Saturday, May 22, 2010

SAMPAI BILA SAMY VELLU AKAN BERTAHAN?

Pemecatan Sdr V.Mugilan yang juga Mantan Timbalan Ketua Pemuda MIC Pusat daripada parti MIC hari ini adalah satu lagi keputusan yang dikira sebagai berani oleh kepimpinan MIC yang di ketuai oleh Presidennya Dato Sri S.Samy Vellu.

Dengan memberi alasan pemecatan Mugilan tersebut kerana beliau didapati bersalah melakukan cubaan sabotaj terhadap BN ketika menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor tempohari sangatlah mengejutkan semua pihak.

Keputusan pemecatan ini seolah-olah dibuat didalam keadaan tergesa-gesa kerana baru sahaja beberapa hari Mugilan mengeluarkan kenyataan yang cukup keras agar Samy Vellu berundur dengan segera daripada jawatan Presiden tanpa menunggu sehingga tahun depan.

Sebagaimana yang ditegaskan oleh Mugilan, desakan beliau agar Samy Vellu berundur segera tiada kaitan dengan kekecewaan beliau tidak terpilih sebagai calon pada PRK Hulu Selangor tetapi lebih kepada desakan yang berpunca daripada tindakan Samy Vellu sendiri yang melantik anaknya sendiri, S.Vell Paari sebagai anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).

Dengan tindakan Presiden yang membuat keputusan tanpa berunding terlebih dahulu dengan pimpinan yang lain dan secara tidak langsung menggambarkan bahawa Samy Vellu cuba mewariskan jawatan Presiden MIC kepada anaknya juga suatu hari nanti.

Bagi kita melihat pergolakan kembali yang berlaku didalam MIC jelas menunjukkan bahawa krisis dalaman parti tersebut pasti akan berterusan sampai bila-bila selagi Samy Vellu tidak turun daripada ‘tahta’ sebagai Presidennya.

Cuba bayangkan sudah berapa kali Samy Vellu berjanji untuk berundur daripada jawatan Presiden MIC tetapi sehingga kini masih tidak mahu berundur. Oleh itu rakyat melihatkan pemimpin seperti ini sebagai seorang yang tidak berpegang pada janji.

Kredibilitinya sebagai seorang Presiden pada parti kaum India yang terbesar dinegara ini semakin menurun apabila rakyat melihat segala teguran yang dibuat oleh orang bawahan didalam MIC tidak di endahkan langsung malahan dikenakan pula dengan tindakan disiplin yang keras oleh partinya.

Justeru itu, perubahan didalam MIC perlulah disegerakan agar ianya tidak berlarutan sehingga ke pilihanraya umum yang akan datang. Keretakan yang berterusan didalam MIC secara tidak langsung akan memberi impak dalaman yang kuat kepada BN khususnya parti tonggaknya UMNO didalam menghadapi pilihanraya yang bakal menjelma dua tahun lagi daripada sekarang.

No comments: