Wednesday, February 18, 2009

PKR PERLU BERANI BERTINDAK

Gambar Dato Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat

Salam pada semua,

Dengan berbagai kisah 'kekalutan' dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkaitan isu moral atau skandal kini, sudah sampai masanya pimpinan PKR memilih atau menapis sebenar-benar bakal calon PKR untuk bertanding didalam pilihanraya samada umum atau kecil.

Sebagaimana yang pernah saya ulaskan dahulu didalam artikel saya bertajuk 'PKR NEEDS QUALITY CANDIDATE FOR ELECTION' pada 09 Februari 2009 lalu. Artikel ini dikeluarkan rentetan daripada apa yang berlaku pada 2 orang mantan Adun PKR di Perak yang telah bertindak keluar untuk menjadi Adun bebas.

Saya andaikan kes yang berlaku di Perak itu merupakan yang pertama dan terakhir berlaku pada PKR tetapi rupanya tidak apabila bersambung pula pada minggu berikutnya apabila mantan Adun Bukit Selambau, Sdr Arumugan pula dikaitkan dengan masalah moral yang lebih dikatakan berbentuk hubungan sulit dengan wanita lain dan semalam timbul lagi 1 kes apabila YB Elizabeth Wong selaku Adun Bukit Lanjan merangkap Exco Kerajaan Negeri Selangor pula turut dikaitkan dengan isu gambar bogel beliau.

Walaupun kes-kes ini boleh di klifikasikan sebagai kes terpencil dan hanya berlaku terhadap beberapa orang yang cuba diganggu gugat oleh musuh parti terutamanya daripada pihak Barisan Nasional (BN) sendiri,tetapi kita sebagai parti yang selalu di war war kan sebagai anti kepada isu-isu yang berkaitan seperti rasuah, moral atau salahguna kuasa seharusnya sudah tiba masanya bertindak bagi ianya berlaku lagi dimasa hadapan.

Rakyat sebagai hakim akan memandang isu ini sebagai serius dan tidak menolak sekiranya mereka yang begitu kurang mendapat maklumat-maklumat terkini daripada sumber alternatif lain seperti akhbar bukan milik kerajaan, internet atau sms akan turut terpengaruh apatah lagi sekiranya media massa milik Umno dan BN akan sentiasa mengulang-ulang perkara yang tidak benar ini.

Sebab itu didalam artikel saya dahulu, saya rasa sudah sampai masanya PKR terutamanya menapis serta memilih bakal-bakal calon yang benar-benar bersih yang boleh menaikkan imej parti. Sudah sampai masanya PKR perlu berani bertindak terhadap perkara ini.

Kegusaran orang ramai terutamanya ahli parti peringkat bawahan perlu diambil kira. Kita sebagai pimpinan yang berada diatas seharusnya perlu peka serta bersikap menerima pendapat terutamanya didalam meletakkan bakal calon. Kita tidak mahu lagi Pakatan Rakyat (PR) akan turut menerima tempiasnya sebagaimana Umno dan BN yang jelas dan nyata selalu di kaitkan dengan isu-isu moral dan sebagainya.

Paling penting, kehendak kita untuk merubah perkara ini perlu ada. PKR perlu ada 'political will' terhadap isu ini. Apa yang diperkatakan ini bukan bermakna tuduhan yang dilemparkan terutamanya terhadap kes YB Elizabeth Wong itu telah terbukti benar tetapi sebagai panduan kita di masa hadapan apatah lagi penerimaan rakyat terhadap Pakatan Rakyat kini kian meningkat terutamanya dibandar-bandar besar di negara ini.

PKR perlu menerima hakikat walaupun sehebat mana calon atau wakil rakyat itu dimata pimpinan tetapi sekiranya terbukti ada palitan yang telah berbekas, kita seharusnya perlu mengorbankannya walaupun mungkin disebelah parti itu sendiri akan mengatakan sebagai suatu kerugian yang amat besar terhadap parti.

No comments: