Thursday, April 8, 2010

SIAPA SEBENARNYA 'PUTAR ALAM MALAYSIA' ?

Boleh dikatakan setiap hari kita dihidangkan siri ‘cerita lawak’ yang mengaitkan tentang Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI) oleh mereka yang suatu ketika dahulu sememangnya merupakan orang-orang kanan DSAI ketika didalam Parti Keadilan Rakyat @ KEADILAN.

Membaca cerita-cerita lawak sedemikian yang disiarkan didalam Utusan Malaysia (UM) hari ini benar-benar membuktikan lagi bahawa cerita-cerita yang disiarkan didalam akhbar ini sememangnya amat layak untuk di ‘tong sampah’ kan sahaja kerana langsung tidak mengambil kira nilai sensitiviti, kemanusiaan, fakta dan logik tentang cerita yang disiarkan itu.

Sebagai contohnya hari ini (07/04/2010) di UM, m/surat 6, apabila ulasan serta pendedahan yang semakin merapu oleh salah seorang bekas rakan karib DSAI iaitu Datuk S.Nallakaruppan apabila mengaitkan tentang kemungkinan besar DSAI merancang untuk menuntut kemerdekaan Sarawak jikalau KEADILAN menang di Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak!

Mengaitkan kononnya ini semua adalah rancangan DSAI didalam menjayakan cita-cita DSAI untuk menjadi Perdana Menteri tercapai disamping Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai wanita pertama serta turut mengaitkan Azmin Ali sebagai Timbalan Perdana Menteri sekiranya perancangan tersebut tercapai benar-benar amat mengejutkan kita kerana kenyataan yang dibuat oleh Nallakaruppan ini adalah melibatkan satu fitnah untuk memecah belahkan semangat perpaduan nasional antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Seharusnya pihak yang berkuasa perlu mengambil tindakan terhadap kenyataan yang dibuat ini kerana ianya berbaur fitnah apatah lagi turut melibatkan soal keselamatan negara sekiranya dakwaan ini benar.

Kita sebenarnya tidak faham apa motif Nallakaruppan dan kenapa beliau begitu berani mengeluarkan kenyataan seperti itu? Beliau mendakwa kononnya DSAI yang digelarnya sebagai ‘Putar Alam Malaysia’ itu dikatakan sedang membuat persiapan untuk ‘berhijrah’ ke Sarawak menjelang pilihanraya DUN Sarawak tidak lama lagi.

Bagi kita yang waras ini merupakan suatu dakwaan yang cukup bodoh serta tolol untuk kita fikirkan. Apakah dakwaan yang dibuat ini adalah untuk membuktikan kepada rakyat Malaysia yang betapa DSAI sudah tidak sabar lagi untuk menjadi Perdana Menteri sehinggakan terpaksa pula berhijrah ke Sarawak?

Disamping itu juga mengaitkan isu ‘menuntut kemerdekaan’ wilayah disesebuah negara adalah merupakan suatu isu yang sungguh berat dan berbahaya sekiranya dipandang dari sudut keselamatan sesebuah negara tersebut. Justeru itu pihak yang berwajib seharusnya perlu bertindak segera untuk menyiasat akan kebenaran dengan apa yang dikatakan sebagai ‘kemungkinan’ tersebut.

Kita juga kesal kerana kenyataan yang dibuat oleh Nallakaruppan lebih bersifat kepada serangan peribadi serta kenyataannya pula lebih bersifat fitnah dan menghasut agar DSAI terus dibenci oleh rakyat umumnya bagi menutup serta mengaburi segala salah laku yang dibuat oleh pimpinan Barisan Nasional yang lain.

Kecenderungan beberapa orang yang pernah rapat dan bersama-sama dengan DSAI suatu ketika dahulu didalam KEADILAN mengeluarkan berbagai cerita yang kadang kala amat tidak masuk akal untuk dibaca menyebabkan kita kadang kalanya merasakan amat pelik apakah sebenarnya yang mereka cari dan mahukan?

Didalam hal ini kita sendiri boleh menilainya, siapakah yang lebih Putar Alam sebenarnya....

No comments: