Thursday, May 6, 2010

PAKATAN RAKYAT JANGAN JADI 2X5 JUGA

Pilihan raya kecil (PRK) Hulu Selangor yang berakhir pada minggu lepas banyak mendedahkan beberapa perkara sebagaimana yang didakwa oleh Barisan Nasional (BN) akan apa yang dikatakan sebagai ‘salah laku’ penggunaan jentera kerajaan oleh pemerintah sesebuah kerajaan negeri (Didalam PRK Hulu Selangor ini sudah semestinya Kerajaan Negeri Selangor yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat @ PR).

Sebagaimana dakwaan oleh beberapa orang pemimpin BN sendiri, seharusnya PR perlu mengakui akan kewujudan ini kerana ini bukan merupakan salah laku yang baru berlaku kerana sebagaimana yang pernah didedahkan sendiri oleh MAFREL selaku pemantau bebas untuk pilihanraya, keadaan serupa ini (menyalahgunakan jentera kerajaan negeri) pernah juga berlaku di Kelantan termasuk yang terbaru ketika di PRK DUN Manek Urai pada tahun lepas.

Asas dakwaan ini adalah sama. PR selalu mendakwa akan salah laku terhadap penggunaan agensi dan jentera kerajaan Persekutuan pada setiap kali sesuatu pilihanraya diadakan oleh parti Barisan Nasional tetapi apakah adanya jaminan bahawa Pakatan Rakyat tidak akan sesekali menggunakan segala jentera kepunyaan kerajaan negeri yang diperintah oleh PR?

Pengalaman turun serta hadir bersama-sama di kempen PRK di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat seperti di Kedah (DUN Bukit Selambau), Pulau Pinang (Permatang Pauh, Penanti & Permatang Pasir), Kelantan (Manek Urai) sehinggalah yang terbaru di PRK Hulu Selangor sendiri, saya mendapati penggunaan jentera kerajaan negeri itu tetap ada walaupun tidak sebesar seperti mana yang digunakan oleh BN terhadap jentera kerajaan peringkat Persekutuan.

Sebab itu saya mengatakan, PR seharusnya cermat didalam membuat dakwaan salah guna kuasa di sesuatu pilihanraya itu kerana kita bimbang kesalahan yang kita lakukan sendiri kita tidak nampak sehingga membolehkan pihak lawan menyerang serta mendakwa kita sama sebagaimana yang berlaku di PRK Hulu Selangor tempohari!

Didalam hal ini, dakwaan salah guna jentera kerajaan ini turut merangkumi kepada janji serta peruntukan seperti kewangan pada sekolah dan rumah ibadat, penyerahan geran tanah, pemberian bantuan subsidi baja, penternakan, pertanian dan sebagainya.

Perlu diingat, bukan soal samada peruntukan yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri sedikit sahaja berbanding peruntukan oleh kerajaan persekutuan begitu besar jumlahnya, maka ianya boleh dijadikan asas untuk menafikan pembabitannya didalam PRK tetapi ianya lebih kepada prinsip agar salah guna agensi dan jentera kerajaan tidak berlaku sewenang-wenangnya.

Tidak kiralah Pakatan Rakyat mahu pun Barisan Nasional pun, asyik menuduh diantara satu sama lain untuk mencari salah antara sama lain juga bukanlah sesuatu yang baik tetapi silap gayanya akan memburukkan lagi keadaan. Percayalah….

No comments: