Monday, May 17, 2010

KESAN KEKALAHAN BN DI SIBU, APAKAH PILIHANRAYA NEGERI SARAWAK TERPAKSA DITANGGUH LAGI?

Kemenangan DAP yang mewakili Pakatan Rakyat (PR) di pilihanraya kecil (PRK) Parlimen Sibu semalam membuktikan kepada semua bahawa Sarawak kini bukan lagi sebagai Akaun Tetap (Fix Deposit) untuk Barisan Nasional memperolehi kerusi secara automatik pada setiap pilihanraya umum!

Walaupun kemenangan ini amat tipis (majoriti 398 sahaja) selepas pengiraan undi dicampur dengan undi pos pada kotak undi terakhir, ianya begitu bermakna sekali kepada Pakatan Rakyat.

Kemenangan ini juga menjadikan petunjuk secara tidak langsung kepada kerajaan negeri Sarawak bahawa pada pilihanraya negeri yang bakal berlangsung bila-bila masa daripada sekarang pasti sengit dengan kemunculan pesaingnya daripada empat parti yang telah bergabung secara rasmi sebagai Pakatan Rakyat Sarawak.

Mengambil kira aliran sokongan pengundi kaum Cina jelas memperlihatkan Barisan Nasional (BN) kini bukan lagi menjadi pilihan mereka untuk di undi. Senario yang berlaku hampir serupa sebagaimana di PRK Hulu Selangor tempohari apabila kaum Cina terus terang menolak.

Dengan pelbagai peruntukan dan janji-janji politik ketika kempen PRK Sibu baru-baru ini yang dibuat oleh hampir kesemua pimpinan samada pemimpin-pemimpin BN negeri Sarawak dan juga Pusat termasuklah juga kehadiran dua hingga tiga kali Perdana Menteri ke Sibu masih tidak berupaya untuk menarik kaum Cina terutamanya untuk memberi undi kepada BN semalam.

Sebab itu kita selalu berkata, kempen memberi gula-gula atau pun peruntukan / projek-projek seumpama ‘mee segera’ pada setiap kali kempen di PRK ini sudah tidak boleh dipakai lagi apatah lagi untuk memaksa rakyat menerima janji-janjinya itu.

Kemenangan DAP khususnya dan PR umumnya secara tidak langsung juga telah mengurangkan lagi satu kerusi yang dimilki oleh BN. Ikut rekod, ini merupakan kekalahan kedua kerusi yang dimiliki BN selepas PRU 12 2008 selepas terlepasnya Parlimen Kuala Terengganu pada Januari 2009 disamping kemenangan semula BN terhadap kerusi Parlimen Hulu Selangor pada bulan lalu.

Disamping itu ianya juga umpama memberi satu suntikan moral pada persiapan PR untuk menghadapi pilihanraya umum Negeri Sarawak yang mengikut jadualnya DUN Sarawak akan berakhir secara automatik pada Julai 2011 tahun depan.

Untuk BN, kekalahan ini merupakan satu signal agar BN tidak berterusan mengamalkan kempen dengan ‘cara tidak bermoral’ seperti membangkit isu perkauman, isu agama,serangan peribadi serta isu peruntukan pembangunan dan berbagai lagi.

Yang jelas rakyat terutamanya di peringkat golongan muda dan pertengahan (middle class) tanpa mengira kaum kini sudah menyampah dengan dakyah-dakyah yang tidak masuk akal sehinggakan segala propaganda yang dibawa oleh BN itu turut di heretkan sama untuk disiarkan di televisyen dan juga akhbar.

No comments: