Saturday, May 15, 2010

KALAU UNTUNG RAMAI-RAMAI RASA, KALAU RUGI HANYA KETUA EKSEKUTIF YANG KENA?

Kerugian yang dialami oleh Sime Darby benar-benar mengejutkan kita semua selaku rakyat Malaysia. Ini kerana kerugian yang berjumlah RM1.63 Bilion yang ditanggung oleh syarikat konglomerat milik kerajaan (GLC) ini adalah sesuatu yang cukup besar dan amat ‘luar biasa’ sekali.

Kita melihat seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena berlaku didalam urus tadbir Sime Darby ini. Dengan melihat kerugian yang teramat besar ini, sedikit sebanyak telah membuktikan perkara yang tidak kena telah berlaku sebagaimana sepatutnya.

Justeru itu kita melihatkan tindakan yang meminta agar Dato Seri Ahmad Zubir Murshid untuk bercuti panjang adalah sesuatu yang pelik dan tidak adil kerana ini jelas memperlihatkan seolah-olah kerugian yang dialami oleh Sime Darby ini hanya terletak di bahu Presiden dan Ketua eksekutifnya sahaja!

Sebagai memikul tanggungjawab adalah adil sekiranya kesemua Ahli Lembaga Pengarah bersama-sama dengan Zubir untuk meletakkan jawatan kerana perlu diingat bahawa sebarang keputusan yang penting yang dibuat sebelum ini termasuklah soal pelaburan syarikat sudah pastinya memerlukan kelulusan atau budi bicara lembaga pengarah syarikat dan bukannya seratus peratus terletak di tangan Ketua Eksekutifnya sahaja.

Umumnya rakyat Malaysia mengetahui, Sime Darby ialah diantara GLC yang berjaya didalam perniagaannya dan sudah tentu ianya telah menaikkan imej golongan korporat serta komuniti orang Melayu juga, tetapi apabila kerugian besar ini di kesan sudah pasti secara tidak langsungnya memalukan golongan tersebut umumnya.

Didalam masa yang sama juga kita mahu agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kerugian yang dialami oleh syarikat GLC ini yang dilihat sungguh luar biasa kerugian yang dialaminya itu.

Oleh itu siasatan keatas kerugian ini perlulah disegerakan dengan melantik satu konsultan bebas didalam bidang kewangan dan perakaunan untuk menjalankan siasatan ini dan adalah perlu juga agar keputusan siasatan itu diumumkan kepada semua tanpa berselindung.

Sebagai langkah dimasa hadapan, adalah dicadangkan juga agar pihak kerajaan dapat mengkaji semula kaedah perlantikan semua jawatan tertinggi didalam sesebuah GLC bagi memastikan ianya dapat diuruskan dengan baik sekaligus dapat mengelak kerugian pada setiap GLC akan berterusan berlaku.

Perlantikan secara terbuka berdasarkan kemampuan seseorang untuk menerajui sesebuah GLC haruslah telus dan elakkan perlantikan berdasarkan kroni masing-masing untuk tujuan tersebut.

No comments: