Salam pada semua,
Menurut akhbar hari ini, kajian terhadap Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan dikemukakan kepada kabinet dalam tempoh sebulan daripada sekarang.
Perkara ini yang dinyatakan oleh Menteri Pelajaran Dato Sri Hishamuddin Tun Hussein turut memberitahu;
“Kita masih membuat kajian yang terperinci termasuk menerima maklum balas dari berbagai pihak termasuk kementerian lain sebelum membentangkannya kepada jemaah menteri”
Kenyataan yang keluarkan ini amatlah mengejutkan kita kerana kajian yang dibuat oleh pihak kementerian pelajaran begitu lama dan mengambil masa yang panjang untuk dibentang ke kabinet sedangkan perlaksanaan PPSMI telah masuk tahun ke enam perlaksanaannya.
Kajian PPSMI ini seharusnya telah lama selesai apatah lagi ianya berkait rapat dengan bantahan rakyat terhadap dasar ini. Kebangkitan rakyat menjadi lebih kemuncak pada minggu lepas apabila hampir 50 ribu orang berarak ke Istana Negara bagi menghantar memorandum ke YDP Agung.
Apakah kelewatan untuk membentangkan kajian PPSMI ini berkait rapat dengan tiga pilihanraya kecil pada April depan atau pemilihan dalam Perhimpunan Agung Umno hujung bulan ini yang turut melibat Menteri pelajaran sendiri yang turut bertanding untuk jawatan Naib Presiden Umno.
Didalam politik Umno terutamanya, perkara seperti ini kadang-kadang dijadikan modal politik untuk kempen mereka meraih undi samada untuk kempen pilihanraya atau juga kempen didalam parti sendiri. Jadi adalah bukan perkara pelik sekiranya ‘perubahan’ yang mendadak akan dibuat pada ketika itu (ketika pilihanraya kecil atau perhimpunan agung Umno).
Disamping itu, kenyataan Dato Sri Hishamuddin sendiri yang mengatakan permansuhan dasar PPSMI ini tidak boleh sewenang-wenangnya dilakukan oleh beliau kerana ianya melibatkan banyak pihak yang turut terlibat dengan perlaksanaan ini apatah lagi berkaitrapat dengan pelajar, guru dan peruntukan yang telah dilaburkan.
“Para pejuang bahasa mungkin tidak perasan dengan isu-isu yang membabitkan pelajar, guru dan peruntukan yang telah kerajaan laburkan sejak 2003 lagi”
Siapa kata kita termasuk para pejuang bahasa ini yang tidak pernah mengambil tahu tentang ini semua? Sejak enam tahun dulu lagi, kita telah menasihatkan kerajaan agar PPSMI ini tidak dilaksanakan kerana ianya akan melibatkan semua perkara sebagaimana yang dikatakan oleh Dato Sri Hishamuddin, tetapi adakah kerajaan mendengarnya?
Kenapa apabila diminta untuk memansuhkan PPSMI ini begitu sukar untuk kerajaan laksanakan dengan segera? Kenapa ketika beria-ria hendak melaksanakan dasar PPSMI ini segala pandangan rakyat bawahan terutamanya orang melayu langsung tidak di ambil kira terutamanya pemimpin Umno sendiri?
Sikap bermuka-muka pemimpin Umno didalam isu seperti ini amatlah dikesali oleh semua pihak terutamanya kepada pejuang bahasa melayu itu sendiri. Berbagai alasan yang dicari dan direka untuk mereka menafikan serta melambat-lambatkan agar PPSMI ini dapat dimansuhkan dengan segera!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment