Kita berbincang secara terbuka isu ini kerana mengambil kira akan kepentingan rakyat negara ini.
Dalam akhbar Berita Harian bertarikh 31 Mei 2010, di m/surat 17, artikel bertajuk 'Pemansuhan pelbagai subsidi tidak deritakan rakyat' diulas dengan panjang lebar.
Kita berbalik kepada pengakuan oleh Dato Seri Idris Jala selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri bahawa negara berdepan dengan krisis yang sukar iaitu berkemungkinan muflis menjelang 2019 amatlah mengejutkan kita semua.
Dengan menjadikan alasan trend pemberian subsidi kepada rakyat sebagaimana yang diamalkan oleh kerajaan kini untuk barangan makanan dan perkhidmatan seperti bahan api (elektrik, petrol dan gas) sebagai penyebab utama ke arah kemungkinan negara muflis, seharusnya hal ini diperjelaskan dengan lebih teliti lagi oleh pihak kerajaan.
Membuat perbandingan akan pemberian subsidi yang kononnya begitu tinggi iaitu 4.6 peratus daripada Keluaran Negara Kasar (KDNK) yakni lebih tinggi daripada negara jiran Indonesia dan Filipina adalah merupakan suatu perbandingan yang tidak adil sekiranya faktor lain diambil kira.
Kita sudah pasti menunggu dengan debar apakah menjelang 9 tahun lagi kemungkinan negara kita akan muflis akan menjadi kenyataan? Menjadikan tahun 2020 sebagai asas negara kita sebagai negara maju yang unggul sebagaimana yang diimpikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad (ketika beliau menjadi Perdana Menteri suatu ketika dahulu), apakah perencanaan ini akan menambahkan lagi koleksi dan rekod-rekod kegagalan pihak pemerintah untuk mengurus tadbir negara secara baik dan bertanggungjawab?
Kita tidak faham kenapa kerajaan menjadikan asas subsidi yang ‘seciput’ itu sebagai penyebab utama kearah muflisnya negara kita walhal faktor korupsi dan rasuah seharusnya dijadikan asas utama memungkinkan kearah negara kita menjadi muflis.
Apakah yang boleh difahami oleh rakyat ialah seandainya pemansuhan subsidi itu berlaku nanti, pasti akan menjadikan bebanan mereka semakin bertambah dan didalam masa yang sama kerajaan pula mendakwa pemansuhan ini adalah baik serta berfaedah kepada rakyat dan negara juga untuk tempoh jangka masa panjang?
Jangan disalahkan rakyat bawahan ini sebagai punca ke arah negara kita sebagaimana yang dikatakan bakal muflis pada tahun 2019 nanti. Sebagai kerajaan yang dipilih rakyat, kebajikan untuk setiap rakyat seharusnya dijaga dan bukannya dijadikan tempat untuk kerajaan ‘memunggah’ kembali segala hasilnya dengan mengenakan cukai yang tinggi serta pengenalan pelbagai caj seperti GST yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi.
Ingat, kerajaan yang baik ialah kerajaan yang tahu menjaga kebajikan rakyatnya. Kerajaan akan dihormati apabila kehendak rakyat itu diutamakan dan bukannya sekadar memenuhi kehendak beberapa kerat yang rapat dengan pimpinan sahaja…
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment