Monday, May 24, 2010

ZULKIFLI NOORDIN KATA 5 YB LAGI BAKAL MELOMPAT?

Membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh Sdr Zulkifli Noordin benar-benar membuatkan kita semua tersenyum sendirian. Ini kerana kenyataan didalam akhbar ini jelas menunjukkan berbagai andaian tentang kemungkinan akan ada lagi ahli-ahli parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) keluar parti dan seterusnya menjadi ahli parlimen bebas.

Kita kadang-kala merasa kesian apabila membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau kerana memperlihatkan sikap beliau yang berubah sepenuhnya berbanding ketika bersama didalam KEADILAN suatu ketika dahulu. Tidak kelihatan lagi sifat beliau yang begitu hebat jauh sekali untuk beliau membuat andaian seperti kenyataan ini.

Apakah motif beliau dapat sebenarnya daripada berterusan mengeluarkan kenyataan yang berkaitan dengan KEADILAN sedangkan semua telah kita ketahui bahawa Sdr Zulkifli ini sudah pun menjadi bebas yang tidak berparti lagi (tetapi kelihatan ‘senada’ dengan ahli-ahli parlimen daripada Barisan Nasional), jadi sudah pasti sudahlah tidak layak untuk beliau bercakap bagi ‘mewakili’ KEADILAN!

Kenyataan terkini beliau memperlihatkan sikap dan taring beliau yang sebenar untuk ‘menyerang’ KEADILAN yang selama ini tidak dapat dikesan langsung di kalangan kita. Beliau masih mengulangi sebab-sebab utama beliau tidak sependapat dengan pimpinan tertinggi KEADILAN yang akhirnya menjadi punca utama kenapa beliau di pecat daripada parti.

Kita sebenarnya merasakan agenda yang dimainkan oleh beberapa kerat pihak tertentu (yang telah keluar parti KEADILAN ) untuk membawa keluar beberapa orang lagi ahli-ahli parlimen dan ADUN keluar menyertai bersama mereka ini amatlah berbahaya kepada keutuhan parti disamping boleh menjejaskan kekuatan kerajaan dibeberapa negeri Pakatan Rakyat.

Sikap sesetengah YB yang begitu mudah untuk melompat parti, memperlihatkan seumpama ‘menikam kawan’ daripada belakang. Ini amatlah menyedihkan kita semua kerana berlaku tanpa di duga. Yang pastiny tanpa sokongan rakyat, kita sebenarnya tidak akan kemana pun apatah lagi untuk menjadi seorang wakil rakyat yang benar-benar disanjung tinggi sebagaimana yang pernah di lakukan oleh Lee Lam Thye (ketika itu YB DAP) sendiri suatu ketika dahulu.

No comments: