ke kabinet sedangkan perlaksanaan PPSMI telah masuk tahun ke enam perlaksanaannya.

Kajian PPSMI ini seharusnya telah lama selesai apatah lagi ianya berkait rapat dengan bantahan rakyat terhadap dasar ini. Kebangkitan rakyat menjadi lebih kemuncak pada minggu lepas apabila hampir 50 ribu orang berarak ke Istana Negara bagi menghantar memorandum ke YDP Agung.

Apakah kelewatan untuk membentangkan kajian PPSMI ini berkait rapat dengan tiga pilihanraya kecil pada April depan atau pemilihan dalam Perhimpunan Agung Umno hujung bulan ini yang turut melibat Menteri pelajaran sendiri yang turut bertanding untuk jawatan Naib Presiden Umno.

Didalam politik Umno terutamanya, perkara seperti ini kadang-kadang dijadikan modal politik untuk kempen mereka meraih undi samada untuk kempen pilihanraya atau juga kempen didalam parti sendiri. Jadi adalah bukan perkara pelik sekiranya ‘perubahan’ yang mendadak akan dibuat pada ketika itu (ketika pilihanraya kecil atau perhimpunan agung Umno).

Disamping itu, kenyataan Dato Sri Hishamuddin sendiri yang mengatakan permansuhan dasar PPSMI ini tidak boleh sewenang-wenangnya dilakukan oleh beliau kerana ianya melibatkan banyak pihak yang turut terlibat dengan perlaksanaan ini apatah lagi berkaitrapat dengan pelajar, guru dan peruntukan yang telah dilaburkan.

“Para pejuang bahasa mungkin tidak perasan dengan isu-isu yang membabitkan pelajar, guru dan peruntukan yang telah kerajaan laburkan sejak 2003 lagi”

Siapa kata kita termasuk para pejuang bahasa ini yang tidak pernah mengambil tahu tentang ini semua? Sejak enam tahun dulu lagi, kita telah menasihatkan kerajaan agar PPSMI ini tidak dilaksanakan kerana ianya akan melibatkan semua perkara sebagaimana yang dikatakan oleh Dato Sri Hishamuddin, tetapi adakah kerajaan mendengarnya?

Kenapa apabila diminta untuk memansuhkan PPSMI ini begitu sukar untuk kerajaan laksanakan dengan segera? Kenapa ketika beria-ria hendak melaksanakan dasar PPSMI ini segala pandangan rakyat bawahan terutamanya orang melayu langsung tidak di ambil kira terutamanya pemimpin Umno sendiri?

Sikap bermuka-muka pemimpin Umno didalam isu seperti ini amatlah dikesali oleh semua pihak terutamanya kepada pejuang bahasa melayu itu sendiri. Berbagai alasan yang dicari dan direka untuk mereka menafikan serta melambat-lambatkan agar PPSMI ini dapat dimansuhkan dengan segera!

'JERUNG' JUGA PERLU DISIASAT

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dato Seri Ahmad Said Hamdan

Dato'Sri Azalina Othman, Menteri Pelancongan

Salam pada semua,

Kelmarin di kejutkan dengan berita serbuan yang dilakukan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pejabat kementerian Pelancongan di PWTC terhadap lapan orang pegawai kanan kepada Menteri Pelancongan, Cik Azalina Othman yang dikatakan berhubung kait dengan kes rasuah dan salah guna kuasa didalam pengagihan projek di kementerian tersebut.

Namun begitu sehingga hari ini pihak SPRM melalui kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dato Seri Ahmad Said Hamdan menafikan khabar angin bahawa beberapa pegawai kanan di kementerian terbabit akan ditahan untuk membantu siasatan kes ini.

“Dah nama khabar angin, tidak betullah itu. Saya harap media serta orang awam tidak percaya mengenai perkara tersebut”.

Beliau juga menolak ketika di minta mengulas lanjut kerana dikhuatiri mengganggu siasatan yang sedang dilakukan sekarang. Serbuan terhadap kementerian ini hanyalah prosedur biasa didalam siasatan.

Bagi Menteri yang berkaitan, siasatan yang dilakukan terhadap pegawai-pegawainya ini sedikit pun tidak mengentarkan dirinya. Menurut Cik Azalina Othman lagi, beliau sedia untuk disiasat serta bersedia untuk member keterangan kepada SPRM sekiranya beliau dipanggil bagi membantu siasatan kes ini.

“saya yakin SPRM adalah sebuah badan professional. Tindakan mengambil keterangan dan dokumen dari kementerian adalah prosedur biasa untuk membantu siasatan sesuatu kes’

“Saya juga bersedia pada bila-bila masa untuk dipanggil memberi keterangan kepada SPRM”.


Sebenarnya siasatan demi siasatan yang dilakukan oleh SPRM sebelum itu lebih dikenali sebagai BPR adalah perkara yang baik dan positif terhadap sesuatu salah laku, lebih-lebih lagi apabila melibatkan pegawai-pegawai kanan apatah lagi terhadap menteri itu sendiri.

Namun begitu harapan kita janganlah tinggal harapan. Kita mahu agar ialah, apabila siasatan yang dijalankan telah selesai, jangan dibiarkan sesuatu kes ini dibiarkan berlarutan tanpa diambil tindakan yang sepatutnya. Jangan di simpan kes ini demi menutup kesalahan yang dilakukan tanpa diadili terlebih dahulu. Kes yang begitu penting dan bertaraf ‘high profile’ ini seharusnya di percepatkan sebagai membuktikan ketelusan badan yang bertindak seperti SPRM ini sendiri.

Kita tidak mahu nanti orang menuduh hanya 'orang kecil atau bilis' sahaja yang disiasat tetapi tidak pada 'orang besar atau jerung', SPRM perlu berani dan berterusan menyiasat kepada sesiapa yang difikirkan menyalahguna kuasa yang diamanahkan padanya.

PASTIKAN PAKEJ RANGSANGAN KE 2 TELUS!

Salam pada semua,

Pakej Rangsangan Kedua bernilai RM60 Bilion yang diumumkan oleh Dato Seri Najib Tun Razak semalam seharusnya perlu dipantau semaksima yang mungkin bagi mengelak ketirisan serta kebocoran yang mungkin akan berlaku lagi seperti terhadap beberapa pengumuman kerajaan yang bertujuan membantu masyarakat serta rakyat bawahan.

RM60 bilion yang disifatkan oleh sesetengah pemimpin begitu besar nilainya perlu diperjelaskan secara jelas kearah mana ianya akan disalurkan. Kita tidak mahu pakej yang dilancarkan ini akan terus menguntungkan pada sesetengan pihak yang berkepentingan dengan pemimpin atasan.

Pakej yang bernilai ini yang difikirkan baik untuk membantu rakyat disaat kita kelemasan dengan suasana eknomi dunia hari ini yang semakin buruk. Sebagaimana kata Dato Seri Najib ketika diminta mengulas terhadap pakej yang dilancarkan ini berkata;

“Pakej rangsangan ini merupakan usaha kerajaan mengelakkan negara daripada menghadapi kemungkinan jatuh ke lembah kemelesetan dan bukan sebagai silver bullet untuk memulihkan ekonomi dunia”

Sebagaimana yang diperkatakan itu ada benarnya sekiranya kerajaan benar-benar dapat melaksanakan sebagaimana yang diperkata itu. Tetapi pengalaman lalu yang sering berlaku ialah ketirisan dan kebocoran tetap terjadi terutamanya apabila bantuan serta pakej sebegini dilancarkan.

Seringkali kita dengar usaha-usaha bantuan yang kononnya digubalkan khas untuk rakyat dinegara ini hanyalah dapat dinikmati oleh segolongan mereka yang tertentu dan rapat dengan pemimpin sahaja. Kebocoran serta ketirisan yang kerap berlaku menyebabkan segala usaha-usaha kerajaan tidak dapat dinikmati oleh semua rakyat Negara ini.

Kita mahu segala perancangan yang diumumkan oleh Menteri Kewangan ini dapat dijalankan mengikut jadual dan yang paling penting ialah pakej seperti ini dapat memberi fokus pada matlamat yang diperjuangkan.

Kita tidak mahu fokus yang seharusnya diberi perjuangkan mengalami kegagalan lagi sebagaimana dahulu. Kerajaan seharusnya jujur didalam memperjuangkan isu rakyat demi kebajikan pada masyarakat terutamanya bawahan. Jangan kita terlalu mengutamakan kepada sesetengah golongan sahaja demi menutup kesilapan serta kerugian perniagaan yang mereka alami.

Permintaan oleh Dato Seri Najib sendiri agar pembangkang dapat bekerjasama dengan kerajaan untuk memulihkan krisis ekonomi negara kita seharusnya dipandang positif walaupun berbeza ideologi politiknya. Dengan kerjasama sebegini akan dapat menambahkan lagi segala idea dan pendapat yang dikongsikan bersama nanti.

Namun begitu pihak yang meminta kerjasama ini janganlah memperkecilkan segala idea yang dilontarkan kerana setiap pandangan yang diberikan sudah pasti ada pro dan kontra nya. Pengalaman lepas apabila pihak pembangkang diminta memberi kerjasama kepada kerajaan, banyak teguran serta pandangan yang diberikan hanya dipandang sepi sahaja tanpa memikirkan langsung idea yang diberikan itu.

Sikap kerajaan yang kadang-kadang takut untuk menerima pandangan yang diberikan walaupun negatif terhadapnya sepatutnya tidak boleh dibiarkan berterusan. Sebagai rakyat Malaysia yang sayangkan negara kita ini, kita seharusnya terbuka didalam setiap pandangan apatah lagi demi kebajikan masyarakat itu sendiri. Sesungguhnya Malaysia tanah air ku yang tercinta!

Tuesday, March 10, 2009

TRULY COALITION OF PAKATAN RAKYAT

Salam For All,

The formation of Pakatan Rakyat (PR) showed that the party's ideology had gained recognition and was accepted by members of the coalition.

"The younger DAP Leaders especially are more receptive to PAS' Islamic Ideology and the creation of an Islamic state", told PAS Spritual Leader (Mursyidul Am), Tuan Guru Dato' Nik Abd Aziz Nik Mat.

"These young leaders were objective in their analysis and study of Islamic issues and Hudud Laws" as commenting on the cooperation between PAS and DAP in the Pakatan Rakyat coalition.

Tuan Guru Dato' Nik Abd Aziz also said, they were no longer seen as obstinate in rejecting PAS' ideology especially for young generation in DAP.

A single voice is not sufficient to represent the others. All the party leaders (DAP) understand that Hudud Laws are applied to Muslims only.

KENYATAAN MENTERI PELAJARAN ANGKUH!

Salam pada semua,

Kenyataan angkuh daripada Menteri Pelajaran, Dato Sri Hishamuddin Tun Hussein sememangnya amatlah dikesali apabila menyifatkan mereka yang mengadakan perhimpunan membantah PPSMI pada 06 Mac 2009 lalu sebagai menyifatkan mereka orang yang sanggup melanggar undang-undang dan mencemarkan institusi istana serta kemulian masjid.

“Saya lihat ada hikmah di sebalik apa yang berlaku semalam. Sekurang-kurangnya orang ramai dapat melihat sendiri apa yang saya sudah tahu lama, iaitu dibelakang gerakan ini ada dalang-dalang yang sanggup mengeksplotasikan apa juga isu, memperalatkan sesiapa sahaja demi agenda politik sempit mereka”.

Bagi beliau penglibatan pembangkang didalam bantahan ini merupakan punca utama kenapa demonstrasi jalanan berlaku walaupun pada peringkat awalnya sebagaimana dipersetujui oleh Polis dan penganjur hanyalah berhimpun di Masjid Negara.

Dato Sri Hishamuddin juga menolak penglibatan daripada ahli-ahli Umno didalam hal ini yang kononnya dikatakan demonstrasi ini turut didalangi oleh ahli Umno yang mahu melihat beliau jatuh didalam pemilihan Umno akhir Mac ini.

“Tidak! Kita didalam Umno semua dididik untuk meletakkan kepentingan ramai lebih penting dan semalam saya tengok di tv, tidak ada muka-muka yang saya cam macam orang Umno, tetapi yang jelas muka pembangkang yang ramai”.

Hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah, sememangnya ahli-ahli Umno serta pemimpinnya tidak akan sesekali berani untuk turun padang bersama-sama memperjuangkan isu yang berkaitan dengan rakyat sebab isu ini melibatkan ‘projek-projek wang’ mereka semua kepada pemimpin-pemimpin Umno! Mana mungkin untuk mereka mahu memberhentikan PPSMI ini.

Beliau juga dengan jelas sekali lagi mengatakan, segala keputusan berkenaan PPSMI ini terletak ditangan kabinet yang bakal menentukan dan bukannya berada di Kementerian pelajaran samada untuk meneruskan ataupun tidak. Apa lagi yang boleh diharapkan kepada pemimpin Umno seperti ini demi orang melayu terutamanya?

PPSMI: PADA JIWA PEMIMPIN & PEMIKIR UMNO

Datuk Reezal Merican


Datuk Dr Ramlah Adam

Tan Sri Rafidah Aziz

Salam pada semua,

07 Mac 2009, telah mencatat dimensi baru kepada pejuang-pejuang Bahasa Melayu apabila gagasan Gerakan Memansuhkan PPSM (GMP) yang diketuai oleh Pengerusinya, Dato Dr Hassan Ahmad dan Sasterawan Negara Dato A Samad Said telah mengadakan perhimpunan hampir 100 ribu rakyat di Masjid Negara bagi melahirkan bantahan secara aman terhadap PPSMI ini.

Himpunan yang dikirakan aman ini apabila diawalnya berhimpun di Masjid Negara dan diteruskan dengan perarakan secara amana ke Istana Negara telah menjadi kecoh akibat halangan yang dibuat oleh petugas keselamatan FRU dan Polis sendiri. Di program ini yang berakhir dengan penyerahan memorandum terhadap bantahan penggunaan PPSMI oleh tujuh orang wakil GMP ini telah diterima dengan baiknya oleh wakil Istana Negara pada hari tersebut.

Namun begitu usaha yang dilakukan samada berkumpul dan melakukan perarakan ini telah dijadikan modal atau isu oleh sesetengah pemimpin NGO yang ditunjangi oleh pemimpin-pemimpin Umno tertentu untuk menafikan peranan GMP ini serta turut diselar oleh mereka yang berkepentingan ini.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Reezal Naina Merican secara lantangnya menyelar usaha ini sebagai menyimpang jauh didalam usaha menyuarakan isu pendidikan ini.

"Tindakan pihak yang menggunakan isu PPSMI untuk mengadakan demonstrasi jalanan dan ini menyimpang jauh daripada usaha menyuarakan isu pendidikan. Membawa dan mengetengahkan isu teras serta asas untuk perlaksanaan kerajaan itu tidak memerlukan demonstrasi jalanan tetapi perlu melalui kaedah rundingan"

Bagi Pakar Sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam, perhimpunan membantah PPSMI ini telah menjadi kecoh kerana ianya dipercayai didalangi oleh pihak-pihak tertentu yang berkepentingan politik.

“Bagi saya ianya tidak seharusnya berlaku kerana cara demonstrasi jalanan bukan budaya kita. Hanya mereka yang kurang sabar sahaja akan memilih cara ini. Nampak sangat ada pihak tertentu atau dalang yang mahu menangguk di air keruh.”

Manakala Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar pula menyifatkan tindakan segelintir Ahli Parlimen yang turut menyertai perarakan haram membantah PPSMI ini sebagai orang yang cuba menonjol demi agenda politik peribadi.

"Mereka ini semua mengharapkan sokongan politik tambahan dengan dilihat sebagai memperjuangkan bahasa Melayu"

Tan Sri Rafidah Aziz pula menyifatkan perarakan haram menyerahkan memorandum GMP sebagai mereka yang tidak beradab. Bagi beliau tindakan ini hanya memalukan Malaysia di mata dunia yang sememangnya dikenali sebagai masyarakat yang berbudaya tinggi dan berwawasan pada setiap langkah yang dibuat.

“Kalau beginilah caranya kita tidak akan dapat mencapai taraf Negara maju 2020, kalau capai pun, ianya hanya dari segi fizikal tetapi cara pemikiran masih pada tahap Negara membangun”

Betul ke sebagaimana yang didakwakan oleh mereka ini yang mengatakan hanya kaedah rundingan sahaj yang boleh menyelesaikan hal ini? Bukankah usaha rundingan sejak awal yang diminta oleh pendokong dan pejuang bahasa sejak enam tahun dulu tidak dilayan oleh kerajaan bagi membincangkan hal ini?

Benarkah mereka yang berhimpun GMP ini untuk mencari kepentingan politik peribadi sahaja? Bagaimana pula kepada ahli Umno sendiri yang selama ini riuh rendah mempermainkan isu perkauman dan isu Raja-Raja melayu sedangkan hakikatnya merekalah yang paling kuat menentang ketika meminda kekebalan raja-raja melayu sekitar 80an dan 90an dahulu?

Isu inikah sahaja yang boleh dijadikan kayu ukur atau penanda aras untuk kemajuan Negara sebagaimana yang diperkatakan oleh Tan Sri Rafidah Aziz tadi? Apakah nilai kemajuan sesuatu bangsa tersebut dinilai oleh perarakan atau perhimpunan yang dikatakan haram tersebut? Bagaimana pula di Korea, Jepun dan Negara-negara Eropah yang boleh dikatakan seringkali ada demonstrasi dan perarakan tetapi tetap maju dan semakin bertambah maju?

Kesabaran ada batasnya. Sampai bila lagi kita harus menunggu untuk di beri kesempatan bagi membincangkan masalah ini? Sidang meja bulat berkaitan PPSMI pada akhir tahun lepas juga sehingga kini tidak mendapat kata putus daripada kerajaan. Apakah begitu sukar untuk melaksanakan pembatalan PPSMI ini? Adakah sebelum melaksanakan PPSMI ini enam tahun dulu perkara ini telah dibincangkan secara akademik dan secara matang? Hakikat yang pasti, kerajaan tidak pernah mengambil kira pandangan ahli-ahli yang pakar dalam hal pelajaran ini apatah lagi menghormati kemahuan rakyat khususnya.

NASIHATKAN DIRI SENDIRI DULU

Salam pada semua,

‘KEMBALIKAN IMUNITI RAJA-RAJA MELAYU – ANNUAR MUSA’

Rasa hendak gelak pun ada, rasa hendak ketawa pun ada apabila menatap artikel bertajuk diatas didalam akhbar Berita Minggu semalam 08 Mac 2009.

Saya rasa semua pembaca sudah tentu sedia maklum kenapa saya bersikap sedemikian? Tidak lain dan tidak bukan ialah kerana kata-kata diatas terpacul daripada mulut Tan Sri Annuar Musa, Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Kelantan. Didalam kenyataannya semalam beliau melahirkan rasa kesal berikutan semakin ramai pihak mempersoalkan kedudukan Raja-Raja Melayu. Oleh itu beliau mendesak agar kekebalan Raja-Raja ini dikembalikan.

“Imuniti institusi beraja itu harus dikembalikan supaya dapat mengelakkan pencabulan berterusan oleh pihak tertentu terhadap istana dan Perlembagaan Negara untuk kepentingan politik dan peribadi dapat di elakkan”

“Dalam resolusi yang dikemukakan menerusi sesi perbincangan tertutup dan sesi pembentangan kertas kerja Umno bulan lalu, Umno Kelantan antara lain mengambil inisiatif mendesak supaya imuniti Raja-Raja dikembalikan terutama dalam hal berkaitan kapasiti Raja untuk membuat ketetapan seperti yang terkandung dalam Perlembagaan”


Inilah kenyataan yang dikeluarkan oleh Tan Sri Annuar Musa. Siapa beliau untuk berbicara lagi tentang hal ini? Apakah rakyat di negara ini amnya dan rakyat di negeri Kelantan khususnya boleh melupakan peristiwa ‘penderhakaan’ Tan Sri Annuar Musa terhadap Baginda Sultan Kelantan apabila tergamak menabalkan seorang Sultan yang baru di Kelantan pada tahun 1993 dahulu?

Peristiwa yang dilakukan oleh beliau selaku Pengerusi Umno Kelantan ketika itu benar-benar menyentap jiwa orang Melayu yang menjunjung kasih kepada Tuanku Sultan Kelantan. Pada majlis tersebut, Tan Sri Annuar Musa dengan angkuhnya menabalkan Tengku Ibrahim Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru akibat rasa marah beliau terhadap institusi Raja Kelantan kerana dikatakan punca kekalahan Umno Kelantan pada pilihanraya 1990 adalah kerana penglibatan Istana didalam politik Kelantan yang ketika amat panas.

Dalam kenyataan itu juga beliau ada mengatakan tujuan imuniti ini perlu dikembalikan semual ialah kerana untuk mengelakkan ‘pihak-pihak tertentu berbuat demikian untuk kepentingan politik dan peribadi’. Didalam hal ini siapakan yang dimaksudkan oleh beliau pihak-pihak tertentu tersebut? Kepentingan politik dan peribadi siapa?

Bagi saya maksud pihak-pihak tertentu dan demi kepentingan politik serta peribadi selalunya berkait rapat perkara yang dilakukan oleh pemimpin-peminpin Umno yang selalu menyalahgunakan kedudukan dan kuasa demi politik mereka yang kadang-kala mengatasi undang-undang sebagaimana yang telah dibuktikan oleh Tan Sri Annuar Musa sendiri. Ibarat kata-kata Raja Lawak, Nabil….LU FIKIRLAH SENDIRI terhadap kenyataan Tan Sri Annuar Musa ini.

Thursday, March 5, 2009

SIAPA LAGI HINA & TIDAK BERTAMADUN?

Salam pada semua,

SIDANG TERGEMPAR DUN PERAK DIADAKAN BAWAH POKOK!

"Perbuatan yang menghina" , "Perbuatan yang tidak bertamadun" Itulah antara ungkapan yang dilahirkan oleh para pemimpin Umno ketika mengulas isu bersidang dibawah pokok. Dua ungkapan yang diulang-ulang ini sungguh popular dan amat 'lancar' keluar dari mulut pemimpin-pemimpin Umno dalam sehari dua ini.

Apa yang hinanya? Sekadar ahli-ahli dewan daripada Pakatan Rakyat (PR) berhimpun dan menunaikan hak mereka sebagai Adun untuk melaksanakan tugas demi rakyat. Mereka dipilih oleh rakyat. Kerajaan PR Perak terbentuk hasil permuafakatan antara 3 parti didalam Pakatan Rakyat.

Apakah yang dikatakan tidak bertamadun? Cik Azalina Othman yang juga ahli MT Umno berkata sedemikian sebagai mengulas persidangan bawah pokok ini. Dikatakan tidak bertamadun dek kerana siapa? Siapa yang menghalangnya daripada adun-adun PR ini bersidang di Bangunan Dun Perak? Siapa yang mengerahkan pasukan keselamatan dari bertindak menghalang adun-adun PR masuk ke dewan tersebut?

Apa yang hinanya? Sidang diadakan tanpa kebenaran Kerajaan BN Perak kini? Siapa yang lagi hina kalau tidak mereka yang menceroboh kerajaan yang sedia ada dan mengambil hak orang lain dengan cara yang tidak terhormat? Siapa yang lagi hina...kerajaan negeri yang dibentuk melalui sokongan rakyat ketika PRU 12 2008 ataupun kerajaan yang dibentuk melalui 'pintu belakang'?

Apakah yang dikatakan tidak bertamadun itu? Adakah mengadakan dibawah pokok maka tidak moden? mengikut hukum rimba? Menurut pakar Perlembagaan, Profesor Dr Abdul Aziz Bari yang mengulas tentang 'Tragedi Hitam Demokrasi' di Perak itu;

"Apa yang berlaku sah dan tidak menyalahi undang-undang kerana perlembagaan dan arahan tetap dewan menyerahkan kepada speaker untuk menetapkan tempat bersidang"

Kalau perbuatan mengadakan sidang tergempar Dun ini dikirakan sebagai perbuatan yang menghina serta tidak bertamadun, saya kira perbuatan yang dilakukan oleh Tan Sri Annuar Musa, Ketua Perhubungan Umno Kelantan yang juga Mantan Menteri Kemajuan & Luar Bandar lagi bersifat menghina, bukan setakat menghina rakyat, malahan turut menghina Tuanku Sultan Kelantan apabila beliau menabal Tengku Ibrahim Petra sebagai Sultan yang baru di Kelantan pada tahun 1993.

Apakah ini dikatakan orang sebagai perbuatan yang bertamadun dan tidak menghina kepada sesiapa? Apakah perbuatan ini boleh dikatakan sebagai mengikut hukum yang sah disisi perlembagaan serta adat istiadat melayu? Siapa yang hina? Siapa yang tidak bertamadun? Siapa yang mengikut hukum rimba....

Wednesday, March 4, 2009

3 PILIHANRAYA KECIL SERENTAK : STRATEGI ELAKKAN TUMPUAN PAKATAN RAKYAT ?

Salam pada semua,

Pengumuman yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini yang menetapkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi di pilihanraya kecil di Dun Batang Ai, Sarawak pada 29 Mac ini dan 7 April sebagai hari keluar mengundi serentak dengan dua pilihanraya kecil yang lain di Dun Bukit Selambau, Kedah dan Parlimen Bukit Gantang seolah wujud perancangan rapi antara Umno / BN dengan SPR bagi memecahkan tumpuan orang ramai serta pemimpin Pakatan Rakyat (PR) ke tiga-tiga tempat itu secara serentak.

Pengumuman yang dibuat oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Yusof di Kuching, Sarawak hari ini begitu memusykilkan rakyat kerana begitu cepat tarikh untuk pilihanraya kecil yang terbaru ini diputuskan sedangkan di Bukit Gantang serta Bukit Selambau perlu mengambil masa yang lama untuk diadakan pilihanraya kecil tersebut.

Telah diketahui umum kini, Umno dan BN terutamanya cukup takut untuk menghadapi pilihanraya samada pilihanraya umum atau kecil disebabkan kekalahan yang besar di PRU 12 2008 lalu serta di dua pilihanraya kecil parlimen (Permatang Pauh dan Kuala Terengganu).Ini telah dibuktikan di Perak apabila Umno / BN berusaha semaksima mungkin agar DUN Perak tidak dibubarkan.

Rekod yang lepas setiap kali pilihanraya kecil terutamanya diadakan, BN selalu berbangga dengan kekuatan yang ada pada mereka walaupun kita semua tahu ketika di pilihanraya kecil tersebut, Umno / BN jelas menyalahgunakan segala kemudahan yang ada seperti agensi kerajaan, projek kilat serta limpahan wang yang banyak.

Namun pilihanraya kecil yang terakhir di Kuala Terengganu telah membuktikan rakyat kini bukan lagi seperti dahulu untuk digula-gulakan. Rakyat boleh menerima apa sahaja yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin BN ketika kempen pilihanraya kecil tersebut tetapi mengundi belum tentu pada mereka sebagaimana di Kuala Terengganu lalu.

Kekuatan yang ada pada PR hanyalah kerja secara berkumpulan dan gigih tanpa mengharapkan imbuhan mewah seperti petugas BN, PR juga memiliki semangat juang yang tinggi serta paling utama ialah kesepakatan pemimpin-pemimpin utama Pakatan Rakyat itu sendiri untuk turun berkempen secara 'all out' disepanjang waktu kempen yang dibenarkan.

Disamping itu kekuatan yang paling utama ialah PR miliki ialah sokongan yang kuat rakyat untuk membantu secara percuma dan bersemangat untuk hadir ke setiap pilihanraya kecil diadakan tanpa ganjaran yang disediakan sebagaimana Umno dan BN.

Justeru itulah, melihat dari sudut kekuatan sokongan terutamanya sebaik sahaja bermula hari penamaan calon Umno / BN sudah pun 'tewas' apatah lagi sehingga hari mengundi rakyat dari seluruh negara tetap berpusu-pusu hadir bagi memeriahkan kempen pilihanraya kecil tersebut.

Umno terutamanya cukup gerun dan terasa amat 'kecil' didalam menghadapi saingan yang diberikan oleh PR ini mungkin memikirkan hanya dengan mengadakan pilihanraya kecil secara serentak dengan lokasi yang terbaru ini agak jauh dari Bukit Gantang dan Bukit Selambau dapat 'menyelamatkan' mereka daripada terus tenggelam!

Mungkin bila diadakan pilihanraya secara serentak, tumpuan orang ramai terutamanya penyokong PR akan berpecah kepada tiga lokasi yang berbeza apatah lagi kemampuan penyokong-penyokong PR ini dari segi kewangan dan logistik tidaklah 'semewah' Umno dan BN!

Tuesday, March 3, 2009

WE ARE NOT MERE PASSENGERS IN THIS COUNTRY !


Salam pada semua,

Kelmarin ketika MCA meraikan ulangtahun ke 60 tahun parti itu, Presidennya Dato Seri Ong Tee Keat mengulas berbagai perkara ketika beliau menyampaikan ucapan pembukaan di majlis tersebut. Saya cukup tertarik dengan ucapan yang disampaikan itu antaranya sebagaimana yang saya petik di akhbar STAR semalam antara kandungannya ialah;

"Looking back further, our founding fathers made several right choices for the community. We still feel the impact of those decisions today. Sir Tun Tan Cheng lock championed the paradigm shift in the psyche of the Chinese from allegiance to China to the allegiance to Malaya. let this ring out loud clearly today. We Malaysian Chinese are not mere passengers in this country.
We are here to build a nation in our home, Malaysia. The time has come for Malaysians of all races and religion to understand and respect one another"


Pada saya kenyataan yang dibuat beliau ini seharusnya ditujukan khusus pada Umno terutamanya kepada Pemuda Umno kerana mereka lah yang selalu membangkitkan soal perkauman serta selalu melagukan ketuanan melayu yang sememangnya merupakan senjata terakhir mereka untuk menarik umdi terutamanya orang melayu.

Pakatan Rakyat khususnya PKR telah lama mendahului sebagaimana kenyataan yang dibuat oleh Presiden MCA tersebut. Pakatan Rakyat telah cuba sebaik mungkin untuk melenyapkan perkara yang berkaitan seperti isu perkauman demi kestabilan politik didalam negara yang berbilang kaum ini. Sebab itu konsep parti berbilang kaum sebagaimana PKR adalah yang terbaik setakat ini dilaksanakan dengan konsep parti ini yang berteraskan melayu sebagai tunggak kepimpinan utamanya.

Pengalaman lalu sebagaimana yang pernah dibangkitkan oleh seorang ketua Umno Bahagian di Pulau Pinang tahun lepas yang secara terang mengungkit tentang masyarakat cina yang dikatakan sebagai penumpang seharusnya tidak harus berlaku apatah lagi negara kita kini telah merdeka selama 52 tahun.

SIDANG DUN BAWAH POKOK : UMNO PUNCANYA




Salam pada semua,

Halangan yang dibuat oleh kerajaan BN Perak terhadap keputusan Speaker Dun Perak daripada membenarkan persidangan diadakan pada hari ini cukup menyedihkan kita sebagai sebuah negara demokrasi seperti Malaysia.

Usaha yang bersungguh yang dilakukan oleh BN untuk menghalang itu terbukti apabila kesemua pintu ke Dewan persidangan DUN Perak dikunci. Ini ditambah lagi dengan usaha pihak tertentu yang mengerahkan FRU untuk berkawal disepanjang laluan ke sana dan juga didepan bangunan yang menempatkan dewan persidangan tersebut.

Akibat daripada halangan tersebut, PR yang diketuai oleh MB Perak Dato Seri Ir Nizar Jamaluddin selaku MB yang sah menurut perlembagaan serta barisan exconya dan kesemua adun PR terpaksa mengadakan sidang tergempar tersebut dibawah pokok serta meluluskan usul undi percaya serta menyokong terhadap MB Pakatan Rakyat itu.

Namun begitu usaha yang dilakukan ini bukan sahaja di pandang sinis oleh pemimpin-pemimpin BN khususnya Umno malahan ianya turut diherdik, antaranya sebagaimana yang dikatakan oleh Cik Azalina Othman yang juga Menteri Pelancongan;

"Tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak V. Sivakumar dan 27 anggota dewan yang terdiri daripada DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas menghadiri persidangan dewan di bawah pokok adalah satu tindakan yang tidak bertamadun.Ia juga merupakan satu penghinaan kepada Sultan Perak (Sultan Azlan Shah). Apa yang pembangkang buat ialah melaksanakan undang-undang rimba"

Siapa yang melaksanakan undang-undang rimba disini? Bukan kah merampas serta menceroboh secara haram kerajaan PR yang sedia ada sebelum ini adalah undang-undang rimba yang dipraktikkan oleh Umno dan pemimpin-pemimpinnya? Umno dan BN tidak pernah mengakui segala tindak tanduknya sebelum ini adalah punca segala kekusutan yang berlaku kini di Perak sehinggakan sidang Dun Perak terpaksa diadakan di bawah sebatang pokok!

KENAPA BN PERAK KINI TAKUT ?

Dato Dr Zamry Abd Kadir, MB BN Perak

Salam pada semua,

Percubaan BN Perak untuk menghalang daripada sidang tergempar DUN Perak kini menimbulkan persoalan kepada rakyat. Halangan tersebut bukan sahaja dimainkan peranan oleh para adun-adun BN di Perak malahan turut disokong oleh pemimpin-pemimpin utama BN khususnya Umno.

Kenyataan awal yang dikeluarkan oleh Dato Sri Najib Tun Razak yang cuba mengaitkan kes mahkamah sebagai satu isu bagi menghalang daripada berlakunya sidang dun tersebut turut dipersoalkan kerana kenapa baru kini hendak menimbulkan dari segi undang-undang?

Bagi MB BN Perak Dato Dr Zambry Kadir, sidang dun yang bakal berlangsung esok 3 mac 2009 akan mengundang konflik perlembagaan kerana ianya tidak sah sekiranya tidak mendapat perkenan sultan. Katanya lagi jika ianya berlangsung pun tetap tidak dianggap tidak sah. Tegasnya lagi;

"Dia tidak boleh sewenang-wenangnya memanggil ADUN untuk menghadiri sidang tergempar kerana ianya memerlukan perkenan Sultan Perak terlebih dahulu. ini jelas melanggar perlembagaan dibawah peraturan Tetap DUN Perak apabila dia membuat keputusan mengadakan sidang tergempar pada 3 mac ini tanpa perkenan sultan"

Menjadi persoalan kepada kita semua kenapa baru kini masing-masing cuba bercakap soal perlembagaan negeri Perak? kenapa tidak sebelum menceroboh kerajaan PR yang sedia ada memerintah negeri Perak sebelum ini?

Krisis yang kian berpanjangan kini jelas menunjukkan kepada rakyat betapa matlamat menghalalkan cara sebagaimana yang dipraktikkan oleh pemimpin-pemimpin Umno khususnya bagi mendapatkan kuasa walaupun bukan haknya. Dengan mengaitkan pelbagai pihak didalam hal ini jelas BN takut untuk menghadapi kemungkinan kuasanya akan hilang kembali sekiranya Dun Perak dapat bersidang.

Sebagaimana yang diperjelaskan oleh Speaker Dun Perak yang menghalang 3 adun bebas serta 7 adun yang lain termasuk MB sendiri dari menghadiri sidang ini sudah membuktikan peraturan serta perlembagaan yang ada telah dipraktikkan oleh Speaker itu sendiri.

Kini kenapa mereka semua takut sekarang? Apa yang penting berilah peluang kepada Speaker untuk menjalankan tugasnya dan bukan membuat keputusan sendiri dengan logik akal seperti sebelum ini.