Kempen Pilihanraya Kecil P212 Parlimen Sibu yang telah bermula sejak dua hari lepas tidak langsung menampakkan perubahan kepada kaedah atau cara berkempen yang dijalankan oleh Barisan Nasional (BN).
Jentera kempen Barisan Nasional yang dikepalai oleh UMNO masih mengekalkan gaya serta rentak sebagaimana yang dilakukan dipilihanraya -pilihanraya sebelum ini dengan berkempen didalam bentuk ‘rasuah pilihanraya’ sebagai asas utama untuk menarik pengundi menyebelahinya.
Sempena PRK Parlimen Sibu, segala jentera dan agensi kerajaan di peringkat persekutuan termasuk negeri Sarawak sendiri akan turut diheret sama didalam kancah pilihanraya ini sebagaimana yang berlaku di PRK Hulu Selangor baru-baru ini.
Dengan mengambil kira kenyataan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengatakan kempen pilihanraya berbentuk sebegitu dianggap sebagai sekadar ‘janji politik’ dan ianya tidak menyalahi peraturan pilihanraya, maka sudah pastilah BN akan memperhebatkan lagi segala jentera kempennya.
Oleh itu kita menjangkakan menjelang proses pengundian yang bakal berlangsung pada ahad ini, maka sudah pastilah para pemimpin tertinggi berbagai peringkat daripada BN akan berbondong-bondong turun ke Sibu bagi menjalankan misi kempen tersebut bersama janji dan peruntukan berjuta-juta ringgit yang bakal di berikan nanti sebagaimana kebiasaannya di pilihanraya lepas.
Kita melihat perkara seperti ini seolah-olah telah menjadi tradisi atau pun ‘kebiasaan’ dan dibimbangi pada masa akan datang rakyat mengharapkan kematian wakil-wakil rakyat mereka barulah segala hasrat pembangunan dan kemudahan boleh dipenuhi dengan serta merta oleh pihak pemerintah.
Kempen pilihanraya sepatutnya dipenuhi dengan menerangkan dasar-dasar parti disamping perancangan sekiranya calon wakil rakyat masing-masing menang di dalam pilihanraya ini.
Dengan memberi janji seumpama ‘harapan palsu’ kepada pengundi-pengundi yang kita sendiri tidak mengetahui samada boleh atau pun tidak untuk ditunaikan, ianya adalah merupakan perkara yang perlu dielakkan oleh semua parti-parti yang bertanding daripada melakukan perkara yang sama.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment