Friday, April 2, 2010

BARU KINI KITA TAHU, RUPANYA RAMAI CALON MB PERAK YE?

Membaca akhbar Utusan Malaysia (UM) hari ini, rasa hendak gelak pun ada, rasa hendak ketawa pun ada, rasa hendak bersorak pun ada mengenangkan ‘karenah’ pemimpin-pemimpin tertentu samada daripada wakil-wakil rakyat UMNO atau pun yang sudah bertukar status menjadi wakil rakyat bebas sekarang ini.

Malam tadi melalui siaran berita TV3 memperlihatkan bagaimana seorang mantan YB daripada PKR menceritakan bagaimana diri beliau dipujuk oleh DAP agar ‘mengaktifkan’ semula keahlian lamanya sebagai ahli DAP suatu ketika dahulu. YB ini mengakui memang benar suatu ketika dahulu beliau seorang ahli DAP tetapi tidak lagi aktif selepas itu.

Beliau mendakwa dipujuk agar membolehkan diri beliau dilantik sebagai Menteri Besar negeri Perak yang baru dan seterusnya membolehkan DAP yang menguasai kemenangan tersebut mempunyai MB daripada parti tersebut! Namun begitu beliau mendakwa tidak berhasrat untuk menerimanya kerana merasakan seolah-olah ada sesuatu yang ‘tidak kena’ akan berlaku.

Didalam akhbar UM hari ini pula menyiarkan dakwaan oleh Dato Seri Dr Zamry Abd Kadir bagaimana beliau pernah ditawarkan jawatan MB Pakatan Rakyat Perak sekiranya beliau ‘melompat’ daripada UMNO ke PKR atas alasan pakatan pembangkang ketika itu tidak mempunyai tokoh atau calon yang sesuai untuk menjadi MB Perak!

Satu persoalan yang pelik kepada mantan wakil rakyat PKR samada di Dun ataupun Parlimen ialah mengapa selepas masing-masing melompat daripada menjadi wakil rakyat Pakatan Rakyat kepada wakil rakyat Bebas, baru kini masing-masing membuka ceritanya yang tersendiri?

Kenapa baru kini selepas mereka ini ‘lari’ daripada PKR terutamanya dan seterusnya menjadi wakil-wakil rakyat Bebas baru timbul cerita soal mereka ini pernah di pujuk untuk melakukan itu dan ini dengan tawaran yang boleh ‘mengerunkan’ iman seseorang, kenapa baru ada yang bercerita soal beberapa MP BN yang akan melompat menyertai Pakatan Rakyat, kenapa baru ada bercerita soal ada menerima tawaran menjadi MB samada daripada DAP atau PKR dan juga berbagai tohmahan cerita yang lain timbul kini?

Kita merasakan ini seolah-olah ini merupakan suatu agenda yang telah dirancang secara tersusun khususnya untuk melemahkan antara satu sama lain didalam pakatan pembangkang. Apakah motifnya jikalau seorang wakil rakyat itu tiba-tiba mendakwa kononnya ada pujukan daripada DAP untuk menjadi MB dan didalam masa yang sama juga ada lagi seorang wakil rakyat yang turut mendakwa dipujuk agar menyertai PKR dan seterusnya menjadi MB Perak yang baru selepas pilihanraya umum 2008 lalu?

Senario ini ditimbulkan seolah-olah adanya sikar tidak yakin sesama komponen didalam Pakatan Rakyat serta timbulnya ‘kecurigaan’ masing-masing bagi mencari ‘MB mereka sendiri’ walhal ianya tidak pun berlaku sebagaimana yang dikatakan kerana apa yang dimaklumkan ialah sebaik sahaja tiga parti ini PKR, PAS dan DAP menang di Perak pada PRU 12 lalu, masing-masing telah bersetuju untuk berbincang secara bijaksana siapakah bakal MB demi rakyat di negeri tersebut.

Didalam keadaan sekarang dengan keadaan politik di negeri Perak khususnya selepas Dun Perak di buka untuk sidang pertama tahun ini, berbagai isu terbaru mungkin akan timbul sebagaimana yang berlaku sebelum ini.

Mungkin hari ini baru dua orang yang mendakwa ditawarkan menjadi MB oleh PKR atau DAP, mana kita tahu mungkin esok ada lagi mereka yang mendakwa diri mereka juga pernah ditawarkan menjadi MB suatu ketika dahulu? Sama-samalah kita tunggu samada ianya ada ataupun tidak tetapi Itulah ragam wakil-wakil rakyat sekarang seolah-olah hilang perhitungan untuk berfikir secara matang…

No comments: