Tuesday, February 3, 2009

SPR ATAU SPEAKER DUN YANG BERKUASA?

Gambar Pengerusi SPR, Tan Sri Abd Aziz Yusof

Apabila pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat keputusan menolak keputusan DUN Perak bagi mengadakan pilihanraya kecil (PRK) di Dun Behrang dan Changkat Jering hari ini, berbagai spekulasi bertiup kencang kemungkinan keputusan yang di buat oleh SPR ini telah diatur oleh pihak-pihak tertentu. SPR merumuskan ‘surat perletakan’ jawatan mereka berdua adalah tidak sah disisi undang-undang dan ditambah pula dengan kenyataan penafian perletakan jawatan mereka yang dibuat oleh kedua adun ini beberapa jam selepas berita perletakan jawatan mereka ini disiarkan di Buletin Utama TV3 , 31 Januari 2009 lalu.

Walaupun Speaker DUN Perak telah mengemukakan surat kekosongan di kedua-dua Dun tersebut, keputusan ini dilihat berat sebelah dan menguntungkan pihak-pihak tertentu bagi mengelak berlakunya pertembungan pada pilihanraya kecil itu nanti. Antara spekulasi tersebut ialah kemungkinan penglibatan pihak atasan bagi mengadakan pilihanraya kecil ini turut di akui oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang melahirkan rasa kesal kerana SPR tunduk kepada tekanan bersifat politik yang dibuat oleh kerajaan yang dipimpin oleh Barisan Nasional (BN) itu sendiri.

Menurut PKR lagi, keputusan ini sedikit sebanyaknya telah membuatkan rakyat akan mempersoalkan kembali langkah yang dibuat SPR dan tindakan sedemikian juga memungkinkan SPR yang dipengerusikan oleh Pengerusi SPR baru, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf mengikut jejak yang sama seperti yang dilakukan oleh mantan Pengerusi SPR lalu iaitu Tan Sri Rashid Abd Rahman.

Keputusan menolak untuk mengadakan pilihanraya kecil di kedua-dua Dun ini jelas sedikit sebanyaknya akan menguntungkan BN di DUN Perak kerana sekiranya benar kedua-dua Adun ini bertindak keluar dari kerajaan Pakatan Rakyat (PR) dan menjadi Adun Bebas, sudah tentu kerusi Adun PR dan BN hanya berbeza 1 kerusi Dun sahaja (PR 30, BN 27, BEBAS 2). Mengambil kira isu terkini keadaan politik di Perak, perbezaan 1 kerusi ini boleh memungkinkan apa-apa sahaja boleh berlaku apatah lagi sekiranya berterusan berlakunya lagi ‘acara melompat’ parti dari PR kepada BN!

Ramai orang berpandangan positif terhadap kedudukan perbezaan 1 kerusi ini dengan mengambil kira keadaan di DUN Kelantan sebelum PRU 12, 8 Mac 2008 lalu yang turut berada didalam keadaan ‘genting’ dengan 1 perbezaan kerusi sahaja diantara PAS dan BN ketika itu. Tetapi kita perlu ingat situasi MB Kelantan yang diketuai oleh YAB Tn Guru Dato’ Nik Abd Aziz Nik Mat ketika itu adalah amat berbeza sama sekali kerana di Kelantan ketika itu kesemua Adunnya adalah daripada 1 parti yang sama iaitu PAS berbanding suasana di Perak sekarang walaupun dibawah Pakatan Rakyat tetapi mempunyai 3 komponen parti yang berbeza.

Dengan mengambil kira hal ini, keyakinan rakyat terutamanya terhadap parti yang berada didalam komponen PR ini akan turut dipersoalkan terutamanya terhadap Adun-adun PKR itu sendiri. Keyakinan orang ramai terhadap adun-adun PAS dan DAP adalah amat tinggi berbanding PKR. Seolah telah menjadi ‘trademark’ kepada rakyat kini, apabila berlakunya keributan atau desas desus kendengaran yang mengatakan akan berlakunya lompat parti di kalangan adun-adun dari PR ke BN, maka secara automatik ramai yang mengesyaki ‘lompatan’ ini akan berlaku dari kalangan adun-adun PKR!

Bagi rakyat, tahap istiqamah serta kekuatan pendirian yang ada pada adun-adun PAS dan DAP telah terbukti kerana keyakinan adun-adun itu sendiri terhadap perjuangan dan hala tuju parti yang mereka dokongi. Program pentarbiyahan terutamanya pada ahli-ahli PAS setiap masa demi perjuangan mereka itu lah kunci kekuatan mereka dan ini telah dibuktikan ketika apa yang berlaku di Kelantan pada penggal yang lepas.

Adalah dibimbangi dengan keputusan yang telah dibuat oleh SPR hari ini akan ‘digunakan’ sepenuhnya oleh BN untuk mendapatkan kembali kuasa Kerajaan Perak dengan terus mensasarkan hasrat tersebut dan seterusnya mensasarkan lagi tujuan dan niat ini terhadap adun-adun lain pula selepas ini. Mudah-mudahan ianya tidak akan berlaku, Insya Allah.

Hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah ‘ketakutan’ oleh BN untuk menghadapi kekalahan yang berterusan selepas PRK Permatang Pauh dan Kuala Terengganu kepada PR itu lah punca utama agar pilihanraya kecil di kedua dun ini tidak perlu diadakan. BN tau sekiranya PRK ini berlaku juga, peluang kemenangan terhadap dua DUN ini amatlah tipis apatah lagi didalam keadaan sekarang dengan ‘mood’ rakyat dengan penolakan kepada BN masih tinggi dan kekal berterusan sehingga di PRU ke 13 nanti.

Kesan kekalahan yang berterusan juga akan turut menjejaskan nama UMNO itu sendiri lebih-lebih lagi pula pada Mac nanti akan berlakunya pemilihan didalam Parti UMNO itu sendiri. Oleh itu dengan cara tiadanya PRK sahaja lah peluang untuk mendapatkan kembali kerajaan Perak itu berjaya. Sekurang-kurangnya nama UMNO tidak terus tercalar dek kesan kekalahan yang berterusan di PRK.

Bagi BN sekiranya berlaku lompatan adun-adun dari PR ke BN ianya akan dipuji dan di ulas sebagai keputusan yang sungguh ‘murni’ serta baik terhadap keputusan yang dibuat oleh adun tersebut ‘demi’ rakyat di dun mereka, namun sekiranya berlaku lompatan dari BN ke PR, sudah tentu adun tersebut akan dikecam semaksima mungkin dengan berbagai tuduhan yang dilemparkan kepada adun tersebut seperti dijanjikan jawatan, berlakunya rasuah politik, pentingkan diri sendiri tanpa mengambil kira hasrat rakyat yang memberi undi kepada adun tersebut serta turut di tuduh sebagai hilang moral!

Inilah UMNO dan BN yang begitu selari dengan prinsip “matlamat menghalalkan cara” walaupun pada hakikatnya mereka lah yang paling lantang menghukum tindakan kepada adun yang tidak selari dengan hasrat mereka.....

No comments: