Tuesday, March 10, 2009

PPSMI: PADA JIWA PEMIMPIN & PEMIKIR UMNO

Datuk Reezal Merican


Datuk Dr Ramlah Adam

Tan Sri Rafidah Aziz

Salam pada semua,

07 Mac 2009, telah mencatat dimensi baru kepada pejuang-pejuang Bahasa Melayu apabila gagasan Gerakan Memansuhkan PPSM (GMP) yang diketuai oleh Pengerusinya, Dato Dr Hassan Ahmad dan Sasterawan Negara Dato A Samad Said telah mengadakan perhimpunan hampir 100 ribu rakyat di Masjid Negara bagi melahirkan bantahan secara aman terhadap PPSMI ini.

Himpunan yang dikirakan aman ini apabila diawalnya berhimpun di Masjid Negara dan diteruskan dengan perarakan secara amana ke Istana Negara telah menjadi kecoh akibat halangan yang dibuat oleh petugas keselamatan FRU dan Polis sendiri. Di program ini yang berakhir dengan penyerahan memorandum terhadap bantahan penggunaan PPSMI oleh tujuh orang wakil GMP ini telah diterima dengan baiknya oleh wakil Istana Negara pada hari tersebut.

Namun begitu usaha yang dilakukan samada berkumpul dan melakukan perarakan ini telah dijadikan modal atau isu oleh sesetengah pemimpin NGO yang ditunjangi oleh pemimpin-pemimpin Umno tertentu untuk menafikan peranan GMP ini serta turut diselar oleh mereka yang berkepentingan ini.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Reezal Naina Merican secara lantangnya menyelar usaha ini sebagai menyimpang jauh didalam usaha menyuarakan isu pendidikan ini.

"Tindakan pihak yang menggunakan isu PPSMI untuk mengadakan demonstrasi jalanan dan ini menyimpang jauh daripada usaha menyuarakan isu pendidikan. Membawa dan mengetengahkan isu teras serta asas untuk perlaksanaan kerajaan itu tidak memerlukan demonstrasi jalanan tetapi perlu melalui kaedah rundingan"

Bagi Pakar Sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam, perhimpunan membantah PPSMI ini telah menjadi kecoh kerana ianya dipercayai didalangi oleh pihak-pihak tertentu yang berkepentingan politik.

“Bagi saya ianya tidak seharusnya berlaku kerana cara demonstrasi jalanan bukan budaya kita. Hanya mereka yang kurang sabar sahaja akan memilih cara ini. Nampak sangat ada pihak tertentu atau dalang yang mahu menangguk di air keruh.”

Manakala Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar pula menyifatkan tindakan segelintir Ahli Parlimen yang turut menyertai perarakan haram membantah PPSMI ini sebagai orang yang cuba menonjol demi agenda politik peribadi.

"Mereka ini semua mengharapkan sokongan politik tambahan dengan dilihat sebagai memperjuangkan bahasa Melayu"

Tan Sri Rafidah Aziz pula menyifatkan perarakan haram menyerahkan memorandum GMP sebagai mereka yang tidak beradab. Bagi beliau tindakan ini hanya memalukan Malaysia di mata dunia yang sememangnya dikenali sebagai masyarakat yang berbudaya tinggi dan berwawasan pada setiap langkah yang dibuat.

“Kalau beginilah caranya kita tidak akan dapat mencapai taraf Negara maju 2020, kalau capai pun, ianya hanya dari segi fizikal tetapi cara pemikiran masih pada tahap Negara membangun”

Betul ke sebagaimana yang didakwakan oleh mereka ini yang mengatakan hanya kaedah rundingan sahaj yang boleh menyelesaikan hal ini? Bukankah usaha rundingan sejak awal yang diminta oleh pendokong dan pejuang bahasa sejak enam tahun dulu tidak dilayan oleh kerajaan bagi membincangkan hal ini?

Benarkah mereka yang berhimpun GMP ini untuk mencari kepentingan politik peribadi sahaja? Bagaimana pula kepada ahli Umno sendiri yang selama ini riuh rendah mempermainkan isu perkauman dan isu Raja-Raja melayu sedangkan hakikatnya merekalah yang paling kuat menentang ketika meminda kekebalan raja-raja melayu sekitar 80an dan 90an dahulu?

Isu inikah sahaja yang boleh dijadikan kayu ukur atau penanda aras untuk kemajuan Negara sebagaimana yang diperkatakan oleh Tan Sri Rafidah Aziz tadi? Apakah nilai kemajuan sesuatu bangsa tersebut dinilai oleh perarakan atau perhimpunan yang dikatakan haram tersebut? Bagaimana pula di Korea, Jepun dan Negara-negara Eropah yang boleh dikatakan seringkali ada demonstrasi dan perarakan tetapi tetap maju dan semakin bertambah maju?

Kesabaran ada batasnya. Sampai bila lagi kita harus menunggu untuk di beri kesempatan bagi membincangkan masalah ini? Sidang meja bulat berkaitan PPSMI pada akhir tahun lepas juga sehingga kini tidak mendapat kata putus daripada kerajaan. Apakah begitu sukar untuk melaksanakan pembatalan PPSMI ini? Adakah sebelum melaksanakan PPSMI ini enam tahun dulu perkara ini telah dibincangkan secara akademik dan secara matang? Hakikat yang pasti, kerajaan tidak pernah mengambil kira pandangan ahli-ahli yang pakar dalam hal pelajaran ini apatah lagi menghormati kemahuan rakyat khususnya.

No comments: