Dato Seri Najib Tun Razak, Bakal Presiden UMNO
Tan Sri Muhyiddin Yassin, Calon Timbalan Presiden UMNO
Salam pada semua,
Pemilihan di peringkat tertinggi dalam Umno kian hampir. Perhimpunan yang dijangka berlangsung pada 24-28 Mac ini merupakan perhimpunan yang terakhir yang dihadiri oleh Perdana Menteri, Dato Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi atau Pak Lah sebagai Presiden Umno sebelum diambil alih oleh Dato Seri Najib Tun Razak.
Perhimpunan yang kian hampir ini semakin panas dengan berbagai isu dalaman parti yang kian berserabut kerana isu politik wang. Didalam parti Umno isu main duit oleh sebahagian besar pemimpin atau rasuah wang lebih dikenali sebagai politik wangi.Bagi mereka ianya tidak memerlukan perhatian daripada pihak penguatkuasaan seperti SPRM kerana ianya ditakrifkan sebagai isu dalaman sahaja.
Isu politik wang telah menjadi barah yang amat bahaya didalam parti Umno ini sejak hampir 20 tahun lalu kerana tiadanya ketegasan oleh pemimpinnya. Isu yang berangkai ini bukan sahaja melibatkan pemimpin cawangan dan bahagian malahan turut melibatkan pimpinan diperingkat tertingginya.
Pembatalan kemenangan Tan Sri Isa Samad ketika pemilihan Umno 2004 dulu daripada jawatan Naib Presiden Umno adalah bukti bahawa bukan hanya sekadar pemimpin bawahan yang terlibat malahan juga diatas.
Isu didalam Umno ini turut melibatkan semua peringkat samada pada pemilihan MT itu sendiri serta juga kepada sayap-sayap Pemuda, Wanita dan yang paling malangnya turut tempias kepada sayap bongsunya yang baru mengenali alam politik iaitu Puteri Umno.
Sebagaimana yang diungkapkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddin sendiri suatu masa dahulu bahawa sayap-sayap didalam Umno ini seharusnya dibubarkan kerana politik wang turut menular dan dijadikan asas untuk memilih pemimpin.
Bayangkan lah, diusia muda yang baru mencecah hampir 7 tahun sejak penajaan puteri Umno diperingkat nasional, puteri Umno telah dicemari dengan berbagai isu yang berkaitan dengan politik wang. Kemanakah haluan dan hala tuju yang akan dibawa oleh puteri Umno ini sekiranya perkara ini telah dijadikan sebagai panduan?
Perhimpunan yang bakal berlangsung minggu depan ini juga bakal memperlihatkan barisan pimpinan negara kita. Ini kerana semua jawatan utama parti turut dipertandingkan bermula dengan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib-naib Presiden serta semua jawatan lain.
Telah menjadi tradisi yang diasaskan sejak merdeka lagi, Presiden dan Timbalan Presiden Umno secara automatik akan mengisi jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Apakah bakal pemimpin negara ini akan benar-benar dilihat sebagai berkualiti sekiranya isu politik wang yang melanda didalam Umno ini diambil kira? Sama-sama lah kita menilainya...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment