Thursday, February 5, 2009

PERKEMBANGAN MUTAKHIR PERAK KINI

Gambar ketika sidang media Pakatan Rakyat

Salam pada semua,

Perkembangan terkini Perak sebagaimana yang dilapor melalui blog-blog utama negara ini, keadaan sekarang di Perak hujan yang mula menitis seolah-olah turut meratapi 'kejatuhan' kerajaan negeri Perak menurut versi BN! Namun hakikatnya kita masih yakin terhadap sistem demokrasi di negara ini walaupun apa yang telah kita harungi selama 2 hari kebelakangan ini masih tidak menyebelahi kita di Pakatan Rakyat. Inilah rentetan apa yang berlaku sejak awal pagi lagi pada hari ini di Perak Darul Ridzuan;

Terkini 5.55pm: Dato Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi (PM Malaysia) kini berada di istana Kinta dipercayai untuk menghadiri upacara angkat sumpah Menteri Besar Perak yang baru

5.01pm: Perdana menteri dijangka tiba di Istana Kinta, Ipoh tidak lama lagi, dipercayai untuk majlis angkat sumpah menteri besar baru.
Timbalan perdana menteri, yang juga ketua perhubungan Umno negeri, dan barisan wakil rakyat BN dilaporkan sudah berada di istana berkenaan.

4.55pm Polis telah mengepung bangunan pentadbiran kerajaan Perak, dan mengarahkan semua exco Pakatan Rakyat serta para pembantu mereka meninggalkan bangunan tersebut.

4.50pm Kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat menyokong penuh Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar .
Mereka juga meminta supaya pilihanraya baru diadakan untuk mengesahkan mandat baru daripada rakyat. Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mereka akan memohon untuk menghadap Sultan Perak berhubung isu tersebut. Setakat ini, semua pimpinan tertinggi Pakatan berkubu di kediaman menteri besar, dengan harapan semakin ramai penyokong hadir menyatakan sokongan padu kepada Mohamad Nizar.
Pakatan juga akan menganjurkan satu perhimpunan besar di stadium Ipoh malam ini.


4.40pm Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memberitahu satu sidang akhbar bahawa beliau tidak akan meletak jawatan sebagai menteri besar.
Beliau menggesa rakyat supaya menyokong kerajaan Pakatan.
Beliau juga berkata, Speaker DUN telah memfailkan kes di mahkamah berhubung kesahihan surat peletakan jawatan bekas Adun-adun Pakatan yang keluar parti.
Menurutnya, adalah wajar untuk menunggu mahkamah memutuskan kes tersebut.
Oleh itu, katanya, majoriti BN (sekarang) mungkin tidak sah.

4.05pm Setiausaha kerajaan negeri Perak, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim telah mengarahkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan semua anggota exconya supaya mengosongkan pejabat masing-masing dengan segera.
Mereka juga diarahkan supaya memulangkan semua aset kerajaan negeri, termasuk kunci pejabat dan menyerahkan kenderaan rasmi dengan segera.
Mereka juga dilarang memindahkan sebarang dokumen dari bilik masing-masing.

3.28pm Speaker DUN V Sivakumar mendakwa dipujuk menyertai BN dengan sejumlah wang dan jawatan penting peringkat negeri dalam MIC.
Lobi agar mereka meninggalkan Pakatan Rakyat bermula sejak selepas pilihanraya umum Mac tahun lepas.

3.20pm Pemimpin-pemimpin atasan ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat berada di dalam kediaman rasmi menteri besar Perak.
Datuk Seri Nizar Jamaluddin - yang diarahkan meletakkan jawatan serta-merta bersama barisan exconya - dijangka mengadakan sidang media tidak lama lagi.
Difahamkan beliau akan mengumumkan enggan melepaskan jawatannya itu.
Suasana di luar kediaman itu kelihatan tenang dengan sekumpulan kecil penyokong dan wartawan.
Kira-kira 30 anggota Unit Amal PAS mengawal kediaman tersebut. Tiada anggota polis berpakaian seragam kelihatan.

2.33pm Sultan Perak Sultan Azlan Shah tidak perkenan dewan undangan negeri dibubarkan, demikian menurut kenyataan Pejabat Sultan Perak hari ini.
Baginda juga menitahkan Datuk Seri Nizar Jamaluddin meletak jawatan sebagai menteri besar Perak berkuatkuasa serta-merta dan jika tidak, jawatan itu dianggap dikosongkan.

2.14pm Tempat perhimpunan 100,000 orang untuk menyokong kerajaan Pakatan Rakyat telah dipindahkan dari kediaman menteri besar ke Stadium Ipoh.

2.00pm Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di kediaman Menteri Besar, Datuk Seri Nizar Jamaluddin.
Beliau dijadual mengadakan sidang akhbar bersama menteri besar dan Lim Kit Siang pada 3 petang.
Naib presiden PKR, Azmin Ali turut hadir.

1:33pm Difahamkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin enggan melepaskan jawatannya selepas menghadap Sultan Perak kira-kira jam 1 tengah hari tadi.
difahamkan DUN Perak tidak akan dibubarkan.
Keputusan lanjut kedudukan beliau dan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak belum jelas.

1:30pm Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin meninggalkan istana Kinta jam 1.05 tengah hari tadi selepas menghadap Sultan Perak 15 minit kemudiannya.
Menteri besar itu bersama Setiausaha Agung DAP Lim Kit Siang dan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan sidang media jam 3 petang.

1:26pm Datuk Seri Najib Razak tidak mengadakan sidang media selepas bermesyuarat dengan badan perhubungan Umno negeri di pejabatnya di Ipoh.
Beliau kelihatan masuk sejurus selepas tengah hari ini.

11:54pm Semua 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak serta tiga Adun Bebas hari ini menghadap Sultan Perak untuk membuat pengakuan yang mereka menyokong Barisan Nasional, kata Datuk Seri Najib Razak.
Timbalan perdana menteri berkata kesemua mereka turut memberi pengakuan menyokong calon menteri besar baru yang akan dikemukakan oleh BN.
"Tuanku dijangka akan membuat keputusan sama ada bubar Dewan Undangan Negeri Perak atau meminta Menteri Besar Datuk Mohammad Nizar Jamaluddin meletak jawatan dengan secepat mungkin," katanya pada sidang akhbar selepas menghadap Sultan Perak kali kedua di Istana Kinta.

11:48pm Menteri Besar Perak dipanggil menghadap Sultan menjelang tengah hari ini, dipercayai berkaitan penyerahan kuasa kepada BN untuk pembentukan kerajaan baru. Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin meninggalkan satu majlis bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Bagan Serai pada kira-kira 11.40 pagi tadi.

11:00pm Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memasuki Istana Kinta pada jam 9.50 pagi tadi untuk mengadap dan mendapat perkenan Sultan Azlan Shah untuk Barisan Nasional (BN) menubuhkan kerajaan baru di Perak


* Sumber dari Malaysiakini & orang perseorangan di Ipoh

No comments: