Thursday, February 19, 2009
PERANAN MEDIA HARUS JUJUR DAN TELUS
Salam pada semua,
Peranan media sememangnya amat penting sejak turun temurun lagi. Tidak kiralah samada media itu berbentuk media cetak (akhbar ataupun tabloid dan sebagainya) atau media elektronik (televisyen, radio, internet, sms dan sebagainya), peranan media sememangnya kita mengakui bertapa hebat peranan yang dimainkan oleh media itu terhadap kehidupan disesebuah negara.
Kalau kita imbas kembali peranan media khususnya peranan akhbar itu sendiri ketika sebelum kemerdekaan negara kita pada tahun 1957, peranan akhbar yang dipelopori oleh pejuang-pejuang kita ini yang lebih menggunakan penulisan mereka untuk dijadikan senjata utama bagi menghadapi penjajah.
Dengan adanya peranan media berbentuk sedemikian pada tahun-tahun pra-kemerdekaan negara dahulu telah mengakibatkan rakyat di Tanah Melayu ini terutamanya orang melayu bangkit untuk menentang penjajah Inggeris sehingga kita berjaya.
Peranan akhbar pada zaman itu juga telah melahirkan ramai penulis-penulis yang disegani serta dipandang tinggi kerana menbangkitkan semangat melawan serta anti kepada penjajah. Siapa yang tidak kenal penulis-penulis seperti Pak Sako, Arenawati, dan lain-lain lagi didalam membangkitkan hal ini? Peranan yang dimainkan mereka ini juga adalah bertujuan untuk mengimbangi dakyah-dakyah penjajah yang dibuat melalui radio serta akhbar-akhbar yang dikeluarkan penjajah itu sendiri.
Namun kini selepas 52 tahun merdeka, negara kita yang gah dikatakan maju dengan pelbagai kemudahan yang moden apatah lagi dengan pertambahan berbagai bentuk terutamanya akhbar-akhbar serta peranan televisyen dan radio itu sendiri yang mempunyai berbagai saluran apatah lagi dengan adanya perkhidmatan internet, sepatutnya pandangan-pandangan yang lebih berbentuk provokasi seperti 'gaya' penjajah dengan menyiarkan laporan yang tidak tepat dan bohong sepatutnya tidak berlaku lagi.
Dengan era zaman kini, peranan media terutamanya akhbar dan televisyen sepatutnya bebas didalam penulisan dan penyiarannya dalam ertikata selagi tidak bercanggah dengan nilai-nilai kemanusiaan, keagamaan serta berdasarkan prinsip yang termaktub didalam perlembagaan negara kita. Media juga perlu tahu menilai berita yang disiarkan itu samada logik ataupun tidak untuk dijadikan sebagai bahan berita mereka.
Cerita-cerita yang berbentuk sensasi seperti isu seks atau skandal terutamanya kepada yang melibatkan pihak pembangkang telah dijadikan modal untuk mereka ini menyiarkan demi mencapai cita-cita sesetengah pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN). Kita juga kadang-kadang pelik dengan tingkah laku mereka yang sanggup menggadaikan maruah dengan berterusan menyiarkan berita-berita yang belum pasti kesahihannya.
Kehairanan kita terus bertambah apabila berita-berita yang benar atau hampir-hampir benar seperti penyalahgunaan kuasa, isu rasuah serta kadang-kadang juga ada terdengar isu moral atau skandal seks yang melibatkan individu-individu terkenal didalam pimpinan parti politik pemerintah tidak di siarkan apatah lagi di siasat. Tetapi itulah mdia di negara ini yang kadang-kadang jelas dilihat sebagai berat sebelah.
Sebagai apa yang didakwa oleh akhbar atau stesen TV, bahawa mereka adalah yang terulung di negara ini, sepatutnya mereka lebih mementingkan nilai kemanusiaan didalam setiap penyiarannya dan bukan memikirkan bahan berita yang dipasarkan itu sebagai pelaris! Dengan kata lain media dinegara kita ini seharusnya jujur dan telus didalam menyampaikan maklumat kepada rakyat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment