Thursday, April 15, 2010

KES PENDERAAN KANAK-KANAK, DIMANAKAH KESUDAHANNYA?

Hampir semua akhbar-akhbar utama tempatan hari ini memaparkan kes kematian terbaru budak akibat di dera secara tidak berperikemanusian semalam. Kisah kematian kanak-kanak akibat didera ini tetap berterusan dan seolah-olah tiada penghujungnya.

Kematian dua kanak-kanak malang, K.Harreswara, 1 tahun serta Syafiah Humairah Sahari, 3 tahun akibat didera secara sadis pada Mac dan Februari lalu masih segar di ingatan kita semua rakyat Malaysia.

Namun ianya langsung tidak mencetuskan kesedaran serta keinsafan apabila kejadian sama terus berulang dan kali ini ianya membabitkan kanak-kanak perempuan Lee Swee Hui, yang berusia tiga tahun tersebut dipercayai maut akibat mengalami kecederaan di pukul dengan objek keras.

Mayat kanak-kanak yang tidak berdosa itu didapati mempunyai tidak lebih daripada 30 kesan lebam dan luka dibadan, dahi serta pipi. Menurut doktor lagi, lebam-lebam yang dialami mangsa merupakan kesan kecederaan yang dianggarkan baru seminggu lalu.

Persoalannya sekarang ialah kenapa perkara seperti ini masih berterusan berlaku? Dimanakah silapnya kita sehinggakan kematian kanak-kanak seperti ini masih berlaku?

Pihak yang berwajib lagi berkuasa dinegara ini perlu berusaha keras bagi membanteraskan kekejaman yang seolah-olah tiada noktah akhirnya. Simpati sahaja amat tidak mencukupi untuk kita mengatasi masalah ini. Masyarakat perlu prihatin bagi membantu pihak berkuasa untuk mencegah kekejaman ini.

Amat menyedikan kita apabila segala yang dipaparkan oleh media sebelum ini terhadap kes yang sama berlaku langsung tidak memberi apa-apa pengajaran pun kepada kelompok manusia yang kejam seperti ini.

Sebenarnya mereka yang tidak berperikemanusiaan ini bukan sahaja sudah hilang unsur kemanusiaan ini tetapi secara tidak langsung juga telah hilang sifat kewarasan didalam kehidupannya!

Sebenarnya sikap mereka yang telah hilang sifat kemanusiaan kerana melakukan penderaan dan penyeksaan sehingga membawa maut kepada kanak-kanak ini secara tidak langsung telah meletakkan mereka berada setakuk dibawah haiwan. Haiwan pun tahu menjaga dan menyayangi anak-anaknya, tetapi tidak kepada manusia sebegini rupanya!

Bukan untuk menyalahkan kepada sesiapa tetapi penyakit sosial yang berleluasa seperti ini juga ada hubung kaitnya dengan perubahan gaya kehidupan kita kini. Sebagai contohnya, Keruntuhan rumah tangga yang semakin ketara serta ikatan institusi kekeluargaan yang semakin longgar memungkinkan lagi perkara seperti ini terus berlaku.

Disamping itu, semangat kejiranan juga perlu dieratkan lagi kerana dengan mengamalkan sikap ‘menjaga tepi kain orang’ atau mengambil tahu hal ehwal jiran kita sedikit sebanyak boleh mengelakkan daripada kewujudan lagi kes-kes penderaan yang membawa maut.

Untuk akhirnya, kita tidak mampu untuk menafikan bahawa perubahan arus kehidupan yang semakin mencabar dan moden kini turut menjadikan institusi keluarga juga mengalami kesannya. Sepatutnya ikatan dan kerukunan didalam sesebuah institusi kekeluargaan perlu diperkuatkan dan diperteguhkan lagi agar ianya sentiasa aman dan damai. Justeru itu ianya boleh mengelakkan sebarang kejadian yang seumpama ini daripada berlaku lagi.

No comments: