Tuesday, March 31, 2009

RUMUSAN UMNO 2009: GANDINGAN NAJIB-MUHYIDDIN SEUMPAMA TUN RAZAK-TUN DR ISMAIL?

Najib Tun Razak, Presiden Umno yang baru
Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden Umno yang baru
Almarhum Tun Abd Razak Hussein, Mantan Presiden Umno

Almarhum Tun Dr Ismail, Mantan Timbalan Presiden Umno

Salam pada semua,

Kemenangan Muhyiddin Yassin serta Ahmad Zahid Hamidi, Hishamuddin Hussein dan Shafie Afdal sebagai Timbalan Presiden dan Naib-naib Presiden Umno yang baru beberapa hari lalu tidaklah mengejutkan ramai terutamanya para pemerharti luar.

Kemenangan mereka ini yang disifatkan oleh para ‘pengampu’ Umno kononnya sebagai rangkaian yang teramat baik, berwawasan, muda, dan mempunyai kelebihannya yang tersendiri pada diri mereka masing-masing apatah lagi diandaikan oleh semua pihak sebagai gandingan mantap bersama Presiden Umno yang baru Najib Tun Razak.

Hakikat yang sebenarnya kemenangan mereka ini tidak menampakkan sebarang petanda bahawa perubahan akan berjalan sebagaimana yang digembar- gemburkan kerana sememangnya diantara mereka ini turut mempunyai ‘sejarah kegemilangannya’ masing-masing didalam politik.

Sememangnya ramai yang menjangkakan pertandingan untuk jawatan Timbalan Presiden akan berlaku dengan lebih sengit seandainya Ali Rustam tidak dihalang daripada meneruskan niatnya untuk bertanding. Semua orang tidak menafikan kemampuan Ali Rustam untuk membuat kejutan pada jawatan ini sekiranya ianya berlaku tetapi nasibnya malang kerana didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin Umno atas kaitannya dengan politik wang beberapa hari sebelum perhimpunan agung Umno ini.

Dengan keunggulan dan kekuatan yang ada pada Muhyiddin Yassin ini, halangannya terhadap Muhamad Mohd Taib hanyalah kecil sahaja apatah lagi kemampuan serta potensi diri Muhyiddin itu lebih dipandang oleh para perwakilan berbanding Muhamad Taib yang cukup ‘kontroversi’ selama ini.

Tetapi apakah jaminan dengan kemenangan besar Muhyiddin pada pemilihan ini sememangnya diri beliau diterima orang? Saya tidak melihat beliau sebagai gandingan yang ‘sesuai’ bersama Najib kali ini kerana Muhyiddin yang kita kenali adalah seorang pemimpin yang cukup teliti serta cermat didalam sebarang tindakan. Beliau seorang yang begitu tegas serta berani berbanding dengan Najib.

Disamping itu juga dengan perbezaan umur beliau yang lebih berusia daripada Najib juga memungkinkan akan timbul konflik dan perbezaaan pendapat dengan Presiden sendiri walaupun konflik ini lebih menjuruskan kebaikan bersama didalam parti Umno. Mungkin orang akan melihat ini adalah perkara biasa tetapi didalam politik istilah ‘aku makan garam lebih dahulu daripada kamu’ atau lebih tua umurnya untuk di hormati, pasti ianya akan berlaku juga.

Sejarah Presiden Umno ke tiga Almarhum Tun Razak Hussein dengan Almarhum Tun Dr Ismail selaku Timbalan beliau pada akhir tahun 60an dulu pasti akan berulang apabila ketika itu Ismail lebih dikenali sebagai nasionalis melayu yang unggul apatah lagi ketika peristiwa 13 Mei 1969 berlaku.


Kehebatan serta keunggulan peribadi Ismail amatlah digeruni oleh semua orang termasuk kaum bukan melayu kerana ketegasannya didalam membuat keputusan apatah lagi terhadap Almarhum Tunku Abd Rahman sendiri ketika beliau menjadi Presiden Umno ke dua.

Ketegasan serta faktor lebih berusia daripada Presiden kali ini berulang kembali apabila Muhyiddin menjadi Timbalan Presiden Umno. Dengan keempat-empat tokoh ini juga sama daripada Pahang dan Johor.

Sebenarnya amatlah sukar didalam sesebuah kapal itu sekiranya masih terdapat satu lagi suara yang turut memiliki ‘aura’ ketegasannya selain daripada Presiden sahaja. Apakah mungkin dengan aura yang dimiliki oleh Timbalan ini hanya akan didiamkan begitu sahaja tanpa menggunakannya?

Secara peribadinya saya berpandangan Muhyiddin tidak mampu lagi untuk mendaki ke kerusi Presiden suatu masa nanti kerana atas faktor usia yang lebih berusia berbanding Najib sendiri dan melihat fenomena ini keyakinan kita bahawa peristiwa gandingan antara ‘biras’ sebagai Presiden dan Timbalan Presiden dan seterusnya sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri (Tun Razak dan Tun Hussein Onn) pasti akan berulang lagi sekiranya Hishamuddin Hussein yang juga sepupu Najib ini mampu mendaki ke jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan yang akan datang nanti.

Saya tidak melihat perkara ini mustahil. Kalau dahulu siapa dapat menyangka gandingan biras sebagai Presiden dan Timbalan Presiden Umno berlaku? Atas faktor ini lah saya berkeyakinan juga bahawa suatu hari nanti gandingan dua anak bekas Presiden Umno ini akan bergandingan kembali. Kalau dahulu biras, tetapi kali ini pula sepupu. Namun kemungkinan ini hanya akan berlaku terlebih dahulu didalam Umno sebagai Presiden dan Timbalan Presiden sahaja kerana belum tentu di PRU 13 yang akan datang BN masih mampu memenangi PRU tersebut!

No comments: